Oleh: ROSLAN BIAN
Macam ada yang tak kena antara PAS dengan PKR di Pulau Pinang.
Ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu, Badan Perhubungan PAS negeri berkenaan sebulat suara setuju memboikotnya.
Bagaimanapun setelah keadaan meruncing, pimpinan PAS Pusat campur tangan meminta mereka membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dengan harapan penasihat PKR itu menjayakan pelan 16 Septembernya.
Akhirnya, walaupun Anwar menang tetapi cerita mahu menawan Putrajaya dari pintu belakang dengan harapan ada 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat terus jadi kisah lawak .
Kini timbul lagi cerita PAS Pulau Pinang mungkin akan boikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei nanti.
Sejauh mana mereka serius tidak mahu membantu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman yang sudah diumumkan sebagai calon pilihanraya kecil itu masih jadi tanda tanya.
Namun mengambil kira kenyataan keras Ketua Pemuda PAS negeri itu, Mohd Hafiz Mohd Nordin dan Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh Omar Hassan yang bertegas mahu parti itu letak calon di Penanti, nampaknya pucuk pimpinan pusat parti itu sudah tidak boleh goyang kaki.
Pasti pemimpin PAS di negeri itu tahu apa sebenarnya yang berlaku setelah turut bersama membentuk kerajaan campuran bersama DAP dan PKR di Pulau Pinang selepas pilihanraya umum Mac tahun lalu.
Barangkali perasaan terpinggir yang dirasakan PAS Selangor dalam kerajaan campuran di negeri itu turut dirasai PAS Pulau Pinang tambahan pula parti itu hanya ada satu kerusi sahaja di DUN Permatang Pasir yang diwakili Mohd Hamdan Abdul Rahim.
Mengikut cakap-cakap yang berlegar bunyinya macam hubungan PAS dengan PKR dan DAP di negeri itu sudah meruncing, kusut dan sukar dibendung lagi.
Bagi PAS Pulau Pinang, tiada sebarang hubungan atau kerjasama berlaku antara mereka dengan PKR mahupun DAP selepas pilihanraya umum lalu.
Malah dengar cerita, tidak banyak pertemuan rasmi antara ke tiga-tiga parti itu yang hanya bersekongkol semata-mata mahu mentadbir negeri.
Menyedari PAS seperti melukut tepi gantang, maka tidak hairanlah jika kali ini PAS Pulau Pinang menuntut mereka dibenarkan bertanding di Penanti.
Sebabnya, parti itu bersama-sama bertungkus lumus bekerja dan memenangkan calon PKR dan DAP dalam pilihanraya itu tetapi setelah menang, PAS dinafikan hak dan sumbangan mereka dalam kerajaan negeri.
Barangkali tidak mahu jadi sepah yang dibuang selepas habis madu, PAS Pulau Pinang kini seolah-olah mahu menuntut pengorbanan rakan mereka terutama PKR supaya memberikan kerusi Penanti untuk ditandingi calon PAS.
Menurut kalangan ahli PAS di negeri itu, Anwar kena ingat kemenangannya di Permatang Pauh banyak dibantu oleh ahli-ahli PAS yang ramai di DUN Permatang Pasir dan Penanti.
Mereka merasakan apakah salahnya Anwar berkorban beri satu lagi kerusi pada PAS sebagai tanda setia kawan atau terima kasih.
Seperti kata Omar, keputusan tersebut ada kaitan dengan usul PAS kawasan itu yang mahu meletakkan calonnya bertanding di Penanti dalam mesyuaratnya 19 April lalu.
"Kita masih lagi berpegang dengan usul tersebut kerana ia adalah kehendak akar umbi di situ," katanya.
PAS menganggap kerusi Penanti sebagai kubu kuat parti itu walaupun pada pilihan raya umum lalu ia ditandingi oleh wakil PKR.
"Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu, Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai," kata Mohd Hafiz.
Agendadaily dimaklumkan tiada pemimpin PAS yang hadir ketika Anwar mengumumkan Dr Mansor sebagai calon PKR yang akan bertanding dalam majlisnya malam Rabu.
Dalam pada itu, difahamkan kepimpinan PAS kawasan Permatang Pauh sudah bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur untuk memaklumkan mengenai usul tersebut manakala Pemuda pula akan berbuat demikian secepat mungkin sebelum tarikh penamaan calon 23 Mei ini.
Walaupun pada akhirnya PAS Pusat dijangka akan akur dengan membenarkan calon PKR bertanding tetapi ianya pasti akan menjadi bengkak yang terus bernanah dikalangan PAS Pulau Pinang dengan rakan parti campuran itu.
Anwar pastinya tidak mahu mengorbankan kerusi Penanti kepada PAS kerana antara skrip kempen pilihanraya di Penanti nanti adalah ‘jika Dr Mansor menang dia akan jadi Timbalan Ketua Menteri 1.
DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.30/4/2009.
sumber - agendadaily
PKR letak calon tiga kali pernah kalah pilihanraya di Penanti…
Menepati semua ramalan,PKR menamakan Dr Mansor Othman sebagai calonnya untuk pilihanraya kecil Penanti yang dijadual diadakan pada 31 Mei nanti.
Sendiri mengata orang sendiri buat itulah senda gurau politik yang terbit dari pemilihan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia yang berusia 58 tahun ini yang bakal diangkat jadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang jika PKR menang pilihanraya kecil itu.
Ini kerana pembangkang sering menjadikan bahan jenaka tentang pemilihan beberapa orang pemimpin UMNO yang tewas dalam pilihanraya dan pemilihan parti masuk ke dalam kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.
Dr Mansor bukan sekali tetapi tiga kali pernah tewas dalam pilihanraya iaitu pada tahun 1999 kawasan Parlimen Balik Pulau,2004 kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dan 2008 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Betong.
Timbalan Pengerusi Pengerusi PKR Pulau Pinang ini diketahui umum sudah set untuk mengantikan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin yang ‘ kena main’ oleh orang dalam PKR sendiri hingga terpaksa letak jawatan.
Pengumuman Dr Mansor sebagai calon PKR dibuat oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman di Penanti Selasa malam.
Dr Mansor pernah menjadi Setiausaha Politik Anwar semasa beliau Timbalan Perdana Menteri dulu.
Ada juga yang bertanya tidakkah ini satu bentuk neopotism yakni nak letak kawan-kawan juga pada jawatan penting sekalipun sudah tiga kali ditolak oleh rakyat ?
Namun ada juga yang berkata Anwar yang petah bicara dan berceramah itu pasti ada jawapan pada segalanya bila bab terkena batang hidung sendiri.
Persoalannya sekarang apakah Barisan Nasional nak menari atau tidak ikut rentak dan irama PKR di Penanti.
Memandangkan isu Fairus nak kena dakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gara-gara aduan dibuat oleh orang PKR sendiri mengenai penyelewengan kuari terhadapnya sudah tidak ada kes makanya secara rasmi sebab musabab pilihanraya kecil ini diadakan hanyalah kerana bekas ADUN Penanti itu ‘hendak melanjutkan pelajaran’.
Dalam pada itu menurut sumber-sumber PKR para pemimpin atasan parti itu tidak ‘ mengalir air mata’ atau gundah gulana dengan kejatuhan Fairus itu.
Kebanyakan mereka dikatakan dapat baca riak pimpinan atasan yang nak ketepikan Fairus untuk digantikan dengan Dr Mansor.
Fairus yang sebelum ini bikin gempak dalam satu interbiu denghan sebuah akhbar berbahasa Cina kononnya nak dedah skandal dalam PKR dan kerajaan negeri... akhirnya lembik dan tampil tunjuk muka di majlis pengumuman calon di Yayasan Aman.
Setelah Datin Seri Wan Dr Azizah main suka-suka letak jawatan di Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kemudiannya V Arumugam,wakil rakyat PKR di Bukit Selambau yang sehingga hari ini tidak diketahui sebab letak jawatan kini terdapat dua set pemilikan dalam BN samaada nak terus menari atau tidak ikut rentak PKR.
Di satu pihak merasa BN wajib bertanding khususnya untuk jaga maruah UMNO manakala di satu pihak lain mereka ianya hanya membazir waktu dan wang ringgit untuk melayan karenah PKR yang tidak sudah-sudah itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun melontarkan cadangan tentang kemungkinan BN tidak meletak calon.
Sebabnya ada jelas melihat pada karenah PKR sendiri hingga pilihanraya kecil ini perlu diadakan.
Pada ketika ramai sedang bertaruh samaada ya atau tidak…ada kalangan pemerhati politik yang kuat merasa BN tidak akan letak calon dalam pilihanraya kecil ini.
Mereka berpendapat indikasi ini dapat dirumuskan dari keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Jumaat lalu yang menyerahkan kepada Biro Politik UMNO untuk membuat penentuan.
Biro berkenaan dianggotai oleh pimpinan paling kanan dalam parti.
Bagi mereka keputusan Majlis Tertinggi itu adalah penanda parti itu akan ambil satu pendirian serius dalam hal ini setelah mengambil kira segala implikasi.
Sebagai rekod belum pernah dalam sejarah UMNO ia tidak menyertai mana-mana pilihanraya kecil.
“Pilihanraya kecil adalah satu mainan biasa dalam bidang politik…tapi bila Biro Politik sendiri nak buat penentuan saya kira pastinya keputusan itu adalah sesuatu yang luar kebiasaan,”kata seorang pemerhati.
Apapun yang pasti PKR tidak akan akan menang free pilihanraya kecil ini.
Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan ( sebelum jadi PKR) Aminah Abdullah sudah istihar nak masuk sebagai calon bebas ‘demi untuk tegakan keadilan’.-28/4/2009
sumber - agendadaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan