Oleh Malaysia Aktif
Kata pujangga, berkawan biarlah seribu, bermusuhlah jangan sesekali sekalipun satu.
Sekali lagi madah pujangga ini penulis kaitkan dengan seorang manusia yang bernama Anwar bin Ibrahim yang majalah Economist labelkan sebagai `sesumpah’.
Anwar punyai kelebihan. Beliau boleh memikat hati sesiapa sahaja yang bersua muka dengannya dan sudi mendengar kata-katanya. Banyak orang yang terpukau dengan Anwar walaupun mereka tidak mengenalinya dari dekat.
Malah ramai yang terpikat dengannya walaupun mereka hanya melihatnya melalui akhbar, TV dan internet.
Selain pandai berkata-kata, Anwar juga seorang perancang strategik. Sebab itulah beliau boleh naik dengan pantas dalam politik dan boleh bangkit semula dengan cepat walaupun telah ditolak jatuh ketika hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Tetapi sepandai mana manusia merancang, yang menentukan segalanya adalah Allah Yang Maha Berkuasa.
Dulu Anwar naik dengan pantas kerana kebolehannya bermadah, berfalsafah dan berucap telah memukau ramai supaya menjadi pengikutnya. Lama kelamaan mereka mulai sedar siapa sebenar manusia yang bernama Anwar Ibrahim yang suatu masa dulu digelar `Pak Syeikh’ oleh pengikut-pengikut tegarnya kerana kebolehannya mengungkap ayat-ayat Quran dan menonjolkan imej pejuang Islam.
Kini mereka yang menjadi pengikut fanatiknya itu mulai meninggalkannya, seorang demi seorang. Bukan sekadar menjauhkan dirinya darinya, malah seorang demi seorang tampil ke khalayak umum sebagai musuhnya.
Ramai musuhnya adalah kalangan yang bertungkus lumus mengangkatnya ketika beliau tersungkur daripada UMNO, termasuk Ezam Md Noor yang paling rapat dengannya suatu masa dulu. Sekarang Ezam adalah musuh nombor satu Anwar.
Menyusul selepas Ezam ialah Nallakurapan, rakan tenis Anwar dan orang suruhannya yang pernah dihukum penjara kerana memiliki senjata api tanpa permit. Sama seperti Ezam, Nalla yang menyimpan banyak rahsia Anwar kini juga menjadi musuh utamanya.
Lama kelamaan senarai musuh Anwar semakin panjang. Selain Ezam dan Nalla, orang-orang UMNO memang cukup menyampah dengan gelagat Anwar, terutama Tun Mahathir Mohamad.
Kemudian dari dalam PKR Sabah menyusul Jefferey Kitingan dan para pengikutnya yang mulai sedar bahawa mereka hanyalah `tebu yang sepahnya dibuang oleh Anwar setelah hilang manisnya.’ Mereka ditunggang oleh Anwar hanya untuk menjayakan cita-citanya menjadi Perdana Menteri dengan sokongan penduduk Sabah.
Terbaru, ADUN Port Klang Badrul Hisham Abdullah juga mengisytiharkan dirinya sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar yang menggunakan pelbagai helah untuk melambat-lambatkan perbicaraan kes tuduhan liwat yang dihadapinya.
Dalam Pas juga sudah bertambah bilangan orang yang mencurigai Anwar. Mereka termasuklah Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Mustafa Ali dan Hassan Ali.
Yang masih mempercayai Anwar (sepenuh hati?) ialah Nik Aziz Nik Mat yang telah mencadangkan Pas mengadakan muktamar khas luar biasa bagi menyingkirkan Hadi, Nasaruddin, Mustafa dan Hassan yang hilang kepercayaan terhadap Anwar. Apakah Anwar melalui konco-konconya dalam Pas tidak membisikkan sesuatu ke telinga Nik Aziz?
Di kalangan orang-orang Melayu juga semakin ramai yang sudah tersentak daripada lamunan. Mereka mulai kenal siapa sebenar Anwar - hulubalang Melayu atau petualang?
Dalam DAP juga semakin bertambah bilangan orang yang tidak mempercayai Anwar. Karpal Singh sudah lama menyuarakan rasa tidak percayanya selepas Anwar gagal membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya pada 16 September 2008.
Yang lain seperti Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng hanya bersekongkol dengan Anwar kerana masih percaya bahawa Anwar akan membantu DAP menjayakan matlamat `Malaysian Malaysia.’
Hindraf yang suatu masa dulu berjaya dirapati Anwar, kini turut hilang kepercayaan. Ramai pengikut Hindraf menyertai Parti Makkal Sakhti yang penubuhannya dirasmikan oleh Presiden UMNO/BN, Najib Tun Razak.
Yang jelas masih dan amat setia dengan Anwar ialah isterinya Wan Azizah dan Azmin Ali. Mahu ke mana Pak Syeikh?
sumber - malaysia aktif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan