Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB
PUTRAJAYA: Rayuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan memindahkan kes liwat beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, yang dijadual hari ini, ditangguhkan hingga petang esok.
Hakim Abdul Wahid Embong yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan perkara tersebut selepas peguam yang mewakili Anwar memohon supaya kes itu ditangguhkan kerana Anwar dan seorang lagi peguamnya, R. Sivarasa perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada pagi ini.
Kes tersebut akan didengar pada pukul 2.30 petang esok.
Permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwa raya.
Anwar turut hadir ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama seorang anak.
Sementara itu, Sivarasa ketika ditanya sama ada penangguhan tersebut akan melewatkan lagi proses rayuan memandangkan perbicaraan kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 8 Julai ini, beliau berkata perkara tersebut tidak menjadi satu masalah kepada pihaknya.
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Ekoran itu, Anwar, 62, didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
sumber - mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan