MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

25 Jul 2009

Hanya Inkues (mahkamah) boleh tentukan punca kematian Teoh: Gani Patail

KUALA LUMPUR: Inkues bagi mencari punca kematian Teoh Beng Hock yang dijalankan oleh majistret mengikut Kanun Acara Jenayah (KAJ), adalah saluran undang-undang yang betul dan sesuai bagi kes seumpama itu.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 pula bertujuan meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan prosedur soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menegaskan fungsi penubuhan suruhanjaya berkenaan tidak sepatutnya disalahertikan dengan inkues mengikut KAJ.

Beliau menjelaskan KAJ adalah undang-undang khusus yang memberi peruntukan kepada siasatan terhadap sesuatu kematian.

"Hanya mahkamah boleh menentukan sebab dan punca serta perkara berkaitan kematian. Oleh itu, jika satu lagi siasatan yang sama diadakan, tetapi dijalankan pula oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja, ia akan menyebabkan wujud pertindihan siasatan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan tiga halaman itu dikeluarkan bagi memberi penjelasan berhubung kekeliruan pelbagai pihak berkaitan fungsi Suruhanjaya Siasatan Diraja dan inkues berkenaan yang akan bermula di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu depan hingga 12 Ogos.

Kabinet memutuskan inkues itu dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh, yang mencetuskan kontroversi kerana mendiang ditemui mati di koridor Tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, 16 Julai lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi dalam kes penyalahgunaan peruntukan wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor.

Teoh, 30, adalah Setiausaha Politik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Berikut kenyataan penuh Abdul Gani bertajuk 'Inkues kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah:

MENGIKUT Kanun Acara Jenayah, inkues diadakan untuk menyiasat bila, di mana, bagaimana dan punca kematian si mati serta sama ada terdapat unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.

Perkara ini diperjelaskan dalam keputusan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah dalam kes Loh Kah Kheng (1990) yang dipetik sebagai berkata:

"Mesti diingat bahawa fungsi seorang majistret mengendalikan satu siasatan mengikut Bab XXXII KAJ ialah untuk menyiasat, bila, di mana, bagaimana dan selepas dalam cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada mana-mana orang secara jenayah terbabit dalam menyebabkan kematian itu (seksyen 337). Definisi 'Punca kematian' di bawah seksyen 328 ialah untuk memasukkan dengan jelas bukan saja punca kematian seperti ditentukan oleh pemeriksaan atau pemeriksaan bedah siasat tubuh si mati, tetapi juga semua perkara yang perlu untuk membolehkan pendapat dibentuk mengenai cara si mati menemui kematiannya dan juga sama ada kematiannya berpunca akibat daripada mana-mana cara, atau telah dipercepatkan oleh sebarang tindakan tidak mengikut undang-undang atau berlaku akibat perbuatan orang lain. Oleh yang demikian, majistret akan mengadakan siasatan dengan memeriksa saksi-saksi yang telah bersumpah dan pada masa yang sama lazimnya mematuhi peraturan biasa mengenai keterangan, beliau mungkin menerima mana-mana keterangan yang beliau fikir sesuai, terutama keterangan dengar cakap. Tugasnya ialah untuk menentukan punca kematian dan beliau tidak terikat untuk mematuhi prosedur undang-undang mahkamah yang biasa."

Mengikut Seksyen 333 KAJ, inkues tidak perlu diadakan jika Majistret berpuas hati dengan sebab kematian, tetapi dalam semua kes lain adalah mandatori untuk majistret mengadakan inkues, lebih-lebih lagi dalam kes kematian mengejut. Jika Suruhanjaya Diraja juga melakukan siasatan sama, ia akan menyebabkan berlaku pertindihan.

Dalam kes Teoh, saya menggunakan peruntukkan Seksyen 339(1) KAJ untuk mengarahkan Majistret mengadakan siasatan terhadap punca dan keadaan yang menyebabkan kematian Teoh dan Majistret terikat untuk mengadakan siasatan itu. Maka, adalah jelas bahawa saluran yang betul dan sesuai telah diperuntukkan oleh undang-undang untuk kes sedemikian.

Tambahan, kerajaan juga sudah memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Fungsi suruhanjaya itu tidak sepatutnya disalahertikan dengan siasatan yang dibuat mengikut KAJ.

Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 secara jelas menyatakan rujukan kepada penyiasatan berhubung perilaku dan pengurusan pegawai serta jabatan kerajaan atau untuk kebajikan orang awam.

Kebajikan dalam The New Shorter Oxford English Dictionary didefinisikan sebagai "kegembiraan, kesejahteraan, kesihatan baik atau kekayaan seseorang, masyarakat dan lain-lain; kejayaan kemajuan, kemakmuran."

Oleh itu, peranan Suruhanjaya Diraja Siasatan tidak boleh diperluaskan untuk meliputi siasatan bagi kematian sebegini, di mana siasatan oleh Majistret di bawah KAJ adalah lebih sesuai dan didukung oleh undang-undang.

Sebelum ini, apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan ketika tragedi Terminal Feri Pulau Pinang dan kilang mercun Bright Sparklers, rekod menunjukkan terma rujukan bagi kedua-dua tragedi itu meliputi hal pentadbiran, pengurusan dan kepatuhan terhadap prosedur serta piawaian keselamatan.

Tragedi dan bencana itu yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa adalah disebabkan kecuaian dan ketidakpatuhan prosedur operasi oleh pihak berkuasa berkaitan. Kedua-dua suruhanjaya itu tidak menyentuh punca kematian mangsa.

Oleh itu, KAJ sebagai undang-undang khusus yang mempunyai peruntukan untuk siasatan kematian, maka sewajarnya bagi mahkamah menentukan punca kematian dan perkara yang berkaitan dengannya.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja pula adalah tepat dan berdasarkan undang-undang bagi tujuan menyiasat aspek prosedur yang diguna pakai SPRM dalam menjalankan siasatan mereka.

Apa yang penting kita mesti mematuhi undang-undang negara untuk memelihara kepentingan kerajaan dan masyarakat.

Siasatan mengikut KAJ diperuntukkan oleh undang-undang, manakala siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah cara untuk memperoleh kebenaran secara adil dan saksama.

Ia juga akan menangani sepenuhnya semua kebimbangan yang ditimbulkan kerajaan dan masyarakat pada keseluruhannya.

sumber- berita harian


Tiada ulasan: