MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

12 Apr 2009

Pisahkan Anwar dari reformasi..



Oleh : Ahmad Lutfi Othman

Tiga perkara ini berkaitan antara satu sama lain, tetapi ia perlu dipisah-pisahkan dan dibeza-bezakan demi untuk mencapai kebenaran dan melaksanakan keadilan.

Perkara-perkara itu adalah Anwar Ibrahim, Reformasi dan Gerakan Islam. Secara umum Gerakan Islam, seperti yang dimaklumi berasal daripada Rasulullah s.a.w. Gerakan Islam Rasulullah mewujudkan negara Islam Madinah. Akan tetapi secara khusus apabila disebut Gerakan Islam adalah dirujuk pada dakwah Islam zaman moden – iaitu selepas kejatuhan institusi khalifah.


Maknanya ialah idealisme Gerakan Islam yang dipelopori oleh Jamaluddin Al-Afghani dan dilanjutkan oleh jamaah-jamaah Islam di seluruh dunia khususnya Ikhwanul Muslimin yang diasaskan Hassan Al-Banna, Jamaati Islami yang dipimpin oleh Abu A’la Maududi dan juga Masyumi di Indonesia. Di Malaysia, ia berkembang menjadi PAS. Mereka semua mahu mewujudkan Negara Islam. Itulah ciri khas Gerakan Islam.

Bagaimanapun, istilah Gerakan Islam boleh dikhususkan lagi kepada perkembangan politik Islam kotemporer Malaysia bermula dari akhir tahun-tahun 70-an. Pada masa itulah muncul jamaah-jamaah Islam. Mereka muncul serentak di kalangan pelajar-pelajar Melayu, bukan saja di Malaysia tetapi juga di Britain yang mana berhimpunnya ramai pelajar Melayu yang terpilih melalui dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pelajaran Kebangsaan gubalan Umno.

Antara jemaah itu ialah ABIM, IRC, Al-Arqam, Suara Islam dan PAS baru, dalam erti kata PAS yang keluar daripada Barisan Nasional. Bersama mereka muncul tokoh-tokoh yang mengetuai atau menjadi tumpuan ketaatan jamaah-jamaah itu. (Jamaah Tabligh yang walaupun popular pada masa itu tidak dapat diketagorikan sebagai Gerakan Islam kerana ia tidak menegaskan dirinya dalam soal politik tanahair).

Mereka adalah Anwar Ibrahim yang memimpin ABIM, Ashaari Muhammad memimpin Al-Arqam, Alias Othman yang memimpin Suara Islam dan tokoh baru utama PAS ialah Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun, di atas segala nama-nama itu, Anwar Ibrahim adalah tokoh yang paling karismatik dan sebelum penyertaannya ke dalam Umno, Anwar boleh dianggap sebagai pemimpin utama Gerakan Islam di Malaysia.

Walaupun antara jamaah-jamaah itu mengkritik satu sama lain,tetapi oleh kerana matlamat mereka adalah satu – menegakkan Negara Islam, mereka kenal antara satu sama lain sebagai jamaah Islam dan pihak lain sebagai pihak sekular. Pihak lain itu adalah parti pemerintah – iaitu Umno. Maka sudah tentu mereka memusuhi Umno yang ketika itu dipimpin oleh Hussein Onn dengan timbalannya Mahathir Mohamad.

Jamaah-jamaah Islam ketika itu bukan saja kecil tetapi pengikut-pengikutnya juga terasing daripada arus perdana masyarakat. Yang berjanggut hanyalah mereka dan yang bertudung hanyalah mereka. Akan tetapi mereka terus berdakwah di sekolah, universiti dan masyarakat umum untuk menerapkan Islam sebenar atau seperti menurut pihak sekular, Islam fundamentalis.

Kerajaan Umno sememangnya menekan mereka dengan pelbagai halangan. Kerajaan menganggap mereka sebagai pelampau dan boleh menghalang cita-cita Umno sendiri untuk mewujudkan bangsa dan negara maju yang sekular. Satu lagi kebimbangan Umno ialah mereka ini akan akhirnya mengundi PAS dan menghakis pengaruh Umno.

Umno sememangnya berusaha untuk menyaingi pengaruh Gerakan Islam dengan pelbagai cara. Antara usaha mereka ialah penubuhan Pusat Islam, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan pelancaran Bulan Dakwah.

Bagaimanapun, saingan yang paling kuat dan berjaya ialah apabila Mahathir berjaya menarik Anwar untuk menyertai Umno. Maka pecahlah Gerakan Islam Malaysia. Apabila Anwar menyertai Umno dan berjaya memperkenalkan projek Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Bank Islam, maka ABIM juga turut menyokong Umno, hanya kerana Anwar. ABIM juga berpecah dan ramai pengikutnya menyeberangi ke dalam PAS.

Anwar dan ABIM telah mengelirukan pendokong-pendokong Islam. Dengan menerima Umno sebagai payungnya, ABIM sudah terkeluar dari arus perdana Gerakan Islam. Akan tetapi kalau dilihat sebaliknya, tubuh Umno dan kerajaan pula telah mula disuntik dengan fundamentalisme Islam.

Tanpa ABIM, maka tinggallah PAS, IRC, Suara Islam dan Al-Arqam sebagai Gerakan Islam. IRC dan Suara Islam kemudian bergabung ke dalam PAS ketika parti itu dipimpin oleh Yusof Rawa dan Fadzil Noor. Al-Arqam pula membawa ciri-ciri tersendiri dengan tersesat di dalam minda karut Ashaari. Dari segi politik, ia lebih mengkritik PAS daripada Umno.

Malah Umno memperalatkan Al-Arqam untuk menyaingi pengaruh PAS. Maka Gerakan Islam dalam erti kata sebenar tidak termasuk Al-Arqam. Akhirnya apabila Al-Arqam ternyata sesat, kerajaan Umno terpaksa membunuhnya.

Maka hanya tinggalah PAS yang boleh dianggap sebagai Gerakan Islam. Akan tetapi sungguhpun Suara Islam benar-benar meleburkan diri ke dalam PAS tidak pula IRC. Mereka masih mewujudkan jamaah di dalam jamaah dengan usrah-usrahnya tersendiri yang akhirnya tidak dapat diterima oleh PAS. Dan PAS mempunyai budaya tersendiri yang tidak dapat ditelus oleh IRC.

Maka keluarlah IRC daripada PAS. Bukan itu saja, ia juga melembaga sebagai Jamaah Islah Malaysia (JIM). Seperti ABIM, pertubuhan ini kemudiannya menyokong Umno dengan duduk berada di bawah pimpinan Anwar Ibrahim. Dengan menyokong Umno, maka terkeluarlah JIM/IRC daripada arus Gerakan Islam.

PAS dengan segala kelemahannya terus boleh dianggap satu-satunya jamaah dalam Gerakan Islam di negara ini. ABIM dan JIM sudah tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada Gerakan Islam, jauh sekali Anwar Ibrahim yang sebelum kejatuhannya adalah Timbalan Presiden Umno.

Perkara kedua penting adalah Reformasi. Dari segi istilah Reformasi yang timbul dari perkataan Reformation merupakan tindakan yang merujuk kepada pembaharuan agama Kristian. Reformation dipelopor oleh Martin Luther yang mencabar kekarutan agama Kristian pimpinan Pope.

Akibat pemberontakan dan pembaharuan itu, muncullah dua mazhab utama Kristian iaitu Roman Katholik yang terus setia pada Pope dan mazhab-mazhab yang memprotes dan membangkang yang berpecah menjadi Protestan.

Bagaimanapun, apabila disebut Reformasi sekarang ini ia adalah secara khusus dirujuk kepada kebangkitan rakyat Indonesia di bawah pimpinan Ketua Pertubuhan Islam kedua terbesar, Muhammadiyah, Amien Rais menjatuhkan kerajaan Suharto di bawah slogan membasmi KKN (korupsi, kolusi dan nepotisme).

Inilah erti kata Reformasi secara khusus. Reformasi Indonesia itu kemudian melembaga menjadi suatu gerakan yang hampir kepada revolusi politik, ekonomi dan sosial.

Dari segi politik, Reformasi bererti kebebasan menubuhkan parti politik. Ia juga bererti pilihan raya umum yang bebas dan membentuk kerajaan pilihan rakyat. Ia juga bererti pemerintahan awam (sipil) dan tanpa campur tangan tentera.

Ia juga bererti pemerintahan yang lebih bersifat persekutuan dan bukan memusat kepada Jakarta. Ia juga bererti kebebasan parlimen dan tidak kurang penting ialah kebebasan media.

Dari segi ekonomi, Reformasi bererti pembahagian ekonomi yang adil. Tidak ada korupsi, kolusi atau nepotisme. Kekayaan negara adalah untuk semua rakyat dan pembahagiannya adalah kepada mereka yang mampu berusaha dalam sistem pasaran bebas kapitalisme.

Dari segi sosial, Reformasi bererti keluhuran perlembagaan dan keadilan dari sudut undang-undang. Mahkamah hendaklah bebas. Begitu juga polis. Umumnya, reformasi menuntut pewujudan masyarakat madani.

Sebelum timbulnya reformasi Indonesia, sememangnya gerakan menuntut perubahan sudah lama bermula tetapi lebih dikenali sebagai gerakan prodemokrasi seperti mana gerakan yang telah berlaku di Filipina dan Korea Selatan yang menyaksikan tumbangnya Ferdinand Marcos dan Park Chung Hee/Chun Doo Hwan/ Roh Tae Woo.

Tokoh prodemokrasi Indonesia adalah Megawati Sukarnoputri, pemimpin Partai Demokrasi Indonesia (PDI). Pendokong-pendokong demokrasi seluruh dunia memandang Megawati Sukarnoputri seperti bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino dan pejuang demokrasi Myanmar, Aug San Suu Kyi.

Kemuncak perjuangan prodemokrasi ini berlaku apabila kerajaan Suharto menyingkirkan Megawati daripada kepimpinan PDI. Ketika itu, terhentilah perjuangannya. Dalam pilihan raya umum Indonesia tahun 1997, aspirasi prodemokrasi ini disalurkan kepada bekas parti Islam, Partai Persatuan Pembangunan (PPP) dengan nama slogan Mega – Bintang. Mega merujuk pada Megawati sementara Bintang adalah lambang PPP. PPP tidak boleh disebut sebagai parti Islam atau Gerakan Islam kerana ia tidak memperjuangkan penubuhan Negara Islam walaupun ia bertujuan mengisi aspirasi umat Islam. Akan tetapi PPP seperti juga PDI mendokong usaha prodemokrasi.

Secara tradisional, pertubuhan-pertubuhan Islam mendokong PPP. Termasuklah juga Muhammadiyah, pertubuhan kedua terbesar Islam. Bagaimanapun, Muhammadiyah hanyalah pertubuhan pendidikan dan sosial. Ia tidak boleh disebut sebagai Gerakan Islam. Ketuanya adalah Amien Rais.

Di Indonesia, semasa pemerintahan Suharto tidak ada Gerakan Islam. Parti yang dianggap sebagai gerakan Islam iaitu Majlis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) telah diharamkan oleh Sukarno dan Suharto. Gerakan Islam bawah tanah memang muncul sejak akhir tahun 70-an yang dikenali sebagai gerakan negara Islam Indonesia (NII). Akan tetapi adalah gerakan bawah tanah.

Sejak dari tahun 70-an, sistem ekonomi yang iamalkan oleh Indonesia digambarkan sebagai ersatz capitalism atau kapitalisme separa dan ada pula yang menyebut kapitalisme kroni. Maknanya, kapitalisme yang berkembang atas korupsi, kolusi dan kronisme. Apa yang berlaku di Malaysia juga seperti yang ada di Indonesia, cumanya tidaklah teruk sangat. Korupsi berlaku di Malaysia tetapi tidaklah teruk sangat.

Begitu juga dengan kolusi dan kronisme. Bagaimanapun, ia banyak dibuat atas nama Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kejayaan dasar itu seolah-olah membenarkan kerajaan Malaysia terus mengamalkannya.




Dalam pada itu, ahli-ahli akademik Barat menimbulkan konsep civil society yang kemudian diterjemahkan sebagai masyarakat madani dengan menerapkan nilai-nilai Islam ke dalamnya. Institusi-institusi sejagat tajaan Barat menggalakkan gagasan masyarakat madani di negara-negara membangun supaya amalan demokrasi dan kapitalisme dapat diperluaskan dan dimantapkan.

Mereka yang membawa konsep masyarakat madani di Indonesia ialah kumpulan-kumpulan prodemokrasi dan Islam. Sementara di Malaysia pihak-pihak yang membawa gagasan masyarakat madani adalah ABIM, JIM dan pihak-pihak yang berada di bawah naungan Anwar Ibrahim.

Di Malaysia, perjuangan prodemokrasi lebih berkisar di kalangan parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Parti pembangkang yang lebih memperjuangkan gagasan-gagasan demokrasi ialah Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). PAS yang merupakan Gerakan Islam kurang menekankan konsep-konsep demokrasi.

Bagaimanapun, gagasan demokrasi, prodemokrasi dan masyarakat madani hanya menjadi bahasan golongan intelektual pembangkang. Di Malaysia, ia hanya disebut oleh Anwar Ibrahim dan tidak menarik minat Mahathir dan Umno sendiri.

Keadaan ini mungkin berterusan dan menjadi suatu yang tidak boleh diubah andaikata tidak berlaku kegawatan ekonomi serantau mulai Julai 1997. Korea Selatan, Thailand dan Indonesia dilanda teruk oleh kegawatan ekonomi. Mereka semua mengamalkan kapitalisme kroni. Apabila mereka meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mereka mensyaratkan supaya diadakan pembaharuan ekonomi atau menggunakan istilah mereka iaitu economic reformation, reformasi ekonomi. Bagi pembaharuan ini, kapitalisme kroni mesti dihentikan. Di Indonesia, mereka mahukan korupsi, kolusi dan nepotisme dihentikan bagi membolehkan mereka menerima bantuan IMF.

IMF percaya penghapusan korupsi, kolusi dan nepotisme itu akan memulihkan ekonomi negara-negara yang sedang dilanda kegawatan ekonomi. Akan tetapi menghapuskan ketiga-tiga gejala itu memerlukan bukan saja reformasi ekonomi, tetapi juga reformasi politik dan sosial.

Korea Selatan dan Thailand mempercepatkan proses pendemokrasian. Kerajaan-kerajaan jatuh dan ditukar. Ini pula membawa kepada reformasi ekonomi. Maka bantuan IMF pun sampai kepada kerajaan Seoul dan Bangkok.

Di Indonesia, keadaan gawat memaksa Suharto meminta bantuan IMF dan sudah tentu tabung itu memaksa negara tersebut melakukan reformasi ekonomi. Bagaimanapun Suharto teragak-agak. Reformasi ekonomi akan membabitkan anak-anak dan kroni-kroninya.

Maka masa ini gerakan prodemokrasi yang terhimpun di kalangan para intelektual sama ada berkaitan dengan kumpulan Megawati atau PPP mengambil kesempatan . Mereka keluar menuntut pembasmian korupsi, kolusi dan nepotisme. Mahasiswa memainkan peranan besar. Yang paling tertonjol ialah ketua Muhammadiyah, Amien Rais. Akhirnya perjuangan mereka menuntut masyarakat madani ini dikenali sebagai Reformasi. Kejayaan Reformasi menjatuhkan Suharto menggegarkan fikiran segolongan intelek dan aktivis politik Malaysia.

Reformasi ini menarik minat parti-parti pembangkang khususnya DAP, PRM dan PAS. Bagi PAS, ia bermakna kerana yang mengetuainya adalah ketua Muhammadiyah. Akan tetapi mereka tidak berupaya berbuat apa-apa. Sejak dari dahulu parti-parti pembangkang sentiasa mengungkit-ungkit amalan Umno yang dianggap bergeluman dengan korupsi, kolusi dan nepotisme. Bagaimanapun Malaysia tidaklah seteruk Indonesia. Tetapi persamaan kecil itu tetap ada.

Pihak tentera tidak menguasai politik Malaysia. Bagaimanapun golongan elit Melayu yang terdiri daripada bangsawan baru dari kalangan kumpulan kecil parti itu memegang kukuh politik negara ini. Pembahagian kekayaan ekonomi berlegar di keliling elit Melayu Umno dan kroni-kroni mereka dari kalangan ahli politik Barisan Nasional dan sahabat-sahabatnya.

Malaysia mengamalkan sistem persekutuan, tidak seperti Indonesia dan kuasa tidaklah tertumpu di Kuala Lumpur. Bagaimanapun , pembangunan pesat masih tertumpu di Lembah Kelang dan negeri Selangor.

Sememangnya sesiapa pun bebas menubuhkan parti politik. Akan tetapi Pendaftar Pertubuhan boleh menolak atau melengah-lengahkan penubuhan sebarang pertubuhan. Hak rakyat dalam menubuhkan parti politik tidaklah mutlak. Dalam pada itu, dari segi realiti, Umno terlalu mencengkam untuk membenarkan parti-parti lain bertapak. Lihatlah saja Semangat 46.

Keunggulan Umno pula berkait dengan penguasaan terhadap media. PAS dibenarkan menerbitkan akhbarnya, Harakah tetapi tidak dibenarkan jual pada bukan ahli. Tentunya tidak adil. Tujuan diterbitkan akhbar adalah untuk menyampaikan maklumat pada rakyat. Tetapi itu disekat.

Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Kolej dan Universiti, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Polis adalah ciri-ciri kongkongan yang sering dikritik oleh parti pembangkang. Kalau tuntutan Reformasi dijalankan, sudah tentu perkara-pekara ini akan dituntut. Beberapa perkara lain juga boleh diambil perhatian seperti soal keraguan tentang keunggulan kehakiman.

Semua ini sering diperkatakan oleh parti-parti pembangkang dan NGO tetapi kerajaan Umno dan Barisan Nasional tidak memandang berat terhadap perkara ini. Bagi mereka, kuasa-kuasa ini perlu berada di tangan mereka. Bagi mereka juga, rakyat hanya memerlukan pembangunan ekonomi yang baik. Jika ekonomi terus baik, rakyat akan terima kerajaan walaupun kebebasan mereka disekat.

Malaysia juga dilanda kegawatan ekonomi bermula Julai 1997. Walaupun Malaysia tidak memerlukan bantuan IMF tetapi negara ini cuba melaksanakan dasar-dasar IMF untuk mendapatkan pemulihan. Oleh kerana Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan maka dia bertanggungjawab mengatasi kegawatan ekonomi.

Atas nasihat ahli-ahli ekonomi dan pegawai-pegawainya termasuk yang berada di Bank Negara, Anwar menjalankan dasar-dasar IMF. Mahathir tidak bersetuju tetapi membenarkannya dahulu.

Seperti Thailand, Korea Selatan dan Indonesia, dasar IMF lambat memulihkan ekonomi negara-negara itu. Bagaimanapun, bagi IMF, khususnya di Indonesia, dasar IMF yang mencadangkan reformasi ekonomi tidak memadai tanpa reformasi politik. Untuk berjaya, reformasi politik harus dilaksanakan.

Inilah yang berlaku di Korea Selatan dan Thailand. Maka gerakan Reformasi di Indonesia berjaya menumbangkan Suharto. Akan tetapi ekonomi tetap tidak pulih dan IMF terus tidak memberikan wang yang dijanjikan kepada Indonesia.

Setelah beberapa bulan, Malaysia yang mengamalkan dasar IMF, antaranya menaikkan kadar faedah juga tidak memulihkan ekonomi. Bagi Anwar dan penasihat-penasihatnya, reformasi ekonomi perlu dilakukan di negara ini kalau dasar IMF hendak dijayakan. Reformasi ekonomi ini pula melarat kepada reformasi politik.

Maka Anwar pula mendapati reformasi politik boleh menguntungkan kerjaya politiknya. Jika reformasi politik dilaksanakan, ia bermakna Mahathir akan mengundurkan diri dan sudah tentu dengan sendirinya dia akan naik menjadi Perdana Menteri menggantikan Mahathir.

Maka beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Umno tahun 1998, di Johor bersama Menteri Besar Ghani Othman, Anwar bercakap tentang Reformasi dengan menekankan soal pembasmian korupsi, kolusi dan nepotisme. Anwar telah melancarkan gerakan Reformasi. Ini disambut pula oleh ABIM yang sememangnya berada di bawah naungan Anwar. Maka akhirnya isu ini dibawa ke perhimpunan agung Umno oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Zahid Hamidi.

Mahathir melenting dan melawan balik bukan saja Zahid tetapi Anwar. Selepas perhimpunan dengan sekelip mata isu Reformasi hilang berkubur. Mahathir berkeliling negara membantah sebarang cubaan untuk menghidupkan isu Reformasi.

Akibatnya, akhirnya Anwar sendiri tumbang apabila dipecat pada awal September 1998. Usaha Reformasi di Malaysia bukan saja gagal tetapi tokoh yang cuba memperjuangkannya juga tersungkur. Mahathir bertambah kuat sementara timbalannya tumbang.

Mahathir kata Malaysia tidak perlu Reformasi. Malaysia tidak seperti Indonesia. Malaysia berada dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada Indonesia. Bukan itu saja, Mahathir juga menolak dasar-dasar IMF.

Reformasi dianggap sebagai fikiran asing yang tidak diperlukan oleh rakyat negara ini. Keseluruhannya, seolah-olah menjelang Hari kebangsaan ke-41, rakyat Malaysia di ajak lupakan politik dan tumpukan pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, ternyata terdapat sesuatu yang tidak kena tentang keadilan di negara ini. Apabila Lim Guan Eng dipenjarakan dan Anwar dimalukan sebelum dakwaan dibuat, maka bukan saja keadilan jelas tidak berlaku, tetapi juga kewibawaan kerajaan terserlah. Umumnya rakyat tidak percaya dengan kerajaan dan Mahathir dalam soal pemecatan Anwar.

Andai kata polis dan mahkamah benar dalam menjalankan tugas mereka, tetapi rakyat tidak dapat mempercayainya kerana mereka telah melihat betapa kerajaan melakukan banyak perkara terhadap institusi kehakiman hingga menimbulkan jurang kepercayaan. Mahkamah, kepolisan dan media merupakan tiga institusi yang kehilangan kepercayaan rakyat. Maka rakyat terpaksa bergantung kepada khabar angin, internet dan media asing. Ini lebih memburukkan lagi suasana bernegara.

Maka apabila Anwar yang memperolehi simpati rakyat mengumumkan akan melancarkan gerakan Reformasi, maka ia mudah mendapat sokongan rakyat. Soal Reformasi yang selama ini senyap tiba-tiba muncul apabila Anwar terpaksa duduk di kediamannya setelah dipecat. Ramai tokoh pembangkang dan NGO, termasuk Chandra Muzaffar mengunjungi Anwar di rumahnya.

“Saya percaya suatu yang indah akan keluar daripada peristiwa ini,” kata pengerusi Amanah Keadilan Dunia (JUST) itu. Inilah mungkin sentimen dan harapan pihak pembangkang dan pejuang-pejuang demokrasi lainnya.

Apabila Anwar dipecat dari Umno, kumpulan-kumpulan yang menyokongnya seperti ABIM, JIM, Persekutuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam (Asasi) turut menarik balik sokongan terhadap Umno.

Presiden PAS, Fadzil Noor turut mengunjungi Anwar pada hari pertama pemecatannya. Apabila Anwar mengisytiharkan akan melancarkan gerakan Reformasi, maka bayangan awal adalah satu gerakan gabungan yang diketuainya sendiri dan dianggotai oleh parti-parti pembangkang termasuk PAS dan NGO lainnya.

Bagaimanapun, itu tidak terjadi. PAS menarik diri. Sebagai Gerakan Islam, PAS mempunyai agenda sendiri, lain daripada Reformasi.

Seperti di Indonesia, apabila berlaku Reformasi dan kebebasan menubuhkan parti politik, tokoh Reformasi, Amien Rais tidak menubuhkan parti Gerakan Islam. Ia menubuhkan sebuah parti proreformasi yang dinamakan Partai Amanat Nasional (PAN). Parti Reformasi ini bukan Gerakan Islam. Gerakan Islam yang mempunyai agenda Islam terlahir dalam bentuk Parti Umat Islam (PUI) yang antara pemimpinnya ialah Deliar Noor. Gerakan Reformasi adalah suatu gerakan prodemokrasi, sekular dan prokemajmukan. Gerakan Islam adalah berbeza dari Gerakan Reformasi.

Akhirnya Anwar yang mempunyai masalah peribadi di mahkamah juga tidak berupaya untuk menjadi pemimpin gerakan Reformasi Malaysia. Akhirnya gerakan itu diketuai oleh ABIM dengan dianggotai oleh JIM, PKPIM dan ASASI. Juga sesuatu yang tidak kena kerana Reformasi seharusnya melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam juga. Mungkin kerana itu ia ditambah lagi antaranya oleh NGO yang diketua Fan Yew Ting. Reformasi memerlukan kemajmukan dan sekular. ABIM tidak boleh mengetuai Reformasi seperti mana Muhammadiyah tidak boleh mengetuai Reformasi Indonesia. Sebab itu, Amien Rais memerlukan parti baru, PAN untuk meneruskan agenda Reformasi Indonesia.

Bagaimanapun, Reformasi di Malaysia masih perlu dan relevan . Bukan kerana hendak memenuhi tuntutan IMF atau membela Anwar Ibrahim. Ia adalah lebih daripada itu. Reformasi Malaysia memerlukan ketua lain dengan pembabitan rakyat dari semua lapisan dan golongan. Melayu dan bukan Melayu. Islam dan bukan Islam. Sekular dan fundamentalis. Malah sudah masanya satu parti baru ditubuhkan di Malaysia bagi melaksanakan tuntutan Reformasi negara. Itupun kalau rakyat hendak. Kalau rakyat masih memilih Umno dan Barisan Nasional, gerakan Reformasi akan gagal.

Umno sudah ketinggalan zaman walaupun wawasan Mahathir untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara maju pada alaf akan datang adalah suatu yang bukan saja relevan tetapi perlu. Begitu juga dengan langkah-langkah radikal dalam mengadakan pemulihan ekonomi negara. Resipi IMF telah gagal dan sekarang Malaysia sedang mencuba resipi ekonomi Mahathir yang kalau berjaya akan menambahkan lagi kewibawaan Mahathir.

Sungguhpun begitu, Malaysia tetap memerlukan Reformasi. Cara Mahathir memecat Anwar dari Kabinet dan parti menunjukkan cara lama yang bercanggah dengan aspirasi rakyat zaman siber. Kongkongan terhadap media juga adalah cara lama yang tidak sesuai dengan masyarakat yang berpelajaran.

Cara menteri dan ahli-ahli politik Umno mengeluarkan kenyataan selepas pemecatan Anwar juga menunjukkkan kerangka pemikiran lama yang suka menekan rakyat daripada membebaskannya. Lihatlah bagaimana kerajaan memberi amaran pada pelajar untuk terus mengongkong diri. Seolah-olah semua suara harus selari dengan kehendak kerajaan. Mana boleh. Masyarakat sudah tentu bersifat majmuk. Pemikiran cara lama Umno ini harus diubah. Sudah tidak sesuai bagi alaf baru. Inilah perlunya Reformasi.

Memang Malaysia memerlukan parti baru bagi menampung cara dan fikiran baru. Umno sudah memberikan banyak jasa kepada orang-orang Melayu tetapi cara berpolitik lama sudah menjadi mual bagi rakyat terutama generasi muda yang sudah merasa nikmat peningkatan ekonomi dan simpang siur pemikiran era digital. Anak-anak Wawasan sudah tidak dapat menerima cara Umno itu. Umno adalah warisan tetapi masa depan adalah milik generasi wawasan. Untuk itu,gerakan Reformasi perlu dilakukan. Bagaimanapun, ia tidak boleh dipimpin oleh Anwar atau digerakkan oleh ABIM dan JIM. Yang penting dalam Reformasi bukannya tokoh tetapi institusi bagi menggerakkan cita-cita amanat negara.

Sebab itu di Indonesia, yang penting bukan Amien Rais tetapi parti yang mendokong cita-cita Reformasi itu iaitu PAN. Golkar, parti pemerintah Indonesia, seperti Umno sudah tidak sesuai. PPP seperti PAS (walaupun PAS sebuah Gerakan Islam) juga tidak sesuai pada zaman ini. Bagaimanapun PAS yang berubah pada 1982 nampak peka dengan tuntutan Reformasi, walaupun tidak banyak yang dilakukannya. Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat menegaskan sememangnya PAS adalah gerakan reformasi sejak sekian lama, jadi tidak perlu PAS melayan hasrat Anwar mahu melancarkan reformasi. PDI seperti PRM yang menggunakan simbol dan idelaisme lama juga tidak sesuai. Rakyat Malaysia mahukan pemimpin baru, parti baru dan cara berpolitik yang baru.

Beberapa tahun lalau, pelbagai cubaan untuk mewujudkan parti baru bagi memenuhi aspirasi baru. Antaranya penubuhan Parti Nasionalis Malaysia (Nasma) dan Parti Semangat 46. Nasma gagal kerana ketiadaan pemimpin yang cukup berwibawa. Ahmad Nor tidak cukup kuat untuk menarik minat anak-anak muda. Akhirnya dia menyertai DAP. Sementara parti Semangat 46 masih terperangkap dengan cara Umno. Maka akhirnya mereka menyertai semula Umno. Setelah pengalaman itu, tiada pihak yang berani menubuhkan parti baru bagi mencabar Umno. Bagaimanapun keadaannya tidaklah semestinya demikian.

Dalam pilihan raya kecil Arau baru-baru ini umpamanya ada pihak berpendapat PAS menang bukan kerana mereka menyokong PAS. Akan tetapi mereka telah jemu dengan Umno. Mereka menolak amalan pilih kasih, korupsi dan salahguna kuasa yang bermaharajalela. Mungkin kalau ada parti yang lebih baik daripada PAS dan Umno, parti itu boleh menang.

Anwar Ibrahim tidak mewakili cara berpolitik baru. Dia bersama Mahathir adalah milik akhir abad 20. Bagi abad 21, orang macam Anwar tidak mempunyai tempat kerana dia juga bergelumang dengan kolusi, kronisme dan nepotisme.

Bukan itu saja, masalah moral peribadi walaupun belum dibuktikan di mahkamah juga menjadi masalah. Anwar hendaklah diasingkan daripada idealisme Reformasi. Seperti mana dia telah terasing daripada perjuangan Gerakan Islam.

Memang Anwar memulakan perjuangan dengan penubuhan ABIM bersama Sanusi Junid. Akan tetapi penubuhan ABIM itu bukanlah sebagai Gerakan Islam atau Jamaah Islam. Mungkin pada asalnya ABIM ditubuhkan seperti lain-lain pertubuhan suka rela Islam adalah untuk menampung kegiatan belia-belia umat Islam.

Kemudian, Anwar di universiti lebih aktif dalam perjuangan nasionalis melalui Persatuan Bahasa Malaysia Universiti Malaysia (PBMUM). Ini menyediakan tapak untuk memimpin gerakan pelajar Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Walaupun gerakan pelajar ketika itu didominasi oleh aliran sosialisme tetapi Anwar tidak pula terbabit dalam fikiran cara itu.

Nama Anwar naik semasa memimpin ABIM. Tetapi ketika memimpin Majlis Belia Malaysia (MBM), dia belum begitu menjurus kepada perjuangan Gerakan Islam. Hanya setelah dibebaskan daripada tahanan ISA, Anwar muncul sebagai pemimpin utama Gerakan Islam dan ABIM dengan sendirinya menjadi jamaah Gerakan Islam. Ketika sedang popular Anwar meninggalkan Gerakan Islam dengan menyertai Umno.


Pada mulanya, Anwar masih dipandang Islami dan kelihatan kekok di tengah-tengah ahli politik Umno. Sungguhpun begitu, perlindungan yang diberikan oleh Mahathir menyebabkan Anwar terus naik, menjadi Ketua Pemuda, Naib Presiden dan akhirnya Timbalan Presiden.

Walaupun terus mampu berkhutbah di masjid tetapi cara hidup mula berubah hingga ramai orang Gerakan Islam menyebut beliau “lebih Umno daripada Umno”.

Perhimpunan agung Umno tahun 1997 merupakan bermulanya titik hitam kehidupan peribadi Anwar sendiri. Seorang yang tidak tahan dengan hipokrisi Anwar telah menghantar surat pada Mahathir untuk mengadu hal.

Ketika yang sama Anwar gagal mengatasi kegawatan ekonomi, ketika itu juga hubungannya dengan Mahathir semakin renggang. Maka apabila dia gagal mengenakan tekanan ke atas Mahathir supaya berundur dalam perhimpunan agung Umno tahun 1998, segala pekung di dadanya mula terkeluar.

Rupanya Anwar sudah banyak berubah. Anwar sekarang bukan Anwar dahulu. Bukan saja Anwar tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno,tetapi dia juga tidak layak untuk memimpin Gerakan Reformasi, apatah lagi memimpin semula Gerakan Islam.

Kalaulah hubungannya dengan Mahathir bertambah erat, Perdana Menteri itu sendiri sukar untuk membenarkan Anwar menggantikannya. Kes yang Anwar hadapi amat besar hingga Mahathir sendiri pada mulanya mungkin tidak sanggup untuk mempercayainya. Bagaimanapun nasi sudah bubur. Hirup sajalah bubur itu. Anwar kecewa kerana tidak menjadi Perdana Menteri. Begitu juga mahathir kecewa kerana tidak ada penggantinya. Akan tetapi rakyat Malaysia khususnya umat Islam lebih kecewa lagi.

Untuk itu lebih baik lekas-lekas episod Anwar mestilah dilupakan bukan demi Umno, tetapi demi agama, bangsa dan negara. Dalam pada itu rakyat dan negara masih memerlukan Refomasi. Perhatian harus ditujukan kepada perkara itu demi keadilan dan kemakmuran negara. Pemulihan ekonomi sememangnya satu hal. Begitu juga dengan Wawasan 2020. Akan tetapi Reformasi politik, ekonomi dan sosial juga perlu bagi memberi makna kepada pemulihan ekonomi dan wawasan 2020.



AIDC memetik buku "Anwar, Skandal Seks atau Konspirasi Politik", tulisan Ahmad Lutfi Othman, Penerbitan Pemuda, 1998. Sekarang beliau Ketua Pengarang Harakah


Tulisan Ahmad Lutfi yang lain :

. INI KISAH SURAT LAYANG BURUKKAN ANWAR : HATI-HATI MEMBACANYA

. DARAH ANWAR DALAM PAS

. ANWAR LEBIH GANAS DARIPADA MAHATHIR-MOHAMAD SABU

. Anwar dan Teori Konspirasi - Ibrahim Ali

. Bolehkah cakap Anwar dipegang ?

. Bagaimana lelaki beriman boleh tersungkur ?

. Pengikut Anwar lebih taksub daripada pengikut Ashaari

. Ketika Anwar Menteri Kewangan, Bank Negara rugi, Siapa pula kaki judi ?

. BAGAIMANA ANWAR AGIHKAN KEKAYAAN NEGARA?

Tiada ulasan: