MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

12 Ogo 2009

'Serpihan tulang dalam stokin Teoh'

Pakar pathologi yang menjalankan bedah siasat terhadap mayat Teoh Beng Hock mendapat setiausaha politik itu mengalami pelbagai kecederaan, khususnya di bahagian kanan badannya.

Dr Khairul Azman Ibrahim juga berkata serpihan tulang ditemui di dalam sebelah stokin yang dipakai di kaki kanannya.

Khairul, bertugas di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang, berkata beliau menjalankan bedah siasat Teoh pada 17 Julai, sehari selepas mayat Teoh ditemui di tingkat 5 Plaza Masalam, sehari selepas dibawa untuk disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Membacakan laporan bedah siasatnya, Khairul hari ini berkata mayat Teoh mengalami calar-calar dan kesan keretakan.

Khairul memberikan keterangan di inkues kematian Teoh di depan koroner Azmil Muntapha Abas di Mahkamah Majistret Shah Alam yang masuk hari kelima.

Sementara itu Bernama melaporkan Dr Khairul berkata Teoh mati setelah mengalami kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Katanya, tiada bukti kecederaan ketara pada mayat mendiang yang menunjukkan berlakunya pergelutan sebelum kematiannya.

'Tiada kesan darah'

Beliau juga mendapati tiada kesan darah pada tingkap yang dipercayai merupakan tempat Teoh terjatuh dari tingkat 14 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan Plaza Masalam, mahupun kesan barang-barang bertaburan atau pecah di situ.

Selain itu beliau juga mengesahkan tidak terdapat kesan kecederaan akibat mempertahankan diri pada mayat Teoh berdasarkan pemeriksaan dan bedah siasat yang dijalankan pada mayat mendiang pada 17 Julai lepas.

Teoh ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, beberapa jam selepas dia memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor.

Dr Khairul juga memberitahu, hasil pemeriksaan dan bedah siasat itu menunjukkan bahawa semua kecederaan yang dialami oleh Teoh adalah bersesuaian dengan kesan kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

"Pada pendapat saya, saya tidak nampak kecederaan mempertahankan diri yang ketara pada mana-mana bahagian badan si mati, kecuali kesan-kesan impak jatuh," katanya.

Ketika ditanya peguam bagi pihak kerajaan, Tan Hock Chuan mengenai anggaran waktu kematian Teoh, Dr Khairul Azman menjawab:

"Berdasarkan pada keadaan mayat yang belum busuk, saya percayai Teoh mati kurang dari 36 jam daripada tarikh bedah siasat dijalankan.

"Saya juga memeriksa mayat di tempat kejadian pada pukul 7.30 malam, 16 Julai, saya dapati ia telah kaku dan pada pendapat saya Teoh telah mati enam atau lapan jam sebelum pukul 7.30 (malam).

"Tapi saya juga diberitahu...pengawal keselamatan menemui mayat pada pukul 2 petang, oleh itu mungkin Teoh mati sebelum itu," jelasnya.

ilustrasi Teoh jatuh

Dalam prosiding itu, Dr Khairul juga diminta untuk menjelaskan bagaimana keadaan Teoh ketika terhempas di atas lantai di koridor tingkat lima itu selepas terjatuh dari tempat tinggi.

"Pada pendapat saya, berdasarkan pada kecederaan yang kita periksa, si mati dipercayai mendarat dengan kaki kanan dahulu, dan badannya sedikit condong ke sebelah kanan, dan punggungnya mungkin mendarat kemudian atau serentak dengan kaki.

"Ada juga kemungkinan badan condong ke depan berdasarkan tulang rusuk yang patah dan kesan luka di bahagian pergelangan tangan," jelas beliau.

Saksi itu kemudian menunjukkan ilustrasi kepada mahkamah bagaimana keadaan tubuh Teoh ketika terhempas di tempat kejadian yang menyebabkan suasana mahkamah yang pada mulanya tenang bertukar sedikit kecoh.

Ini berlaku apabila seorang lelaki Cina yang duduk di bahagian galeri awam tiba-tiba bangun dan berkata: "Tak nampak!"

Koroner Azmil kemudian membenarkan lelaki itu serta orang awam yang lain dalam mahkamah, untuk berdiri dan tampil ke hadapan bagi melihat demonstrasi itu dilakukan.

Dr Khairul memberitahu mahkamah beliau turut melawat tempat kejadian pada pukul 6.40 petang, 16 Julai lepas bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas keadaan lokasi kejadian bagi memudahkan pihaknya menjelaskan bagaimana si mati mengalami kecederaan tersebut.

Beliau berkata apabila sampai di sana, didapati bahawa mayat Teoh ditutupi dengan plastik hitam dan apabila plastik itu dibuka, mayat berkenaan berkeadaan terbaring mengiring ke kanan dengan tangan kiri di atas dan tangan kanan terhimpit oleh badannya.

Kesan calar pada lantai

Beliau berkata kaki kiri Teoh berada di atas kaki kanannya dan pada kaki kanan si mati masih tersarung kasut bagaimanapun pada kaki kiri tidak ada kasut.

"Saya dapati ada kesan darah mengalir dekat mulut si mati dan kami juga memeriksa kawasan berhampiran mayat dan mendapati terdapat kesan calar pada lantai di tempat kejadian berhampiran dengan bucu saluran air.

"Saya dan pakar forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Prashant Naresh Samberkar yang turut berada di situ juga berbincang untuk menentukan bagaimana cara si mati mendarat ke lantai. Kami juga memeriksa kasut yang terdapat pada kaki si mati dan menjumpai sebelah lagi kasut yang berada tidak jauh dari mayat," katanya.

Dr Khairul berkata beliau turut memandang ke tingkat atas bangunan tersebut untuk mencari tingkat di mana si mati berkemungkinan jatuh dan didapati ada tingkap yang terbuka luas daripada tingkap lain hampir bertentangan dengan kedudukan mayat si mati.

"Saya diberitahu oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal bahawa tingkap itu berada di tingkat 14 dan Dr Prashant ada mengambil gambar tingkap itu dari bawah.

"Ketika berada di tingkat 14 kemudian, saya ditunjukkan di bahagian mana tingkap tersebut dan juga berkesempatan melihat tempat di mana si mati disoal siasat oleh SPRM, tempat si mati berehat serta tempat dia dijumpai kali terakhir semasa hidup," katanya.

Sementara itu, mahkamah koroner diberitahu bahawa tiada sebarang bahan bukti baru diperoleh dalam pemeriksaan forensik semalam bagi membantu siasatan Teoh.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik bagi pihak kerajaan Malaysia untuk membantu prosiding inkues itu, hari ini mengesahkan hasil pemeriksaan forensik semalam terhadap beberapa kesan tompokan yang disyaki darah, yang ditemui di tempat kejadian, adalah negatif.

Empat urat benang ditemui

Tan memberitahu dalam pemeriksaan oleh pakar forensik itu, hanya empat urat benang ditemui di Tingkat Lima bangunan Plaza Masalam, tempat di mana mayat Teoh ditemui. Bagaimanapun bahan itu belum dikenal pasti.

Dalam prosiding inkues semalam, Koroner Azmil membenarkan permohonan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, untuk membawa pakar-pakar forensik bagi menyiasat beberapa kesan tompokan, disyaki darah yang ditemui di tingkat 14 dan 15 pejabat SPRM di plaza itu.

Dalam prosiding pagi ini, Tan melaporkan kepada mahkamah bahawa pasukan forensik polis, bersama-sama pakar forensik bagi pihak keluarga Teoh dan kerajaan Selangor, telah melakukan siasatan dan pemeriksaan forensik di empat lokasi berlainan di sekitar bangunan itu.

"Lokasi pertama ialah di pejabat SPRM di tingkat 15. Pada pukul 12.25 tengah hari pasukan forensik telah melakukan pemeriksaan ke atas kesan yang disyaki darah pada dinding dan pintu pejabat SPRM di tingkat itu menggunakan 'polilight' dan hasilnya adalah negatif," katanya.

Tan memberitahu, pakar forensik juga melakukan imbasan di pejabat itu dengan menggunakan 'polilight' tetapi tiada sebarang bahan bukti baru dijumpai di situ.

'Polilight' ialah alat sinaran cahaya yang digunakan pakar forensik atau saintis untuk mengesan darah, cap jari, cairan badan atau bahan bukti di tempat kejadian jenayah.

"Lokasi kedua ialah kawasan laluan tangga kecemasan di depan pejabat SPRM di tingkat 15. Pemeriksaan telah dilakukan terhadap kesan yang dikatakan darah atas lantai dan tangga naik ke tingkat 16 dengan menggunakan kaedah yang sama dan hasilnya juga negatif.

"Juruanalisis daripada Jabatan Kimia Dr Seah Lay Hong dan Encik Sasitaran telah menjalankan ujian ke atas kesan-kesan tersebut dengan menggunakan kaedah 'Kastle-Meyer' dan hasilnya juga negatif," kata Tan lagi.

Sofa tempat Teoh berehat

Selain itu, katanya juruanalisis itu juga memeriksa keseluruhan tangga naik ke tingkat 16 dengan menggunakan kaedah yang sama dan hasil pemeriksaan adalah negatif.

Mereka juga mendapati hasil pemeriksaan yang negatif bagi mengesan sebarang bahan bukti baru di ruangan tangga di tingkat 14, kata Tan.

"Lokasi ketiga ialah di pejabat SPRM di tingkat 14. Ada beberapa tempat yang telah diperiksa iaitu kawasan dinding yang disyaki tempat kejadian, kawasan ruang terbuka ping-pong dan tempat sofa di mana saksi (Teoh) berehat.

"Pakar telah menggunakan kaedah ujian 'Hemoccult sensa' di bahagian tingkap dan hasilnya negatif, begitu juga di bahagian ruang ping-pong," kata Tan.

Beliau berkata pemeriksaan forensik semalam turut dilakukan di koridor tingkat 5 bangunan itu bagi memenuhi permintaan pihak pakar forensik daripada keluarga mendiang dan kerajaan Selangor.

"Pemeriksaan telah dijalankan pada pukul 2 petang dan hasilnya kami menemui empat helai benang," kata Tan.

Berhubung penemuan fabrik itu, Tan berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan jika keluarga Teoh mahu mendapatkan seluar yang dipakai mendiang, yang kini menjadi antara barang kes prosiding itu, untuk diperiksa.

"Ia (seluar) boleh diberikan kemudian," kata Tan.

Ujian terhadap gentian benang

Peguam itu juga memberi jaminan tidak ada lagi sebarang ujian akan dilakukan terhadap kesan-kesan berkenaan, melainkan ujian lanjut terhadap gentian benang yang baru ditemui semalam.

Terhadap pernyataan Malik Imtiaz Sarwar, bagi kerajaan Selangor, yang memaklumkan mahkamah bahawa pemeriksaan forensik semalam tidak meliputi bahagian dalam pejabat SPRM di tingkat 15, Tan mengulas:

"Tiada keterangan langsung dalam siasatan ini bahawa si mati telah dibawa ke tingkat 15. Jika ada, saya percaya mereka (pihak-pihak yang berkepentingan) telah mendesak untuk melakukan pemeriksaan.

"Oleh itu bukan kita (pihak kerajaan) yang tidak membenarkan pemeriksaan dijalankan di dalam, jika ada permohonan sedemikian, silakan, kita tidak membantah," kata Tan, yang selesai membuat laporan berhubung pemeriksaan forensik semalam.

"Tidak ada sebarang elemen baru yang dibawa untuk membantu sisatan inkues ini, kecuali fiber sahaja, dan belum dapat dipastikan apakah ia.

"Oleh itu, kita tidak perlu menangguhkan lagi prosiding ini bagi mendengar keterangan saksi yang sepatutnya didengar semalam," koroner Azmil Muntapha memutuskan.

Sementara itu, prosiding inkues kematian Teoh terpaksa ditangguhkan ke esok berikutan Dr Khairul tidak sihat untuk menyambung keterangan pada prosiding sesi petang, hari ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas membenarkan saksi kesepuluh itu menyambung semula keterangannya pagi esok.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik bagi pihak kerajaan untuk membantu prosiding itu, kemudian memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan memanggil seorang lagi pakar forensik, Dr Prashant Naresh Samberkar untuk memberikan keterangan selepas Dr Khairul Azman selesai memberikan keterangannya.

Mereka juga akan menimbangkan sama ada akan memanggil pakar forensik Dr Mohd Shah Mahmood untuk memberikan keterangan.

sumber - malaysiakini


Tiada ulasan: