Oleh Jamhariah Jaafar
bhnews@bharian.com.my
"SUDAH tiba masanya (Majlis Syura) Pas secara serius menggantikan Mursyidul Amnya yang kian hari kian nanar dan semakin tua. Kewibawaan beliau juga semakin pudar. Kebijaksanaan mencerna masalah sudah semakin terhakis. Beliau hanya mendengar 'hasutan' satu pihak seakan-akan Pas hanya ada satu jalur. Beliau gagal menjadi bapa yang adil untuk semua anak-anaknya."
Selalunya umum akan menuduh kononnya media arus perdana sengaja membuat kenyataan seumpama itu dengan niat untuk sengaja melaga-lagakan kepemimpinan Pas demi 'keuntungan' parti pemerintah. Namun, kejadian kali ini tidak sedemikian.
Luahan kekecewaan, tidak puas hati dan kemarahan ini dilakukan sendiri ahli, pengikut dan penyokong kuat Pas yang masih mencari punca mengapa pemimpin dan ulama yang dikagumi mereka selama ini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencetus ribut di kala suasana politik memihak kepada mereka.
Kenyataan di atas adalah yang paling lantang disuarakan Faisal Tehrani, penulis yang juga penyokong kuat Pas dan blognya. Ia turut dipetik seorang lagi penulis terkemuka Azizi Abdullah, yang turut berkata: "Tapi saya benar-benar pening dengan Tuan Guru Nik Aziz. Saya sampai sekarang tak mampu membaca apakah Tuan Guru seorang politikus atau agamawan zuhud atau seorang pentadbir yang cekap?"
Turut menyuarakan keresahan ialah seorang lagi pengikut kuat Pas, Mohd Sayuthi Omar, yang menulis dalam blognya: "Seperti mana dimaklumi ekoran cadangan itu menyebabkan Pas jadi kelam kabut dan ada ahli yang tidak tidur dan resah memikirkannya. Cadangan Nik Aziz itu memberi gambaran Pas kini sedang dalam gelora, dilanda krisis yang bakal membawa Pas terbelah dua. Pergaduhan antara Nik Aziz dengan Abdul Hadi seolah mereka berdua membelah dua kitab al-Quran!
"Kerisauan ini dirasai oleh setiap mereka yang sayangkan Pas. Seorang penjenguk blog Merah Tinta yang mengakui sebagai ahli Pas mengambil keputusan memikir semula penyertaannya dalam Pas. Beliau adalah ahli Umno yang baru saja berhijrah kepada Pas."
Ramai yang keliru dengan suasana terkini yang berlaku dalam Pas, kerana tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba Menteri Besar Kelantan itu membuat kenyataan luar biasa meminta satu perhimpunan agung khas (EGM) untuk 'membersihkan' parti terbabit daripada kumpulan liberal yang didakwanya ingin bergabung dengan Umno.
Rentetan daripada desakan Nik Aziz, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang turut dipalit dakwaan sebagai pengkhianat parti memanggil satu mesyuarat khas malam ini untuk menimbangkan sama ada desakan Nik Aziz untuk mengadakan EGM perlu dihormati atau sebaliknya.
Namun, kenyataan terbaru Abdul Hadi bahawa Pas 'menutup semua pintu rundingan dan perbincangan dengan Umno berhubung pembentukan kerajaan perpaduan', membuatkan ramai sinis kerana agenda kumpulan tertentu untuk mengekang golongan liberal yang bergerak atas pentas agenda penyatuan Melayu berjaya dilaksanakan.
Jika yang menulis itu ialah penulis media perdana mungkin ramai yang akan berkata ia hanya rekaan cerita, namun petikan ini diambil daripada blog Mohd Sayuthi yang menceritakan perbualannya dengan seorang aktivis Pas:
"Aktivis ini memang seorang yang berani dan berterus-terang. Bila saya tanya dia siapakah yang menjadikan Tok Guru sebagai alat dan menyusahkan kehidupan Tok Guru, dia menjawab tanpa berselindung. (Biarlah saya tidak menyebut nama-nama itu demi menjaga nama baik orang berkenaan dan juga Tok Guru serta aktivis ini).
"Kenapa orang-orang ini, apa logiknya," soal saya. "Jika sekali tengok, ia tidak mungkin melakukan itu. Tetapi anta (anda) kena faham agenda ini sudah lama berjalan. Sejak muktamar lalu lagi. Yang menggerakkan ialah bukan orang yang takut kepada Tok Guru, tetapi orang yang takut kepada Pas?" katanya.
"Ana (saya) tidak berapa faham?" akui saya. "Anta tahukan cita-cita orang ini? Dia mahu jadi Perdana Menteri. Dalam perkiraannya, jika Pas tidak sokong dia tidak akan dapat jadi Perdana Menteri. Dan memang hakikatnya begitu. Baginya jika Abdul Hadi jadi presiden bermakna impian itu akan melayang begitu saja.." ceritanya lagi.
"Maksudnya?" soal saya. "Sebab dia kira Hadi dan the gengnya tidak akan bersamanya. Maknanya, dia mesti hapuskan Hadi untuk menyenangkan tugas-tugasnya. Hadi harus diganti dengan orang lain. Jadi apa yang Tok Guru lakukan ini adalah untuk memenuhi agenda itu. Sudah faham?" jelasnya sedikit memerli akan kedunguan saya.
"Ana tidak fikir begitu!" saya cuba menafikannya. "Anta kena baca sejarah hubungan mereka ini semua. Dari mana asal mereka. Apa pegangan politik mereka. Mereka ini semua bukan daripada kumpulan ulama tradisi yang menerima tarbiah awal Pas. Mereka ini adalah kumpulan moden yang datang bertenggek dengan gerakan Islam Pas. Latar belakang mereka sebegini menyebabkan mereka cemas tidak akan diterima Pas.
"Jadi sebelum apa-apa dan untuk selamatkan diri mereka, mereka kena berusaha selamatkan diri dan puak-puak mereka," khutbahnya panjang lebar. "Hatta menggunakan jasa baik Tok Guru?" "Ya hatta menggunakan nama baik dan wibawa Tok Guru itu," tegasnya sambil mengilai manja.
"Tok Guru sedar dia diperalatkan?" saya membalikkan persoalan yang dikemukakannya. "Ana rasa Tok Guru sedar," katanya meyakini kearifan Tok Guru dengan segala yang berlegar di sekelilingnya.
"Jadi EGM itu perlulah diadakan?" saya terus menduga. "Untuk apa? Tok Guru tiada masalah sehinggakan memerlukan EGM. Yang hendak EGM orang-orang itu! Orang bermasalah dalam Pas, Tok Guru tiada apa-apa masalah," katanya.
Itu antara petikan menarik yang ditulis Mohd Sayuthi dan luahan aktivis terbabit adalah antara teori yang bermain di kebanyakan ahli dan pemerhati politik � agenda seorang pemimpin politik yang sanggup melakukan apa saja asalkan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.
Tidak perlu dinyatakan siapa pemimpin itu dan siapa dalang utama dalam Pas yang mahu menyingkir barisan kepemimpinan diketuai Abdul Hadi. Apa yang nyata Nik Aziz merelakan diri dipergunakan bagi kepentingan segelintir anak buahnya yang berasa diri dipinggirkan golongan liberal ini, terutama selepas pemilihan barisan kepemimpinan parti yang lalu.
Mesyuarat khas Pas malam ini yang dijangka dihadiri semua 45 ahli jawatankuasanya sudah pasti akan memberi tumpuan kepada Nik Aziz yang hadir sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan, kerana ramai ingin tahu mengapa secara tiba-tiba ulama yang dihormati ini melenting terhadap barisan pemimpin yang dipilih sendiri ahli akar umbi.
Nik Aziz perlu menjawab persoalan akar umbi seperti yang diluahkan Faisal: "Orang yang tidak patut dibela (contohnya) beriya-iya dipertahankan. Sebagai 'orang Pas' apabila Presiden yang dipilih secara demokratik mahu disingkirkan semata-mata kerana ingin mempertahankan parasit dari luar, maka saya rasa itu sudah melampau."
sumber - berita harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan