Oleh : MSO
KEGAGALAN Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Husam Musa untuk merampas kerusi Timbalan Presiden Pas dan menendang Nasharudin Mat Isa keluar dari ibu pejabat agung di Jalan Raja Laut sesuatu yang mengejutkan ramai pihak. Paling mengejutkan ialah mereka di luar sana, anak-anak muda dan mereka yang menerima konsep liberalisasi dan modenisasi politik yang dicanang oleh Husam.
Secara umum anak-anak muda yang baru menjejak kaki ke gelanggang siasah – berusia 25 tahun hingga 45 tahun atau yang tetas dan terbuka mata sejak meletusnya reformasi 1998, melihat Husam sebagai tokoh baru menjadi idola mereka. Husam adalah pemimpin masa depan yang bakal menerajui Pas dan politik bangsa negara. Husam dicami sebagai pemimpin pemangkin kekuatan Pas dengan pendekatan dan lenggang lengguknya berpolitik melewati ruang kepompong Pas.
Tidak dinafikan aura Husam memang hebat. Beliau sudah berjaya mencetakkan dirinya sebagai pemimpin nasional. Gaya, perwatakan dan penerimaan umum ke atasnya ada iras-iras penampilan ‘kewayangan’ politik Anwar Ibrahim.
Kesempatannya menduduki kerusi Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan memberi kesempatan baik untuk beliau menampil dan mengasah bakatnya dalam politik menungkah arus.
Walaupun kedudukan Husam nombor tiga dalam hieraki Pas, tetapi sikap, pemikiran dan penampilannya menunjukkan dia setanding dan membayangi kehebatan Anwar. Dalam satu-satu masa lain dalam konteks Pakatan Rakyat beliau dilihat sebagai presiden de facto Pas seperti mana Anwar satu masa dulu presiden de facto kepada PKR.
Inilah hakikat yang ada kepada diri ketua Pas kawasan Pas Kubang Kerian Kelantan itu. Jadi apabila beliau kalah pagi tadi, menyebabkan para penyokong Husam merasakan bagai dalam satu mimpi saja. Mereka terpinga-pinga sukar untuk mempercayai bahawa tokoh bintangan mereka telah terjelapak ke bumi. Apa lagi media penyokongnya telah membuat sebaran awal kononnya beliau menang besar.
Kekalahan Husam itu memberi petunjuk dan membawa implikasi tertentu kepada dirinya dan juga individu lain. Yang jelasnya penolakan Husam oleh para perwakilan itu menunjukkan aura dan arus di luar sana tidak cukup kuat untuk merombak serban dan mencabut kopiah para perwakilan. Kekuatan di luar hanya gah yang tidak menggerunkan perwakilan.
Kekalahan itu tentulah memeranjatkan pengamal media atau pun bloger yang menyinsing lengan, tidak tidur malam, membuka surat khabar lama mencari bahan untuk berkempen dan mendaulatkan Husam sebagai pemimpin hebat sejak beberminggu-minggu lalu. Mungkin masih ada kalangan blogger tidak membuka laptop kerana tidak sanggup melihat laporan mengenai kekalahan bekas Naib Presiden Pas selama dua penggal itu yang berjaya hanya meraih 281 undi saja.
Betapa tidak jika ditinjau ke laman blog dan media internet, hampir seluruh berpihak kepada Husam. Semuanya teruja dengan Husam dan seolah-olah melihat Husam adalah Ahmad al Fateh yang akan membuka pintu Putrajaya bersama Pas. Seolah segala-galanya pada Husam. Dari sudut tertentu Husam lebih hebat daripada Anwar Ibrahim itu sendiri khasnya tentang kebersihan jiwa dan peribadinya?
Tetapi bagi orang yang memahami, kenal sepak terajang politik dan kamil dengan sifat dan sikap politik Pas yang berorentasikan Islam tidak mudah terpesona dengan segala lambungan dan junjungan ke atas Husam yang melampau-lampau. Para perwakilan menilai dari sudut dan perspektifnya sendiri dan bukan retorik. Sebab Islam itu sendiri bukan bahan retorik atau mainan. Islam itu ialah hakiki!
Mata yang memandang Husam diluar berbeza dengan mata yang melihat dari dalam dewan muktamar. Saya sudah menyatakan ini. Di luar, mata mereka dikenakan kanta sentuh ketaksuban yang tebal. Manakala di dalam dewan, perwakilan yang dikenakan dengan kanta sentuh yang tebal dengan kepentingan parti dan perjuangan dan mengkesampingkan agenda politik keorangan.
Begitu juga. Di luar atau mereka yang tidak pernah berada di laman Pas melihat Husam dari jauh, dari atas pentas. Penglihatan itu semuanya indah dan mempersonakan. Manakala di dalam (orang Pas) melihat dengan kedirian dan pengalaman mereka bersama Husam di mana setiap aroma yang keluar dari tubuh Husam dihidunya. Betapa pun di luar sana ribuan orang yang suka Husam namun mereka tidak dapat memberi oksigen langsung semasa pemilihan.
Saya yakin kalau pengundian di buat di luar, Husam akan mendapat undi tertinggi manakala dua calon lagi akan kalah teruk.
Saya cukup yakin seramai 741 para perwakilan iaitu kira-kira 70% yang menolak beliau ialah menolak gagasan politik dan keperibadian Husam dan juga gaya dia berpolitik. Jumlah ini bukan sedikit ianya harus dikaji dan dianalisa oleh Husam. Jika beliau mahu kembali ke persada kekuasaan Pas, maka beliau kena perbetulkan kekhilafan dan keterlanjuran yang beliau lakukan baik sedar atau tidak.
Kesilapan lain Husam ialah bukan kerana tidak cukup hebat. Husam cukup hebat berbanding dengan sesiapa sahaja dalam Pas. Ini juga hakikat. Mungkin beliau merasa seronok tetapi melupai aspek lain. Bahawa Pas tidak boleh digerakan dengan kehebatan seseorang. Kalau ia tidak selari dengan kehendak parti dia akan ditentang tidak kira siapa.
Sejarah yang menimpa, bekas Presiden Pas, Mohd Asri Muda, bekas Setiasusaha Agung Abu Bakar Hamzah, bekas Naib Presiden, Nakhaei Ahmad dan beberapa pemimpin lain sepatutnya diambil iktibar olehnya. Orang ini semua hebat, tetapi bila ia cuba membawa pemikiran melencung dari gagasan dan prinsip parti maka mereka akhirnya ditolak tanpa ada simpati dan kompromi.
Kesilapan lain Husam ialah cara beliau berkempen. Husam begitu percaya kepada bentuk kempen agresifnya yang sistemetik! Kempen bentuk baru ini juga satu testing kepada Pas sendiri. Saya tidak nampak ianya dinasihati atau dipantau oleh Husam seluruhnya. Kebanyakan blog adalah dibangun sukarela atas minat dan berkenan mendalam kepada Husam. Mereka ini juga suka kepada Pakatan Rakyat dan menolak sama sekali idea perbincangan dengan Umno.
Bagaimana pun disebabkan bahan kempen mereka ini tidak diselia maka timbullah kecelaruan.
Husam terlampau mempamerkan keghairahan (excited) untuk menduduki kerusi berkenaan. Sikap ini pada bila-bila masa bertentangan dengan prinsip dan akhlak parti Pas. Dan bagi ahli Pas seperti mana kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilih, Mustafa Ali sesiapa yang kuat berkempen biasanya akan kalah. Signal awal itu tidak dipedulikan Husam untuk menarik brek jentera kempennya dari terus melampau. Malahan beliau jadikan kata-kata Mustafa itu sebagai musuhnya pula.
Tetapi sebagai pemimpin futurustik yang kaya dengan idea, sukar untuk menerima nasihat dan signal begitu. Bahkan mungkin beliau beranggapan ianya satu halangan atau tektik untuk menggoncangkan mimpinya untuk berkuasa.
Hakikat ini jelas dalam blog-blog menyokong Husam di mana kritikan dan sanggahan terhadap idea yang cuba membetulkan tindakan dan aksi politik Husam dilawan dan dibelasah secara emosional dan keras. Nampak sekali sikap keras pedal dan keras kepala ini menggambarkan akan sikap ego tinggi bakal MB Kelantan itu.
Kekalahan Husam boleh dirumuskan;
1. Gagasan politiknya; liberalisme dan modenisasinya kontradik dengan gagasan parti yang dibawa oleh Presien. Gagasannya baik dan bernas tetapi silapnya beliau tergesa-gesa mahu melaksanakan tanpa melihat kepada keupayaan dirinya.
2. Bentuk kempen yang agresif, mendahului kaedah dan amalan sebelum ini dan bahan kempen yang tidak dipantau menyebabkan ia bersifat emosi dan menyimpang dari amalan Pas.
3. Menyerlah keghirahan yang tinggi untuk membuat perubahan ke atas parti. Sikap ini dianggap sebagai gelojoh dan kurang fatanah.
4. Kenyataan-kenyataan yang bersifat ego dan terlalu profesional misalnya pertandingan itu sebagai mesej teguran kepada parti, ataupun meletakkan dirinya sebagai harapan masa depan parti sekaligus merendahkan pencapaian orang lain. Sikap sebegini tidak berapa disenangi oleh veteran Pas.
Saya tidak nampak penyertaan Mohamad Sabu sebagai penghalang kepada Husam. Kerana kalau Husam memang sudah kuat, mantap dan diterima Pas, siapa pun dan berapa ramai calon bertanding, perwakilan akan tetap memilihnya untuk digandingkan dengan Abdul Hadi Awang.
Kekalahan Husam itu sedikit sebanyak memberi implikasi dan persepsi buruk kepada kemuliaan Musyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Husam secara sedar atau tidak telah mempergunakan Nik Aziz sebagai menguatkan sokongan kepadanya dengan mempamirkan kononnya beliau menjadi kesayangan kepada Nik Aziz.
Kegagalan Husam menterjemahkan bahawa dia adalah segala-galanya bagi Nik Aziz satu kesalahan besar seumpama beliau memasuki perangkap harimau dan menguncinya dari luar kemudian melemparkan anak kunci ke dalam sungai berarus deras.
Kekalahan Husam itu memberi pengajaran cukup berguna kepadanya bagi beliau membuat mahasabah dirinya dari dalam dan luar. Kekalahan itu adalah jadam pahit yang harus beliau telan kerana penyakit yang ada pada dirinya sangat memerlukan ubat sepahit jadam.
Bermula hari ini Husam hendaklah menjadikan jadam sebagai bil suplimen dalam meniti hari-hari sebagai seorang ahli biasa Pas yang hanya memegang jawatan ketua Pas Kubang Kerian.
sumber - mso
Tiada ulasan:
Catat Ulasan