Oleh Faisal Tehrani
1. Saya berpendapat keberanian Nik Abduh Nik Aziz, selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, dan Exco Dewan Pemuda Pas Pusat wajar dihargai oleh ahli-ahli PAS sempena pemilihan akan datang ini. Nik Abduh adalah pemimpin masa hadapan PAS yang jujur, serta sanggup menanggung risiko apabila 'menmeecelupkan' pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
2. Saya tidak fikir beliau tergesa-gesa menulis entri tersebut (dalam blognya) seperti yang disangkakan. Nik Abduh menyatakan 'saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah.' Beliau tentulah arif, dan bijak. Sebagai 'ahlul bait Nik Aziz', Nik Abduh tentulah lebih faham dan dapat melihat dengan telus apa yang sedang mengasak Mursyidul Am sebuah parti Islam. Sahabat dan pembantu ayahandanya yang didakwa 'mengambil kesempatan' tentulah wajar dicegah. Kebenaran tentunya harus ditegakkan. Sebagai anakanda Mursyidul Am tentulah beliau lebih dekat berbanding pembantu bapanya (yang hanyalah sekadar pembantu). Keikhlasan hubungan darah tidak dapat memadam keakraban hubungan persahabatan. Kerana itulah saya rasai kejituan nukilan beliau: "Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan."
3. Kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Nik Aziz itulah kita dapat memahami kebimbangan, dan sekaligus keikhlasan beliau, seperti yang dicatatkannya lagi: "Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua berasa tidak tenteram. Saya menyerang pada puncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya, anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan". Kita berharap ahli PAS akan segera mengambil iktibar dan bertindak. Sahabat dan pembantu boleh sahaja ada muslihat tersembunyi, tetapi seorang ahli keluarga tentu tidak akan mengkhianati.
4. Tidaklah menghairankan orang seperti Nik Abduh akan dimomokkan dan disudutkan oleh sesetengah orang yang ingin menutup kebenaran. Begitulah sejarah terdahulu pernah mengambil tempat. Saudara tentu faham apa maksud saya. Kena tepat. Saya kira beliau tidak perlu menamakan sesiapa, kerana tujuan beliau bukanlah melakukan 'pemenggalan politik'. Sekadar misalan; ahli keluarga Rasulullah saw dahulu, misalnya mempunyai maklumat yang cukup mengenai musuh-musuh dalam selimut baginda, tetapi memilih untuk 'tidak menamakan siapa orangnya secara terbuka'. Justeru, saya kira Nik Abduh hanya menulis untuk mendedahkan keadaan ini, kerana itu sahaja cara yang terlihatkan. Untuk yang makan cili tentunya merasa pedas.
5. Ini juga menunjukkan PAS lebih transparen dari parti-parti lain.
6. Sesungguhnya dalam kekaburan mencari Ketua Pemuda PAS Pusat yang baharu, kemunculan berharga Nik Abduh ini wajar disambut dan disahut dengan pantas oleh ahli yang masih menyayangi kepimpinan ulama. Kita mengalu-alukan dan berterima kasih dengan kesungguhan beliau.
7. Mengenepikan tuduhan rambang yang pernah beliau lakukan terhadap saya lama dahulu, hari ini saya berdoa semoga beliau akan diberi tempat yang wajar di dalam PAS dan segala kekeruhan yang berkocak akan kembali jernih. Ini kerana, dalam kekalutan parti-parti di luar sana, PAS mampu menyinar dengan modal moral. Pemuda seperti beliaulah yang dapat kita harapkan untuk memulihkan semula sinar dan keserian kepimpinan ulama yang telah dikotori kumpulan Islam Liberal dalam PAS.
8. Terima kasih.
sumber - Faisal Tehrani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan