Orang Melayu ada mencipta sebuah pepatah yang luar biasa bagus. Bagai memikul biawak hidup.
Biawak dalam tradisi Melayu-Islam tentu sesuatu yang cemar. Justeru menanggung biawak hidup memang suatu perbuatan bodoh, dan keji. Tidak sukar untuk mengerti mereka yang memikul biawak hidup ini.
Hari ini, kita melihat politik biawak dengan penuh rasa tergamam. Kita manusia biasa yang tidak terlibat dengan politik merasakan 'wah betapa bodohnya!'
Fenomena politik biawak pertama - Katakan sebuah parti yang dipandu oleh pemimpin lembab, parti itu dapat sahaja musnah kerana ada biawak hidup yang lembab. Parti itu tidak dapat dibawa ke mana pun. Malah usaha untuk membangunkannya mungkin sahaja tidak berhasil kerana bubur tak dapat bertukar kembali menjadi nasi.
Fenomena politik biawak kedua - Mungkin juga dalam satu keadaan lain, sebuah parti yang asalnya suci murni telah terlanjur bersekongkol dan berpakatan dengan sebuah parti yang penuh biawak korup, biawak buas maksiat, biawak penipu, biawak ejen, biawak membantah, biawak baling batu sembunyi tangan, arghhhhh macam-macam biawak kerana sebagai biawak sumpah-sumpah ia dapat menukar warna, imej, gaya dan muka mengikut keadaan dan persekitaran.
Lebih sedih yang memikul biawak ini terpaksa membersihkan buntut biawak yang biasa terberak merata-rata ini. Si pemikul biawak pun mengadakan p.c dengan menyatakan: "Apa nak buat, ini konsensus". Terpaksa ia mempertahankan onar dan kemunafikan biawak yang ditanggungnya sehingga perlahan-lahan sudah tidak ada bezanya antara si penanggung biawak dengan biawak yang dipikulnya.
Apakah ada formula untuk menolong si pemikul biawak?
Kerana kita kasihan dengan si penanggung biawak ini. Mungkin dia bebal bangang tidak sedar yang dia menanggung biawak. Kena tegurlah supaya dia tersedar dari pukau. Yang hanya Maha Kuasa di langit sahaja sebenar-benar memukau. Biawak tak ada kuasa memukau ilahiyyah.
Formula pertolongan mungkin pertamanya, katuk biawak hidup sampai mampus. Kita tabuh beramai-ramai. Tidak dinafikan biawak ini liat nak mampus. Tetapi kalau kita kembali kepada Tuhan, dan berhenti menjadikan setan atau haiwan sebagai kawan pakatan maka kerja mengatuk biawak akan lebih mudah,Insya-Allah.
Kedua, mungkin si pemikul biawak itu sendiri harus sedar dan berhenti memikul biawak. Humbankan biawak dan bersihkan diri. Mandi sampai bersih untuk memulihkan imej yang kian tercemar kerana selama ini berlumuran najis biawak.
Tetapi formula pertama dan kedua di atas nampaknya sukar berlaku. Sebab sampai hari ini, kita lihat si pemikul biawak hidup tetap buat-buat bahagia secara olok-olok.
Demikianlah malangnya kita umat Melayu-Islam, salah mengharap kepada biawak, dan sang pemikul biawak.
Kita mesti kembali kepada penyelamat sebenar. Tsaqalain. Keselamatan yang ditawarkan bahtera Nabi Nuh. Keselamatan yang ditawarkan Rasulullah saw dan ahlul baitnya. Kerana mereka semua suci dari kemunafikan, dan kemaksiatan.
Argh pandainya orang Melayu mencipta peribahasa tersebut:
Bagai memikul biawak hidup.
sumber - tehranifaisal.blogspot.com
Artikel lain berkaitan :
1. Bahasa politik : PAS sudah kalah II - Faisal Tehrani
2. Bahasa Politik: PAS Sudah Kalah
3. Siapa berani melawan pencerahan?
4. Sikap Obama terhadap Palestin
5. Cerpen Bodoh? Novel Bodoh Tetapi Pengarangnya Dipanggil 'Profound' Bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan