Oleh Hanafiah Hashim, Penolong Editor Sinar Harian Edisi Selangor & KL
Pendedahan berani yang dibuat Nik Abduh, anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang wujudnya komplot ‘pembantu-pembantu’ yang cukup melaga-lagakan ayahnya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang, sebenarnya telah merobek wajah sebenar segelintir pemimpin parti yang selama ini berselindung di sebalik topeng ‘ulama’.
Sebenarnya budaya cah keting yang sebelum ini sering dikaitkan dengan UMNO, sudah lama bersarang dalam Pas. Cuma situasinya tidak sehebat sekarang ini dan pemimpin-pemimpin mereka cuba bijak menutup segala pekung yang selama ini membengkak dalam jiwa parti itu.
Mungkin pendedahan yang dibuat oleh Nik Abduh itu disebabkan beliau sudah cukup jelak dan bosan melihat budaya yang menjijikkan mula menjadi kudis gatal dalam Pas. Apatah lagi, kali ini watak yang dikatakan menjadi mangsa adalah ayahandanya sendiri yang cuba diadu domba dengan Hadi yang dianggap seperti sebahagian daripada ahli keluarga beliau.
Tambahan pula menjelang Muktamar Jun ini yang bakal menyaksikan pertarungan sengit beberapa kerusi tertinggi parti dan pendedahan awal yang dibuat Nik Abduh boleh dianggap sebagai ‘penyelamat’ kepada kemelut yang mungkin lebih parah....’politik wang’ dalam pemilihan.
Selama ini mungkin pimpinan Pas mahu bermain secara ‘selamat’ dengan menutup segala masalah dalaman parti daripada diketahui umum dan mahu mendabik dada mengakui bahawa Pas sebuah parti yang bersih daripada segala elemen-elemen politik menjijikkan.
Barangkali sikap tamakkan kuasa, gilakan pangkat dan sebagainya didapati mula menular dalam Pas apabila parti yang berlandaskan kepimpinan ulama itu membuka pintunya cukup luas untuk golongan profesional. Ada di antara kumpulan ‘kolar putih’ ini langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama diangkat menjadi pemimpin tertinggi dan diberi label sebagai golongan ulama Pas.
Malahan terdapat beberapa bekas pemimpin UMNO yang berkelulusan ‘pendidikan sekular’ dan terus diberi status ‘Al-Fadhil Ustaz Si Polan bin Si Polan’ hanya kerana mereka ini menjadi ahli parti ‘Islam’ itu.
Dengan hanya menghafal beberapa ayat al-Quran dan membacanya dengan lantang setiap kali beraksi di pentas ceramah, golongan yang sebelum ini cukup keras menentang konsep kepimpinan ulama yang dibawa Pas terus dianggap sebagai sebahagian daripada pemimpin alim.
Jika semudah itu seseorang individu diiktiraf menjadi ulama, maka tidak hairanlah mengapa budaya cah keting senang bercambah dalam Pas. Tidak keterlaluan jika dikatakan golongan profesional dan bekas pemimpin inilah yang menerapkan cara politik itu dalam Pas.
Sikap berani anak Menteri Besar Kelantan mendedahkan kepincangan dalam Pas telah membuka mata banyak pihak terutamanya pucuk pimpinan tertingginya supaya lebih berhati-hati dan jangan membiarkan budaya politik cantas mencantas itu menjahanamkan parti.
Sumber : Sinar Harian, 30 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan