MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

27 Jul 2009

Strategi AS sekat kebangkitan Islam

Oleh Suhaimi Mokhtar

Hanya wujud beberapa buah negara di dunia, baik dalam kalangan negara umat Islam dan yang bukan negara umat Islam,yang masih tidak tunduk kepada telunjuk Amerika Syarikat (AS) dan barat dalam percaturan politik antarabangsa.

Dalam kalangan negara yang mengikut telunjuk AS dan barat, terdapat negara yang menurutnya mengikut darjah peratus masing-masing, berdasarkan kebergantungan masing-masing, sama ada dari segi kebergantungan kepada pakej bantuan ekonomi, perdagangan dan kebergantungan kepada keselamatan rejim masing-masing.

AS dan barat sangat mudah mengendalikan hubungan dua hala atau hubungan serantau pelbagai hala dengan negara-negara yang dikategorikan sebagai negara sahabat yang antara satu sama lain saling bergantungan kepentingan.

Dalam kalangan negara umat Islam yang berada dalam kategori ‘negara sahabat’ ini, AS dan barat memberi pakej payung keselamatan dan bagi negara-negara umat Islam ini, rejim-rejim mereka sendiri menjadi pembendung bagi menghalang kebangkitan umat Islam yang sedar dan mahu berubah untuk menegakkan negara Islam.

Rejim negara umat Islam sendiri menentang kewujudan negara Islam, walaupun wujud dalam kalangan umat Islam, sama ada minoriti atau majoriti yang mahu negara umat Islam itu kembali kepada pemerintahan Islam yang syumul berlandaskan syariat Islam seperti yang terkandung dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias.

Dalam pertembungan inilah berlaku agitasi politik yang sedang melanda negara-negara umat Islam sejak akhir abad ke-20 dan berterusan rentetannya di awal abad ke-21 ini.

Sebenarnya ini sudah lama bermula, iaitu sejak kejatuhan pemerintahan khalifah Islam lagi, apabila kuasa penjajah barat membahagikan negara-negara umat Islam kepada ‘negara-bangsa’.

Para ulama dan cendekiawan Islam telah mengumpulkan kekuatan dengan menyatupadukan umat Islam dengan membentuk pergerakan, organisasi umat Islam untuk mengembalikan Islam ke mercu tanda yang pernah dicapai sebelumnya.

Sehingga kini, walaupun organisasi dan pergerakan Islam tumbuh di seluruh negara umat Islam, tetapi ia masih tidak mampu menghasilkan pemerintahan Islam kecuali Republik Islam Iran yang berjaya diwujudkan melalui satu revolusi Islam di abad yang lalu, iaitu pada tahun 1979.

Walaupun penduduk Iran bermazhab Syiah, tetapi negara inilah yang berani menyatakan pendirian Islam terhadap kuasa AS dan barat. Negara Islam Iran adalah di antara negara yang tidak tunduk dan mengikut sahaja telunjuk AS dan barat dalam percaturan politik antarabangsa.

Banyak lagi negara umat Islam baik yang menamakan dirinya sebagai negara Republik Islam, kerana diketuai oleh presiden atau negara yang mempunyai raja, amir atau sebagainya, tetapi tunduk, mengikut telunjuk, bahkan menjadi ‘tali barut’ kepada kuasa AS dan barat.

Pentadbiran AS sekarang yang dipimpin oleh Presiden Obama yang berketurunan Afrika, walaupun menguar-uarkan perubahan tetapi tetap meneruskan perang terhadap negara umat Islam seperti yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Pakistan, Somalia dan lain-lain wilayah negara umat Islam.

Umat Islam Algeria yang pernah memberikan kemenangan kepada FIS, pertubuhan pergerakan Islam, dalam pilihan raya, tetapi kemenangan itu dibatalkan oleh kuasa tentera negara itu. Keadaan yang sama berlaku di Turki, apabila Erbakan memenangi pilihan raya, pemerintahan Erbakan dipendekkan dengan campur tangan tentera Turki yang menjadi pendukung dasar sekularis Turki.

Di Palestin, kemenangan Hamas, sebuah pergerakan Islam tidak diiktiraf oleh AS dan barat. Hamas dipinggirkan. Fatah yang kalah dalam pilihan raya Pihak Berkuasa Palestin, yang memberi erti bahawa Palestin masih berada di bawah penaklukan rejim Yahudi, diberi pula tempat oleh kuasa-kuasa yang menamakan diri mereka ‘masyarakat antarabangsa’ dengan meneruskan rundingan pembentukan negara Palestin dengan rejim Yahudi.

Bagaimanapun dengan terbentuknya rejim Yahudi yang baru selepas pilihan raya baru-baru ini dan rejim itu kini dipimpin oleh Benjamin Natanyahu, rundingan telah tertangguh dan pimpinan haram Yahudi ini berkeras menolak segala unjuran AS dan barat dalam soal penempatan Yahudi di Tebing Barat dan di Timur Baitulmuqaddis.

Rejim Yahudi menolak kebanyakan ketetapan yang dibuat PBB dan negara haram itu meneruskan agenda perluasannya dan kini apa yang disarankan oleh pentadbiran Obama sedikit pun tidak dipedulikan.

Dalam kalangan negara bukan Islam yang tidak tunduk dan tidak mengikut telunjuk AS dan barat ialah Korea Utara, Cuba, China, Rusia dan beberapa buah negara lain. Walaupun AS dan barat mengenakan sekatan terhadap Korea Utara dan Cuba, tetapi negara-negara baki peninggalan komunis ini tetap berpendirian mempertahankan identiti dan kedaulatan mereka.

Republik Rakyat China ekonominya sedang berkembang pesat dan berupaya menyaingi AS. Rusia pula kelihatan mahu mengembalikan peranannya sebagai kuasa saingan yang pernah dimainkannya semasa Soviet Union dahulu. Rusia menjadi kuasa yang tidak boleh diperlekeh oleh AS dan barat.

Inilah negara-negara yang tidak dapat ditundukkan dan tidak mengikut telunjuk AS dan barat, tetapi negara-negara lain kebanyakannya di bawah pengaruh dan hegemoni AS dan barat, terutama negara-negara umat Islam.

* Penulis ialah perunding media di Kuala Lumpur.

sumber - sinar harian


Tiada ulasan: