Oleh Yazid Othman
Saya banyak dihujani pertanyaan dari rakan-rakan seperjuangan dulu yang membaca laman saya terutamanya yang menyokong Dato’ Sri Anwar Ibrahim , dengan berkata; “Mengapa seolah-olah Saudaraku tidak lagi mempunyai simpati dan menyokong Anwar Ibrahim sedangkan satu ketika dulu begitu akrab serta sealiran perjuangan sehinggakan Pak Syeh memanggil Saudara dengan nama PANGLIMA ???
Saya menjawab, bahawa saya masih ingat budi baik Anwar memberikan sokongan moral kepada saya dan ahli-ahli Kumpulan Islam atau Islamic Group pimpinan saya, setelah berkerja keras mengatur strategi dan berkempen, akhirnya Islamic Group telah berjaya memenangi buat kali pertama dalam sejarah menguasai UMSU atau Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya serta menguasai Majlis Perwakilan Pelajar bagi tahun 1979-81 dengan majoriti mudah.
Saya masih ingat Sdr Anwar dan ABIM mengadakan keraian besar-besaran atas kejayaan kami itu dengan menjemput Mohamad Natsir , Presiden Nahdzatul Ulama Indonesia untuk datang sama-sama meraikan kemenangan saya di Hotel Merlin Kuala Lumpur .Mohamad Natsir dan Sdr Anwar memberikan kata-kata sanjungan yang amat tinggi kepada kami.
Saya masih terbayang, kemenangan saya dalam Pilihanraya Umum Majlis Perwakilan Pelajar UM itu diberikan sambutan yang amat negatif oleh media Arus Perdana negara ini , lebih-lebih lagi Kumpulan Akhbar Utusan Melayu, khasnya Utusan Malaysia yang melabelkan kononnya saya (waktu itu) sama bahayanya dengan Anwar Ibrahim dan PAS yang menghasut pelajar dan orang ramai menentang kerajaan.
Keesokan hari Utusan Malaysia mengeluarkan berita besar di muka hadapannya dengan tajuk “Kumpulan Ekstrimis Kuasai Universiti Malaya ” dengan meletakkan gambar muka saya, dan dalam isi berita utamanya disebutkan Kumpulan Ekstrimis atau ‘Pelampau’ Islam Universiti Malaya ini adalah dipimpin oleh Yazid Othman atau Che Yazid Bin Che Seman yang berasal dari Kelantan.
Sebenarnya kemenangan saya pada waktu itu bagi Sdr Anwar Ibrahim, adalah merupakan peristiwa ‘Balas Dendam’ beliau terhadap UMSU kerana beliau sebelum itu tidak pernah menang bila bertanding merebut kepimpinan dalam UMSU (University Of Malaya Students Union) . Bagaimanapun beliau membuat aktiviti di kampus UM itu menggunakan wadah sebagai Presiden PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) iaitu satu dari 74 buah persatuan di Universiti Malaya , yang bernaung di bawah PMUM atau UMSU.
Selain dari Anwar Ibrahim (Dato’ Sri) teman-teman dalam ABIM termasuk Fadzil Nor (Dato’) Nakhae Haji Ahmad (Dato’) Kamarudin Mohd Nor (Dato’) , Fuad Hasan (Dato’), Kamarudin Jaafar (Dato’) Ghazali Nawawi , Abdul Ghani Shamsudin , Sidiq Fadzil (Dato’) dan seorang pemimpin ABIM peringkat Negeri Trengganu , Abdul Hadi Awang (Dato’ Seri), sering mengadakan dialog serta diskusi bersama mengenai kepimpinan Islam dan pelbagai isu semasa . Kami sering mengadakan program bersama untuk masyarakat pelajar dan masyarakat umum pelbagai lapisan di negara ini.
Ilham dari sinilah kami di UMSU mengambil dayausaha menemui rakan-rakan pelajar di kampus universiti lain membantu mereka berkempen para calon pimpinan pelajar memenangi pilihanraya peringkat kampus di tempat masing-masing. Kami amat bersyukur kerana teman-teman seperjuangan di kampus lain masa itu berjaya memenangi pilihanraya masing-masing serta menjadi pemimpin MPP.
Antara mereka yang menang itu termasuklah Sdr Fadzlullah Haji Shuib dan Abdul Malik Awg. Kechik di UKM , Kamari Kasan di UPM, Wan Zulkifli Mohamad di UTM, Khalid Jaafar di ITM, Sdr Baharom di USM dan lain-lain lagi. Kemenangan Kumpulan Pelajar yang cenderung kepada kepimpinan Islam ini memberi moral kepada Anwar apabila beliau membuat kenyataan kepada media antarabangsa seperti Times, Asia Week dan Far Eastern Economic Review, kononnya pengaruh beliau dan ABIM lah menyebabkan semua kampus Pusat Pengajian Tinggi di Malaysia berjaya ditawan.
“ Kami telah berjaya tawan semua kampus di Malaysia” kata Anwar kepada media asing di atas itu. Seorang dua rakan saya dari dari sebuah kampus universiti, yang kurang cenderung dengan kenyataan Anwar kepada media asing itu berkata kepada saya , “Lembu Punya Susu Sapi Punya Nama”. Saya jawab, tak kesahlah itu, yang penting, matlamat kita semua sekarang berjaya. Ertinya, Anwar juga mendapat nama di atas perjuangan dan usaha kami itu. Dengan kata-kata lain Anwar juga terhutang budi dengan kami
Budi Sdr Anwar Ibrahim kepada saya yang tak dapat saya lupakan, ialah apabila beliau menawarkan kedudukan tinggi dalam kerajaan (BN) semasa beliau masih menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri . Bagaaimanapun saya menolaknya dengan alasan untuk menumpukan perhatian kepada badan NGO pimpinan saya iaitu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang sedang berhadapan dengan tuntutan gaji baru dengan majikan Utusan Melayu dan masa yang sama kami menentang habis-habisan cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Saya masih ingat saya meminta maaf kerana tidak boleh menerima tawarannya, kerana saya belum bersedia memasuki politik. Bagaimanapun saya menjunjung kasih atas tawaran TPM yang amat berharga itu. Saya faham beliau amat kecewa atas penolakan saya itu . Sebab itu , berikutan daripada itu beliau seolah-olah menganggap saya sudah tidak menyokong beliau lagi dan tidak pernah bertanya kabar lagi.
Walaubagaimana pun, saya masih mempunyai budi terhadap Anwar. Saya masih ingat ketika saya sedang mengajar di Yayasan Anda ( kerja sambilan sebab tak dapat biasiswa universiti) saya telah dipanggil Sdr Anwar pada suatu pagi dengan berkata, " Panglima, Azizah sudah beranak pagi ini, baby perempuan. Tolong beri satu nama dan kalau boleh tolong gabungkan nama ana dengan nama Azizah." Beliau meminta saya berbuat demikian kerana beliau tahu saya menguasai bahasa Arab dengan agak baik.
Saya terus duduk di meja berhadapan dengan beliau dan mula menulis kata nama Azizah dan Anwar dalam bahasa Arab, dan segera bertemu dengan nama yang digabungkan dan membentuk nama NURUL IZZAH yang bermaksud ' Cahaya Kemuliaan'. Saya menulisnya dalam bahasa Arab dengan meletakkan barisnya sekali kemudian menulis dalam tulisan rumi dengan huruf besar dan menyerahkannya kepada Anwar dalam masa kira-kira tiga minit.
Selepas menatap nama itu Anwar memanggil pembantunya bernama Shukran dengan kata, " Shukran, ambil kad pengenalan ana ini dan nama yang ditulis oleh Panglima ini pergi ke Balai Polis buat repot kelahiran ( buat surat beranak )."
Walaupun saya dan Anwar ditakdirkan tidak bersama dalam perjuangan beliau kerana saya mempunyai pendekatan sendiri, satu perkara yang kekal dalam ingatan saya ialah nama Nurul Izzah tersebut dan saya amat senang sekali setiap kali nama itu tersiar dalam media dan mulut orang - orang politik walaupun tuan punya diri yang memakai nama tersebut tidak pun tahu asal usul siapakah yang merekacipta namanya.
Kini, setelah begitu lama menjadi pemerhati politik, termasuk 30 tahun sebagai wartawan di media arus perdana, saya mempunyai kesimpulan sendiri mengenai seseorang tokoh, di mana kecintaan kepada Bangsa Melayu, Agama Islam dan Tanah Air sebagai ukuran, maka saya ingin menyeru Sahabat Lama saya Sdr Anwar Ibrahim, agar segera berhenti memecahbelahkan Bangsa Melayu .
Saya nampak Sdr Anwar Ibrahim dengan begitu ketara menyokong perjuangan DAP yang amat tinggi sikap penentangannya terhadap Orang Melayu serta menyokong Hindraf yang terang-terang memusuhi kaum dan agama kita. Carilah penyelesaian menyelesaikan ‘kemelut peribadinya’ dengan cara terhormat, dan jangan sekali-kali mengundang kecelakaan dengan menjadikan dirinya sebagai ‘Budak Amerika’.
Padahal semasa saya menjadi pemimpin pelajar dulu, Anwar menegur saya kerana jeket yang saya pakai mempunyai butang tembaga yang tertulis diatasnya perkataan USA.
Sebenarnya saya, tidak sanggup mendengar dan membaca tuduhan beliau yang telah melampaui batas menuduh orang lain membuat cerita rekaan serta mencipta perkara itu, sehingga orang lain terpaksa menerima akibat buruk hasil tuduhan Anwar itu, terutamanya bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ramai lagi pihak lain yang di persalahkan .
Lebih dari itu seluruh Kerajaan Barisan Nasional dituduh oleh Anwar menzaliminya sehinggakan ramai orang percaya kepada beliau, kerana kehebatan beliau menggunakan kata-kata yang mengakibatkan kekalahan teruk BN di beberapa kerusi parlimen dan dewan undangan negeri.
Bacalah sejarah Islam dan bacalah salasilah tokoh-tokoh umat Islam, samada dari sumber rasmi atau tidak rasmi ; kesemuanya mereka sanggup tampil bersumpah mengikut cara syarak yang semua umat Islam tahu dan faham, termasuk orang yang tidak mempunyai pelajaran agama sekalipun. Hanya dengan melakukan ini Anwar sudah bebas dari sangka buruk terhadap beliau. Saya harap Anwar selesaikanlah dengan cara mudah, dan janganlah dikaitkan dengan fitnah yang boleh memecahbelahkan bangsa kita.
Biodata Yazid Othman, klik di sini
sumber - yazidothman.com
Artikel lain berkaitan :
. Liwat : Di sebalik tabir Anwar berlindung di Kedutaan Turki -Yazid Othman
1 ulasan:
salam ziarah bro
jika anda boleh mengubah si anwar aljuburi ini silakan.sebelum nasi menjadi bubur.buat masa sekarang hanya syurga ciptaan si nik aziz yg sdg menanti dia.tq
Catat Ulasan