Oleh Roslan SMS
Kali pertama saya berpeluang duduk sebaris dengan Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang UIAM adalah sekitar bulan Mac 2007 lalu sebelum PRU ke 12. Ketika itu saya mempengerusikan sebuah forum yang beliau selaku ahli panelnyadi Subang Jaya (selain Sdr Anura Mohd Nor dari laman Umno Reform). Satu kenyataan beliau yang masih saya ingat sehingga kini bahawa beliau tidak percaya dan tidak berminat membaca blog dan melayari laman-laman web politik di internet.
Saya terkedu mendengar pandangan beliau yang saya kira jujur itu. Barangkali kerana mahu kekal pada kepakaran beliau selaku “mahaguru” undang-undang khasnya dalam bab perlembagaan negara, maka apa sahaja yang selain itu, tidak menjadi asas keutamaan dan rujukan beliau.
Dr Aziz memang rajin mengeluarkan pandangan samada dalam bentuk berforum atau menulis di akhbar dan majalah. Lazimnya ruang-lingkup perbahasan dan perdebatan beliau terhad pada kepakaran beliau. Masakan seorang pakar bedah mahu menonjol berbahas dalam bab ekonomi atau seorang jurutera angkasa mahu berbahas bab nasib para penajaj kecil atau seorang tok mudim mahu menganyam tikar. Walaupun tidak salah semua itu, tetapi adabnya seorang pakar akan bersilat dalam gelanggang kepakarannya.
Kecualilah pakar yang memilih terjun dalam dunia politik. Biasanya dalam keadaan ini kepakarannya ditinggalkan dan politik menjadi keutamaan. Doktor gigi menjadi Menteri Besar, tidak lagi mencabut atau menampal gigi, tokoh korporat menjadi Menteri Besar tidak lagi sibuk mengurus harta dan empayarnya, jurutera mekanikal menjadi Menteri Besar tidak lagi membida kontrak memperbaiki atau mebekal lif.
Begitulah saya kira Dr Aziz, selagi beliau menguna label pakar undang-undang, maka segala tari dan lenggoknya berkenaan perlembagaan, undang-undang dan peraturan negara hatta diperingkat antarabangsa sekalipun akan dipandang tinggi dan dihormati serta menjadi bahan rujukan.
Bagaimana kalau pakar ini bermain politik?
Dalam artikelnya di akhbar Sinar Harian hari ini Dr Aziz saya lihat cuba menyimpang dari kepakarannya, dan berjinak-jinak pula sebagai pengulas politik. Pakar undang-undang ini mahu membuat analisanya darihal PRK Bagan Pinang yang mana calon PAS dari Pakatan Rakyat kalah baru-baru ini. Dari seorang pakar undang-undang beliau terjun menjadi penganalisa politik.
Bagi Dr Aziz, iktibar dari Bagan Pinang menyeru PAS agar melakukan reformasi kepimpinan Dari Dr Hasan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor sehinggalah Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan malah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS semuanya perlu ditukar. Malah bagi Dr Hasan bukan sekadar ditukar, meminjam ayat yang digunakannya: “…menyingkirkannya terus.”
Dimana Dr Aziz ketika PAS menang di Bukit Gantang, di Kuala Terengganu (kerusi Umno berjaya PAS rampas), di Manek Urai, di Permatang Pasir? Dimana Dr Aziz ketika PKR tewas di Batang Ai? Kenapa tak disuruh tukar Dato Seri Anwar, singkirkan Azmin Ali, contohnya?
Saya tidak menafikan kekalahan PAS di Bagan Pinang perlu menjadi iktibar buat semua. Kita kalah undi pos, kalah peti undi Melayu, kalah peti undi Cina, kalah peti undi India. Setelah menang beberapa siri pilihanraya kecil, satu kelahan ini perlu menginsafkan semuapihak. Banyaklah sebab musababnya, PAS cuma punya 3 cawangan di DUN berkenaan, kekuatan pengaruh peribadi Isa Samad walaupun bernoda dengan rasuah politik, humbanan sogokkan politik dan kehadiran undi pos yang besar.
Tetapi bagi Dr Aziz, pemimpin tertinggi PAS perlu disalahkan. Sedangkan PAS sejak ia ditubuhkan masuk menyertai pilihanraya dan pilihanraya kecil dalam satu saf ketumbukkan dan pertanggungjawaban bersama. Bila menang kita ucap Alhamdulillah dan kita bersyukur serta menerima kemanangan itu bersama manakala apabila tewas kita begitu juga dan menerimanya bersama jua.
Kekuatan PAS bergantung pada akar umbinya sehinggalah ke puncak tertinggi kuasa di dalamnya iaitu Presiden dan Mursyidul Am. Bagaikan sebuah pohon yang besar, semuanya merasa bersama senang dan susah. Tidak pernah PAS menuntut pemimpinnya ditukar apabila kalah pilihanraya, kecualilah mereka yang berjuang untuk kemenangan semata-mata tanpa mengambil kira ujian dan dugaan dari Allah swt.
Rasulullah saw sendiri dan para sahabat pernah menang dan kalah dalam peperangan, inikan pula kita.
Itulah bezanya orang yang duduk dalam saf perjuangan dan mereka yang melihat dari luar. Orang yang di dalam yang merasa panas terik dan basah dek hujan, menghargai nilai dan erti perjuangan berbanding mereka yang bersenang-senang di luar.
PAS pernah kalah teruk pada PRU ke 11 tahun 2004, hilang Terengganu dan bertahan dengan majoriti kecil di Kelantan. Ketika itu Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang lah pemimpin nombor satunya. Kemudian pada PRU ke 12 tahun 2008 lalu, dengan takdir Allah swt PAS dan rakan-rakan lain menang besar sehingga bersama berkuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak (kemudiannya dirampas melaluipintu belakang), Selangor dan menang bear di Kelantan. Siapa Presidennya ketika itu jika tidak Tuan Guru juga!
Maaf tetapi saya menolak pandangan pakar undang-undang ini dan ulasan beliau itu. Kehebatan dan penguasaan ilmunya dalam bidang undang-undang saya iktiraf dan kagumi, namun apabila berceloteh tentang politik saya kira rakan-rakan kita di peringkat cawangan nun jauh di cerok hutan atau di kaki gunung lebih matang dan tajam.
Dr Aziz berhak mengeluarkan pandangannya, tetapi apabila luar dari kepakarannya, tiadalah sehebat mana dia berbanding kita yang awam ini. Cumanya kerana taraf dan kedudukan beliau, ruang akhbar yang besar menjadi medannya.
Bagi saya PAS perlu konsisten dalam perjuangan. PAS perlu terus bekerja keras dan memperteguhkan kekuatannya di tempat dan negeri yang ia kurang kekuatan dan mempertingkatkan kekuatan ditempat yang ia telah kuat. Tambah ahil, tambah cawangan, jangan kerana nyamuk seekor dua, habis kelambu hangus kita bakar, itu menyimpang dari sukatan tarbiyah yang kita terima.
Hayatilah sebahagian dari senikata lagu PAS:
Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiyah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan
Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi……….
sumber -roslan sms
1 ulasan:
Salam AIDC,
Baguslah kalau Dr Aziz Bari dah mahu menanggalkan topengnya. Aziz Bari sudah mula menunjukkan bossnya Bro Anwar B Ibrahim.
Elok kiranya Dr Aziz Bari nasihatkan dari segi undang-undang kepada geng-geng Pakatan di Perak yang tengah meroyan dengan Kempen Bubar DUN Perak!
http://kembarapolitik.blogspot.com/2009/04/bubar-dun-lain-hulu-lain-parang.html
Catat Ulasan