KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Polis menolak andaian rakaman gambar separuh bogel Exco Selangor yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, sebagai satu perangkap bagi menjatuhkan ahli politik itu.
Sebaliknya siasatan polis setakat ini mendapati insiden itu dipercayai dirakamkan oleh individu yang dikenali mangsa sendiri.
"Siasatan kita merangkumi semua sudut termasuk motif rakaman dan penyebaran gambar berkenaan serta siapakah dalang yang terlibat. Sama ada ia berunsur untuk menjatuhkan individu itu juga akan akan siasat.
"Bagaimanapun, setakat ini kita percaya ia bukannya perangkap yang dirancang oleh seseorang seperti yang didakwa oleh pihak tertentu," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman kepada pemberita di sini, Jumaat.
Sebelum ini, ada pihak mendakwa Barisan Nasional (BN) dan beberapa pihak lain terlibat dalam penyebaran gambar separuh bogel itu.
Beliau turut menafikan laporan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa polis telah menahan dua suspek yang terlibat di dalam kes ini.
"Hendak saya tekankan di sini, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat. Semalam pada pukul 8.30 malam, polis hanya rakamkan keterangan dua orang pemberita dari Malay Mail di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan bukannya menahan suspek seperti yang diuar-uarkan," katanya.
Beliau berkata polis kini sedang mengesan hanya seorang suspek yang dipercayai dapat membantu dalam penyiasatan kes itu iaitu bekas teman lelaki Wong yang kini dipercayai bersembunyi di Indonesia.
Sabtu berkata polis masih gagal menghubungi bekas teman lelaki Wong bagi diambil keterangan justeru lelaki tersebut diminta untuk tampil dalam kadar segera bagi menjernihkan keadaan.
"Kita mahu beliau tampil dalam kadar segera dan beri keterangan berhubung kes ini. Tetapi jika beliau enggan tampil, kita mungkin bertindak memburu beliau termasuk bekerjasama dengan Interpol," katanya.
Sabtu juga turut meminta media tidak membuat sebarang spekulasi dengan menokok tambah bahan yang hanya akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
"Demi keadilan semua pihak, media diminta jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh merumitkan lagi keadaan lagi-lagi jika tidak mendapat pengesahan dari kami sendiri," katanya.
Katanya, masa dan ruang perlu diberikan kepada pihak polis dalam menjalankan dan mempersiap siasatan secara teratur dan sempurna.
Wong mencetuskan kontroversi apabila gambar separuh bogelnya tersebar di Internet dan rentetan itu beliau menawarkan diri untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut.
sumber - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan