Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Jodoh pertemuan dan ajal maut semuanya di tangan Tuhan.
Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan oleh Soh Sher Wei, 28, bakal isteri Teoh Beng Hock yang mati secara tragis semalam.
Pasangan itu merancang mendaftarkan perkahwinan mereka hari ini sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober.
Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun Soh (foto, baju putih) masih beruntung kerana zuriat mereka berdua masih ada dan bertekad akan melahirkannya, kini berusia dua bulan, lapor laman web China Press hari ini.
Bercakap kepada akhbar itu pagi ini di hospital Kelang - tempat bedah siasat mayat Teoh dijalankan - guru di Semenyih itu berkata tunangnya mengetahui kehamilannya.
Menurut akhbar yang sama, beberapa teman Teoh sukar menerima kemungkinan mendiang membunuh diri kerana, pada pagi Rabu, bekas wartawan itu menghubungi mereka dan mengundang ke majlis persandingannya.
Panggilan itu dibuat beberapa jam sebelum diminta hadir di pejabat SPRM kira-kira 6 petang bagi memberi keterangan sebagai saksi siasatan kes salah guna wang peruntukan DUN -
Teoh, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, bertanya kepada rakan-rakan yang dihubunginya sama ada mereka akan memeriahkan saat-saat manis beliau mengakhiri zaman bujangnya.
Seorang rakannya, yang tidak sempat menjawab panggilan tersebut, dilaporkan berasa kesal atas kesempatan terakhir itu. Rakan itu juga sukar menerima kemungkinan pemuda ini mati membunuh diri.
Sementara itu laman web akhbar Guang Ming Daily hari ini pula melaporkan ibunya Chong Saw Huay, 56, menangis tidak henti-henti sejak menerima berita tragis itu petang semalam.
Setiap kali melihat gambar anaknya, yang terbaring kaku, di dada akhbar, ibunya dilaporkan akan menangis sementara menunggu mayatnya dibawa pulang ke pangkuannya.
Mayat mendiang dijangkan akan disemadikan di Alor Gajah, 11 pagi Isnin ini.
Wanita itu semalam dilaporkan pengsan sewaktu menerima panggilan telefon daripada seorang pembantu exco kanan Selangor, Teresa Kok.
Bercakap kepada akhbar itu di rumahnya hari ini, Chong berkata anaknya itu bersama Soh, berasal dari Batu Pahat, sepatutnya pulang ke Alor Gajah untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka yang dirancang 3 Oktober ini - bersempena Pesta Tanglung.
Pasangan juga merancang akan mencuba pakaian pengantin hari ini.
Dewan untuk melangsungkan majlis tersebut dan makanan telah ditempah, Chong dilaporkan berkata lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Guang Ming Daily juga melaporkan bapa mendiang Teoh Liang Fai, 61, sanggup menerima anak yang bakal dilahirkan Soh walaupun hanya mengetahui kehamilan itu hari ini.
Hamil sebelum perkahwinan "perkara biasa, tolong jangan pandang serong," pemandu teksi itu dipetik berkata.
Beliau juga bersedia meletakkan nama Soh sebagai "isteri" di iklan belasungkawa di akhbar.
sumber - malaysiakini
Teoh bakal bergelar bapa, tunang hamil 2 bulan
KLANG: Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui mati semalam, rupanya bakal bergelar bapa kerana tunangnya kini hamil dua bulan.
Tunang Teoh, Soh Cher Wei, 28, seorang guru di Semenyih dekat sini mengesahkan mengandungkan anak Teoh.
"Saya akan tetap menyimpan anak ini walaupun Beng Hock sudah tiada sebagai penyambung kasih sayang kami," katanya yang tidak mampu menahan tangisan kepada pemberita semasa menuntut mayat Teoh di rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Soh berkata, mereka sepatutnya mendaftar perkahwinan mereka di Alor Gajah, Melaka semalam.
Pasangan itu berkenalan sejak lima tahun lepas semasa sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetapi mula bercinta dua tahun kebelakangan ini dan seterusnya bertunang pada minggu lepas.
Bagaimanapun hasrat pasangan itu untuk berkahwin tidak kesampaian apabila Teoh, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14 kelmarin.
Teoh, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri.
Yong merupakan antara tujuh wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri Selangor yang sedang disiasat SPRM yang turut melakukan serbuan di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan bagi mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri itu dibelanjakan.
Abang Teoh, Beng Kee, 33, berkata, beliau mendapat tahu mengenai kematian adiknya itu setelah dimaklumkan oleh seorang lagi adiknya pada pukul 5 petang kelmarin.
Beng Kee yang bekerja sebagai pengurus gudang di Shah Alam berkata semasa hayatnya mendiang seorang yang periang dan peramah dan menurutnya kali terakhir adiknya itu menghubunginya ialah pada minggu lepas untuk memaklumkan ingin mengambil gambar pertunangannya.
Ditanya mengenai ketidakhadiran ibu bapa mereka untuk menuntut mayat Teoh, katanya mereka kini berada di Alor Gajah bagi menguruskan urusan pengebumian adiknya itu.
Adik perempuan Teoh, Lee Lan, 29, seorang juruaudit pula berkata, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya itu pada Ahad lepas semasa abangnya itu pulang ke Melaka bagi menguruskan hal perkahwinannya.
Bekas majikan Teoh, Timbalan Pengarang Berita Sin Chew Daily, Low Yak Buang berkata, Teoh mula bekerja di akhbar itu pada 2004 dan meletak jawatan selepas pilihan raya umum ke1-2 tahun lepas kerana ditawarkan menjadi setiausaha politik kepada Yong.
Mayat Teoh selesai dibedah siasat pada kira-kira 6.25 petang semalam dan terus dibawa pulang ke Alor Gajah dan dijangka dikebumikan di Semenyih Memorial Park pada Isnin ini.
sumber mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan