PERIKSA... Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia dengan dibantu oleh dua pakar bersiap sedia untuk menjalankan ujian DNA dan forensik di tangga tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam, Shah Alam kira-kira 11.40 pagi tadi. Ujian itu berakhir empat jam kemudian. - Foto THE STAR oleh KAMARUL ARIFFIN.Foto THE STAR Oleh: KAMARUL ARIFFIN
SHAH ALAM: Ujian ke atas kesan calitan pada tangga antara tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam di sini - tempat Teoh Beng Hock ditemui mati bulan lalu, mendapati ia bukan kesan darah.
Peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata, hasil ujian awal mendapati kesan tersebut dipercayai cecair antikarat semata-mata.
Malah beliau memberitahu bahawa hasil tinjauan di koridor tingkat lima menjumpai kesan serabut seperti fiber yang dipercayai daripada seluar Teoh.
"Selepas dibuat ujian terperinci ia didapati bukan darah... dalam masa yang sama, kami juga telah buat pemeriksaan mendalam sekali lagi di tingkat 14, 15 dan juga di tingkat lima di mana mayat dijumpai.
"Di situ kami juga telah lihat dua atau tiga petunjuk baru... kami harap ia dapat memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan apa yang berlaku pada malam kejadian.
"Pihak ahli kimia telah mengambil spesimen itu ke makmal untuk membuat analisis dan kami harap satu laporan terperinci akan disediakan secepat mungkin untuk dikemukakan kepada koroner," kata beliau kira-kira pukul 3.10 petang tadi.
Ujian itu dijalankan oleh tiga orang iaitu pakar DNA, Dr. Seah Lay Hong; bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI), Amidon Anan dan saintis forensik Thailand, Somchai Chailermsooksant.
Mereka menjalankan ujian itu kira-kira empat jam.
BERITA TERDAHULU
Kesan darah di tangga perlu diuji, inkues ditangguh hingga esok
SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock ditangguhkan sehingga esok selepas 30 minit bermula bagi membolehkan pakar DNA dan forensik menguji kesan darah yang didapati di tangga tingkat 14 dan 15 Plaza Masalam.
Koroner membenarkan permohonan itu yang dibuat oleh peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh pada pukul 10.05 pagi tadi.
Prosiding bermula pukul 9.45 pagi.
Pakar pukul 11.30 pagi semua peguam, pakar DNA, Dr Seah Lay Hong, pembantu pakar forensik dari Thailand dan dua pakar forensik tempatan akan pergi ke Plaza Masalam untuk mendapatkan spesimen tersebut.
sumber - mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan