MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

4 Mei 2009

Kumpulan pro Anwar tercabar jika PAS tanding di Penanti

Oleh: ROSLAN BIAN, agendadaily

Walaupun sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menolak andaian berlaku perpecahan dalam parti itu membabitkan kumpulan pro Anwar dan ulama tetapi ‘bangkai gajah mustahil dapat ditutup dengan selimut.

Kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin parti itu kebelakangan ini jelas menampakkan kemelut dalam parti yang selama ini melaungkan slogan perjuangan Islam kini sudah membuka pintu kehancuran.

Jika sebelum ini pembangkang menunduh pemimpin UMNO ‘gila kuasa’ setiap kali pemilihan parti, ianya kini ibarat air yang terpercik di muka pemimpin pembangkang terutama PAS yang akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan dalam muktamarnya Jun nanti.

Pemilihan itu kelak akan jadi titik tolak bagi memastikan PAS terus relevan sebagai parti yang mempertahankan prinsip Islam atau bertukar liberal dengan membenarkan parti itu dikuasai kumpulan yang disokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas pada pemilihan nanti adalah ibarat pertembungan kalah mati kumpulan ulama dan Erdogan dan ianya sudah tidak dapat dielakkan lagi malah beberapa media alternatif termasuk lidah rasmi PAS menyiarkan laporan yang lebih kepada kumpulan Erdogan.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Md Isa khususnya digambar sebagai pemimpin parti yang gagal membawa pembaharuan dalam PAS sejak parti itu bersekongkol dengan PKR dan DAP.

Kedua-dua mereka dijadikan sasaran kumpulan Erdogan yang menentang sebarang usaha kerajaan perpaduan antara parti itu dengan UMNO.

Siapa sebenarnya yang menentang usaha ini?. Siapa sebenarnya yang takut jika PAS dan UMNO tidur sebantal demi survival orang Melayu dan Islam?.

Beberapa pemipin PAS yang ditanya soalan ini menunding jari kepada Anwar. Ketua Pembangkang itu tahu bahawa sebarang usahasama antara UMNO-PAS akan menjadi ledakan yang pasti menghancurkan cita-citanya untuk menguasai pimpinan negara ini.

Bayangkan apa akan jadi jika selama ini Anwar berharap 30 ahli parlimen Barisan Nasional akan melompat menyokong rancangan menjadikannya Perdana Menteri tetapi dengan tiba-tiba kira-kira 30 ahli parlimen Pas pula keluar dari kumpulan pembangkang dan menyokong UMNO-BN.

Mimpi ngeri inilah yang cukup menghantui Anwar. Justru itu, tidak hairanlah dengan sokongan beberapa pemimpin PAS yang dijanjikan jawatan sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri, PAS wajib menolak sebarang kerjasama dengan UMNO.

Dengan baling batu sembunyi tangan, Husam, Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar serta beberapa pemimpin lain dilihat meneruskan agenda Anwar yang sebelum ini menjadikan PAS sebagai pokok tumpang untuknya mencapai cita-cita politik.

Ada kalangan pemimpin asal PAS kini mulai bimbang ‘pokok tumpang itu akan membunuh pokok yang ditumpang’ ibarat Dedalu Api hinggap ke pohon kayu- hinggap di batang, mati batang, hinggap di ranting, ranting yang patah.

Barangkali yang menjadi masalah adalah kerana ancaman ini tidak disedari peringkat bawahan dalam PAS yang lebih kepada menerima apa sahaja di‘fatwa’kan kepada mereka oleh pemimpin atasan.

Ini diakui pemimpin parti itu kepada Agendadaily. Pemimpin PAS asal atau kumpulan ulama ini perlu mencari sebab kukuh bagi menyakinkan ahli bawahan kenapa kumpulan Erdogan wajib disingkirkan dan tidak menjadi ‘duri dalam daging’.

Sebab itulah katanya, pemilihan pada mukatamar ke 55 parti itu Jun ini akan menjadi pertarungan ‘kebenaran dan kebathilan’ kedua-dua kumpulan dalam PAS.

Bibit-bibit perang jawatan ini sudah mula kelihatan dengan kenyataan kesediaan Husam, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Dr Hassan Ali dan Mohamad Sabu untuk mencabar Nasharuddin.

Daripada senarai tersebut, Dr Hassan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dilihat sebagai penyokong kumpulan ulama manakala Azizan dan Mohamad Sabu adalah mereka yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Bagaimanapun, sebelum pertarungan sebenar Jun nanti, gendang perang dalam PAS sudah dipalu dengan mesyuarat kawasan PAS yang sedang berlangsung di setiap negeri bagi mencalonkan pucuk pimpinan parti.

Namun, gendang perang semakin rancak dengan pilihanraya kecil Dewan Undangan Penanti di kawasan parlimen Parmatang Pauh yang bakal diadakan 31 Mei ini.

Walaupun pemimpin PAS Pusat, Kamaruddin dan Mustafa Ali sudah menyatakan pendirian bahawa parti itu akan memberi laluan kepada PKR meletakkan calonnya, Dr Mansor Othman tetapi pemimpin PAS Pulau Pinang terus memberontak.

Kenyataan terbaru Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan untuk terus bertanding dalam pilihanraya kecil itu sekaligus akan menguji pengaruh kedua-dua kumpulan dalam PAS.

Seperti dijelaskan Omar, matlamat utama pihaknya menyuarakan hasrat tersebut adalah demi kepentingan pengundi Permatang Pauh dan tanggungjawab PAS membela nasib penduduk di kawasan berkenaan.

"Nampaknya wakil rakyat daripada PKR sebelum ini tidak boleh membela nasib rakyat... jadi atas rasa tanggungjawab kami menawarkan diri.

"Kami sedar pimpinan pusat melarang untuk PAS bertanding, tapi Insya-Allah selagi penamaan calon masih belum diadakan, ruang perbincangan masih ada antara kami," katanya merujuk peletakan jawatan Fairus Khairuddin sebagai ADUN kawsan itu, bulan lalu.

PAS Permatang Pauh bukannya bersendirian dalam soal mahu bertanding di Penanti tetapi Pemuda PAS Pulau Pinang juga berpendirian sama.

Ketuanya Mohd. Hafiz Mohd Nordin mahu PKR memberikan kerusi itu kepada PAS bertanding memandangkan prestasi Fairus sebelum ini tidak memuaskan.

Apa yang jelas, PAS tidak menyenangi cara kerusi itu dikosongkan selain Dr Mansor yang akan bertanding kelak bukanlah anak tempatan.

Mereka khuatir pisang berbuah dua kali dengan wakil rakyat PKR yang menang nanti mengabaikan penduduk tempatan.

"Kita mahu penduduk tempatan yang tinggal di kawasan ini menjadi wakil rakyat, bukan orang luar yang belum memahami kehendak rakyat di sini.

"Beliau orang pulau... bukan orang Penanti, susahlah kalau ADUN tinggal di sebelah pulau dan Ahli Parlimen (Anwar) tinggal di Kuala Lumpur.

"Macam mana nak jadi wakil rakyat kalau wakil itu tidak bersama rakyat," katanya.

Persoalannya, adakah Anwar sanggup menyerahkan kerusi Penanti yang dilabelkan kubu kuatnya selama ini kepada PAS?.

Perlu diketahui selain Penanti, dua DUN lain iaitu Permatang Pasir diwakili PAS manakala Seberang Jaya orang wakil BN.

Anwar pasti tidak mahu jadi harimau yang tiada taring di kawasan parlimennya. Mahu atau tidak, beliau pasti menggunakan rakan-rakannya dalam PAS supaya memastikan parti itu tidak bertanding pada 31 Mei ini.

Perkembangan inilah yang sedang dilihat semua ahli dan pemimpin politik. Apakah, PAS Permatang Pauh akan terus membiarkan mereka diperalat sekali lagi untuk memenangkan calon PKR, Dr Mansor atau mereka perlu memberi signal bahawa mereka mahu menconteng arang di muka pemimpin PAS yang menyokong Anwar dengan bertanding di situ. Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

BN dijangka mengumumkan sama ada bertanding ataupun sebaliknya minggu ini selepas Biro Politik bermesyuarat Isnin ini

sumber - agendadaily

Tiada ulasan: