MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

26 Okt 2009

Ketua Dewan Ulama syak Mursyidul Am Pas dipengaruhi pihak lain

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata cadangan mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) untuk mengubah kepemimpinan parti adalah tidak masuk akal kerana Pas tidak menghadapi masalah pucuk pimpinan.

Beliau juga mendakwa cadangan menerusi blog Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya parti mengadakan EGM itu ditulis dan dipengaruhi oleh pihak lain.

Pesuruhjaya Pas Terengganu itu juga berkata parti hanya akan mengadakan EGM untuk meminda perlembagaan parti dan bukan untuk 'mengubat parti' yang dikatakan sedang berdepan masalah.

"Tidak ada sebab untuk Pas mengadakan EGM. Tidak ada angin bertiup... pokok pun tak bergoyang, macam mana boleh tiba-tiba nak buat EGM kononnya nak tiru macam MCA dan Umno.

"Saya tidak boleh terima kerana Pas masih sihat, semakin sihat dan semakin mendapat sokongan sama ada orang Melayu mahupun bukan Melayu. Kalau nak kata untuk memperkasakan parti... parti sudah perkasa. Kalau nak selesaikan masalah, parti tidak ada masalah.

"(Oleh itu) idea EGM tidak masuk akal dan tidak berasas. Malah, tidak mungkin Nik Aziz mengemukakan idea itu kerana hujahnya sering berlandaskan al-Quran dan sunnah," katanya ketika dihubungi semalam.

Jumaat lalu, dalam blognya Nik Aziz mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah. Tiga pemimpin yang dinamakan beliau ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Kelmarin, Nik Aziz berkata beliau tidak akan menarik balik cadangan itu, sebaliknya tetap mahu EGM diadakan walaupun ada pemimpin Pas tidak bersetuju.

Harun juga berkata, sehingga kini beliau percaya kenyataan dalam blog itu ditulis oleh orang lain, bukannya Nik Aziz.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada kenyataan dalam blog itu atas kehendak hatinya atau sama ada ditulis sendiri atau oleh orang lain.

"Setakat yang saya kenal Tok Guru (Nik Aziz) dia tidak akan bercakap perkara seperti itu. Saya juga menghubungi presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bertanyakan isu berkenaan tetapi presiden kata belum membaca blog itu," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata soal mengadakan EGM tidak lagi berbangkit, sebaliknya dalam pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu kelmarin, Menteri Besar Kelantan itu mahu beliau mengemukakan satu isu dalam mesyuarat khas yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Soal EGM sudah tidak berbangkit lagi, cuma Tok Guru (Nik Aziz) mahu saya membawa satu perkara dalam mesyuarat khas itu. Tok Guru sendiri yang mencadangkan EGM ditukar kepada mesyuarat khas," katanya.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad dalam kenyataan lima perenggan dalam blognya, pula berkata mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pas Pusat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat akan menilai sama ada wujud keperluan bagi mengadakan EGM atau sebaliknya.

"Pas amat menggalakkan perbincangan dan menghargai setiap pandangan atau kritikan. tetapi pada waktu ini setiap pimpinan diminta membincangkan perkara ini secara dalaman dan tidak menggunakan media termasuk blog dan Facebook yang boleh mendatangkan banyak persepsi negatif serta membuka ruang untuk media luar memutarbelitkan isu ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan, berkata masalah dalaman parti perlu diselesaikan di peringkat dalaman, bukannya membincangkannya secara terbuka seperti mengadakan EGM.

Katanya, perbincangan secara terbuka atau EGM bertentangan dengan prinsip parti, apatah lagi kemelut yang melanda parti bukanlah isu besar yang perlu dihebohkan sehingga boleh menimbulkan kerisauan ahli Pas.

"Parti hanya mahu mendengar kenyataan Mursyidul Am sendiri, bukannya daripada pihak ketiga atau keempat. Sebenarnya masalah ini kecil tetapi digembar-gemburkan oleh pihak tertentu," katanya.

sumber - berita harian


Tiada ulasan: