KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sentiasa membuat ketetapan sendiri tanpa tidak dibincangkan dengan mana-mana pihak dalam parti itu, termasuk ahli Badan Perhubungan Pas Kelantan.
Serentak itu, Husam menafikan dakwaan pihak yang mendakwa beliau adalah individu di belakang kenyataan Nik Aziz berhubung cadangan supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan bagi mengubah kepemimpinan parti itu.
Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan, mendakwa beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan tidak faham kenapa pelbagai pihak dalam parti berkenaan membuat tohmahan kononnya beliau adalah individu mendalangi isu dibangkitkan Nik Aziz.
"Semalam (kelmarin) saya jumpa tok guru (Nik Aziz) dan tanya dia, walaupun ada orang kata saya di belakang saranan tok guru itu, te-
tapi sebenarnya itu 1,000 peratus cadangan tok guru sendiri.
"Nama saya dikaitkan dalam banyak perkara, itu nasib saya... tetapi Alhamdulillah saya dapat bersabar hingga sekarang dan tidak mengulas apa-apa tuduhan dibuat sesetengah pihak.
"Saya rasa akhirnya yang keruh akan hilang, yang jernih akan timbul dan orang akan tahu niat saya sebenar," katanya tanpa menjelaskan niatnya itu, kepada pemberita selepas penangguhan sesi pagi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, semalam.
Jumaat lalu, Nik Aziz menerusi blognya, mendesak supaya EGM diadakan bagi membolehkan parti itu menukar 'dua tiga kerat' pemimpin yang bermasalah.
sumber - berita
Nafi 'orang dalam' terbabit
KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali masing-masing menafikan pembabitan 'orang dalam' parti pembangkang bagi mempengaruhi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mendesak supaya Muktamar Agung Khas (EGM) diadakan bagi mengganti pemimpin tertentu dalam parti itu.
Abdul Hadi berkata, beliau tidak percaya wujud campur tangan di kalangan parti pembangkang terutama PKR dalam kepemimpinan tertinggi Pas sehingga menyebabkan Nik Aziz melontarkan cadangan itu.
"Saya percaya tidak ada campur tangan parti lain dalam Pas kerana pembangkang mempunyai hubungan baik. Kita mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya dua kali sebulan," katanya di lobi Parlimen, semalam.
Jumaat lalu, Nik Aziz dalam blognya, www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu didakwa bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.
Tiga pemimpin disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.
Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tanggapan Nik Aziz dipengaruhi parti lain dalam pembangkang ketika membuat cadangan itu adalah satu penghinaan terhadap Mursyidul Am Pas
sumber - berita harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan