KOTA BHARU – Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Perhubungan Pas Kelantan masih belum berbincang berhubung kenyataan anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang percaya pembantu-pembantu ayahnya berkonspirasi dengan niat untuk melagakan-lagakan ayahnya itu dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Takiyuddin berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung kenyataan itu.
“Saya tak nak komen lagi berhubung perkara itu. Lagipun Perhubungan Pas negeri tidak membuat apa-apa keputusan berhubung kes itu.
“Mungkin kami akan meneliti perkara yang disebut di dalam blog itu pada mesyuarat yang akan diadakan pada hari Selasa (esok) ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, kelmarin.
Menurutnya, Perhubungan Pas negeri tidak akan memberikan sebarang komen hanya kerana mengikut laporan akhbar atau blog.
“Kami tidak boleh membuat sebarang keputusan hanya dengan mengikut laporan akhbar ataupun blog semata. Sebaliknya kami perlu meneliti kenyataan itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Nik Abduh wujudnya konspirasi melaga-lagakan ayahnya dengan Abdul Hadi.
Nik Abduh dalam kenyataannya berkata, konspirasi itu jelas khususnya berhubung isu ‘Kerajaan Perpaduan’ yang ditolak Nik Aziz berikutan pengaruh ‘pembantu-pembantu’ yang kononnya serba tahu, tetapi sebenarnya seronok melaga-lagakan ayahnya dengan Abdul Hadi.
“Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan ‘Unity Government’? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama Abdul Hadi, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehnya daripada Abdul Hadi. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.
“Di mana pergi pembantu-pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi Tuhan!? Semoga Allah melaga-lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat! Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama Pas di JKR 10 (Kediaman Rasmi Menteri Besar) beberapa bulan lalu, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermati-matian menolaknya,” katanya yang dipetik dari laman blog beliau.
sumber - sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan