MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

6 Mei 2009

Grand design Anwar mem'PKR'kan PAS



Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Mei - Jati diri Pas sebagai parti Islam yang konsisten diramalkan terhakis secara perlahan-lahan sekiranya kemaraan golongan pro-Anwar untuk menduduki jawatan utama parti itu gagal disekat.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, golongan yang semakin berpengaruh itu telah dipergunakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meliberalkan Pas.

Katanya, gerakan itu bertujuan membuka laluan kepada penyatuan antara Pas dan PKR bagi merealisasikan cita-cita politik Anwar.

"Antara kedua-dua parti itu terlalu banyak titik perbezaan, jadi Pas perlu dineutralkan supaya menjadi liberal seperti PKR bagi memudahkan mereka bersatu kelak.

"Pengaruh ulama dikurangkan supaya lebih mudah ideologi dan prinsip perjuangan Pas dilenturkan," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyudin Hassan yang membidas golongan pro-Anwar kerana menyalahkan Abdul Hadi dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

"Soalnya kenapa golongan ini hanya menyerang Presiden dan Timbalan Presiden dalam isu kerajaan perpaduan sedangkan ia turut melibatkan Anwar," katanya.

Mohamad Mustapha berkata, kemaraan golongan pro-Anwar akan menyebabkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hilang kawalan terhadap parti.

Katanya, mereka akan 'mengepung' Abdul Hadi dari segenap penjuru sehingga beliau terasing dan tidak boleh membuat apa-apa keputusan.

"Abdul Hadi akan 'terumbang-ambing' berseorangan kerana pemimpin utama parti lebih mendengar cakap Anwar," katanya.

Beliau berkata, usaha untuk meliberalkan Pas telah dilakukan secara terancang sejak Anwar disingkirkan daripada UMNO lagi.

Katanya, antaranya ialah dengan membawa masuk bekas pemimpin Angkatan Belia Malaysia (ABIM) dan individu yang mengagumi Anwar ke dalam Pas dan mereka kini berjaya memegang jawatan-jawatan strategik.

"Ulama juga berpecah dua, ada yang bekas ABIM seperti (Pesuruhjaya Pas Pahang), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan (Pesuruhjaya Pas Perak) Ahmad Awang.

"Bagaimanapun, ramai ahli Pas tidak sedar dengan gerakan pro-Anwar ini, hanya orang yang faham permainan politik Anwar seperti Abdul Hadi sedar mengenainya," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, Anwar dengan kelicikan strategi politiknya telah berjaya 'mengPKRkan' Pas melalui proksi seperti Datuk Kamaruddin Jaafar yang memegang jawatan Setiausaha Agung parti itu.

Katanya, dengan cara itu, nada perjuangan Pas dapat disederhanakan bagi mengelakkan merudumnya sokongan rakyat berbilang kaum kepada pakatan pembangkang.

"Memang Pas dipengaruhi oleh Anwar dan kelompok penyokongnya dalam parti itu sudah bersiap sedia untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Pas.

"Ia tidak mengejutkan kerana sebelum Anwar menyertai UMNO pada awal 80-an, Pas amat berharap Anwar menyertai perjuangan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory berkata, sejurus tersingkir daripada UMNO, Anwar tidak menyertai Pas mungkin disebabkan oleh kes-kes mahkamah yang boleh menjejaskan parti itu.

"Kalau beliau terus menyertai Pas, adalah tidak mustahil Anwar sudah memegang jawatan presiden, dulupun sudah ada usaha ke arah itu," katanya.

sumber - utusan malaysia



1 ulasan:

cik kiah berkata...

Kalau anwar jadi Presiden Pas...hancusss