KUALA LUMPUR 3 Nov. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan reaksi tidak senang apabila ditanya mengenai dakwaan beliau melebihkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, sehingga menyebabkan ramai pemimpin PKR lain bertindak keluar daripada parti itu.
''You dari mana? You dari media mana?'' kata beliau dalam nada tidak senang kepada seorang wartawan Berita Harian pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Sidang akhbar itu diadakan antara lain bagi menjelaskan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar PKR untuk menjadi ahli Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Anwar bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut, sebaliknya 'berceramah' kepada wartawan berkenaan agar melaksanakan amanah sebagai petugas media dengan baik.
''Jangan gunakan Badrul untuk mengaitkan isu ini. Saudari mungkin kenal dia tetapi yang Berita Harian hendak pertahankan sangat kenapa? Sebab dia orang UMNO.
''Bertanggungjawablah sebagai wartawan, soalan ini tidak betul, cari makan jangan sampai mengaitkan isu ini. Dia (Badrul) tidak buat kerja.
''Mana ada masa, orang mati ke, hidup ke, majlis pun tak pernah hadir. Kalau saudari pilih untuk mempertahankan juga, terpulanglah,'' katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga Penasihat PKR, mengulangi penjelasan bahawa Badrul mempunyai masalah peribadi sehingga gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat walaupun beliau telah memberi nasihat.
Katanya, beliau sendiri telah memanggil Badrul ke rumahnya kira-kira lapan bulan lalu dan memberi nasihat serta amaran supaya mengubah sikap tetapi tidak dipedulikan.
''Saya pernah berjumpa dengan dia sekali dan selebihnya dikendalikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi tiada perubahan.
''Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak pergi, saya turun kawasan dia pun tidak hadir. Jadi tunggu masa sahajalah,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, PKR akan memperketatkan kriteria pemilihan calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Jelasnya, beliau tidak akan mempertahankan mana-mana wakil rakyat daripada PKR yang gagal menunjukkan prestasi kerja memberangsangkan.
''Kita akui masalah ini (pemimpin tidak berkualiti) tetapi kami akan atasinya. Sebelum PRU Mac tahun lalu, kita masih belum kuat.
''Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi pada PRU nanti. Kita akan menitik berat soal pemimpin yang bertanggungjawab, mempunyai kelayakan akademik dan berpengalaman,'' katanya.
sumber - utusan
1 ulasan:
Sudah berapa banyak janji daaa...
Catat Ulasan