email Joy roky
Lia Eden atau Lia Aminuddin, pengasas agama Salamullah dilahirkan di Surabaya, Jawa Timur pada 21 Ogos 1947. Ibunya adalah Zainab, dan bapanya, Abdul Ghaffar Gustaman, seorang pedagang dan pengkhutbah Islam aliran Muhammadiyah.
Apabila menjangkau umur 19 tahun, Lia berkahwin dengan Aminuddin Day, seorang pensyarah jurusan kejureteraan di Universiti Indonesia. Pasangan ini mempunyai empat orang anak.
Lia pada waktu muda telah membuat nama untuk dirinya kerana kemahirannya menggubah bunga yang sudah kering. Dia mempunyai sebuah rancangan menggubah bunganya sendiri di stesyen televisyen kebangsaan
Dakwaan mengalami perkara ajaib
Menurut Lia, perrtemuan ajaibnya yang pertama adalah sewaktu dia melihat sebuah bola bercahaya kuning berputar di udara dan lenyap sewaktu ia baru menghinggap di kepalanya. Perkara ini berlaku sewaktu dia sedang bersantai dengan abang mertuanya di serambi rumahnya di Senen pada 1974.
Menurutnya lagi, peristiwa ajaib yang telah menukarkan prinsip kehidupannya berlaku pada malam 27 Oktober 1995 semasa dia sedang bersolat. Pada masa itu, dia telah merasakan kehadiran pemimpin rohaninya, Habib al-Huda yang mendedahkan dirinya sebagai Jibril pada waktu itu.
Pengasas agama baru
Selain menganggap dirinya sebagai penyebar wahyu Tuhan menerusi Jibril, dia juga merasakan dirinya memiliki kuasa untuk menyembuh. Dia juga mula mengarang lagu, syair dan juga buku sebanyak 232 halaman bertajuk, "Perkenankan Aku Menjelaskan Sebuah Takdir" yang didakwa ditulis dalam masa 29 hari.
Pada 1998, Lia memanggil dirinya Imam Mahdi, yang menurut kepercayaan yang lazim akan muncul di dunia sebelum hari kiamat untuk membawa keamanan dan keadilan di dunia. Selain itu, dia juga memanggilnya Bunda Maria, ibu kepada Yesus Kristus. Lia mengatakan bahawa anaknya, Ahmad Mukti, adalah Yesus Kristus.
Agama yang dibawa oleh Lia ini berhasil mendapat lebih kurang 100 penganut pada hari-hari awalnya. Penganut agama ini termasuk pakar budaya, golongan cendekiawan, artis muzik dan lakon dan juga pelajar. Mereka semua digelar pengikut agama 'Salamullah'. Lia merupakan seorang penulis dan penghujah yang pakar dan berjaya meyakinkan orang mengenai kebenaran dakwahnya.
Pada Disember 1997, Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengutuk kumpulan Salamullah ini kerana terseleweng dari ajaran Islam yang benar. Kumpulan ini membalas balik dengan mengeluarkan "Undang-undang Jibril" (Gabriel's edict) yang mengutuk MUI kerana berkelakuan tidak adil kerana telah menghakimi mereka dengan sewenang hati.
Kumpulan Salamullah ini juga terkenal dengan melancarkan peperangan ke atas kepercayaan orang Jawa, iaitu Nyi Roro Kidul yang didewa sebagai ratu mitos lautan selatan. Pada 2000, agama Salamullah ini diisytiharkan oleh pengikut-pengikut mereka sebagai sebuah agama baru. Agama Salamullah bersetuju bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi yang terakhir tetapi juga percaya bahawa ketua-ketua agama yang lain seperti Gautama Buddha, Yesus Kristus, dan Kwan Im, dewi pembawa rahmat yang disembah orang Cina, akan muncul kembali di dunia.
Sejak 2003, kumpulam Salamullah ini telah memegang kepercayaan bahawa setiap agama dan budaya memegang kepada kebenaran yang sama rata. Kumpulan yang diketuai Lia Eden ini kini dikenali sebagai Kaum Eden. Lia Eden kini digelar, Sri Ratu Sang Matahari Terbit Syamsuriati Lia Eden Yang Setia Dan Yang Benar.
Laman rasmi Lia Eden
http://www.liaeden.info/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan