Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ
Kita mentadbir, Allah jua yang mentakdir…itulah hakikat yang kita perlu dan wajib terima Kita hanya boleh berusaha, tetapi kejayaan atau kegagalannya di luar kemampuan kita. Lain yang dicita-cita, lain pula yang terjadi.
Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengidamkan untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negara, atau lebih ringkasnya menjadi Perdana Menteri sejak 8 Mac 2008 lagi. Pada tarikh itu, pihak pembangkang mendapat banyak kerusi Parlimen melalui pilihanraya ke-12.
Malah, pihak pembangkang juga dapat menumbangkan kerajaan bertahan, Barisan Nasional (BN) di empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan juga Kedah.
Anwar telah mewar-warkan 16 September 2008 sebagai tarikh untuk beliau mengambilalih kuasa. Tarikh 16 September dipilih kerana tarikh yang sama adalah hari pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963. Demikianlah hasrat Anwar - pelbagai janji, isu dan gelagat dipamerkan dan diawar-warkan - semuanya menuju ke puncak kejayaan di Putera Jaya.
Tarikh 16 September 2008 telah berlalu dengan sunyi - tiada perarakan untuk meraikan Perdana Menteri yang baru dan tiada apa-apa yang berlaku di pusat pentadbiran negara itu. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih berada di sana menjalankan tugasnya. Begitu juga dengan menteri-menteri yang lain, juga masih macam biasa.
Tiba-tiba meletup isu besar di negeri Perak - negeri yang diketuai wakil PAS tetapi dikuasi DAP bergelora. Geloranya membuak hingga ke peringkat pusat! Manakan tidak, seorang Ahli Dewan Undangan Negerinya, Datuk Saharuddin Hashim (Bota) mengisytiharkan keluar dari UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat. Lebar sungguh senyuman Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin kerana melihat kes lompat parti itu sangat menguntungkan pakatan parti pembangkang di negeri itu.
Entah macam mana, sehari kemudiannya, Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar pula mengumumkan dua orang wakil rakyat PKR iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) telah meletakkan jawatan.
Tiga jam kemudiannya, kedua-dua orang tokoh kontroversi itu menafikan mereka telah meletakkan jawatan seperti mana dinyatakan oleh Sivakumar yang kononnya beliau menerima surat perletakan jawatan itu pada pukul 5.45 petang 1 Februari lalu. Lagilah terkejut semua orang. Seorang menyertai PKR tetapi dua orang meletak jawatan.sebagai wakil rakyat. Mereka kemudiannya menafikan meletak jawatan, sebaliknya mengumumkan keluar dari PKR.
Sehari kemudiannya, timbul pula cerita wakil rakyat DAP iaitu Hee Yit Foong (Jelapang) yang 'hilang'. Malah, pada majlis sambutan Jubli Perak pemerintahan Paduka Seri Sultanpun, beliau tidak kelihatan. Semakin kalut jadinya.
Ir. Nizar dan Pengerusi Badan Perhubungan Bn Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya silih berganti menghadap Sultan Perak. Nizar menghadap mohon perkenaan Tuanku selepas mengiisytiharkan Dewan Undangan Negeri sedangkan beliau harus mendapat perkenan dahulu sebelum melakukannya.
Najib pula menghadap kerana BN sudah mendapat jumlah kerusi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru setelah ADUN Bota kembali ke pangkuan UMNO manakala Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong mengakui kepada baginda akan menyokong BN.
Demikianlah senario sehingga 4 Februari. Nizar yang mengumumkan pembubaran Dewan, bagaimanapun menegaskan beliau masih lagi menjadi Menteri Besar dan akan meneruskan tugas-tugas rasminya termasuk berkaitan dengan sambutan Jubli Perak.
Esoknya Najib mengumumkan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir ssebagai Menteri Besar yang baru dan hari ini, 6 Februari 2009, terciptalah satu lagi sejarah di Perak. Dr. Zambry, 47, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11
Dalam masa kurang daripada seminggu, tanpa war-war, tanpa heboh-heboh dan tanpa pertumbahan darah, malah tercalarpun tiada, Dr. Zambry mengambilalih kepimpinan negeri. UMNO dan BN sudah kembali berkuasa setelah menumbangkan kerajaan BN yang diterajui Datuk Seri Tajol Rosli sebagai Menteri Besar kira-kira 10 bulan lalu.
Namun, sehingga semalam, Nizar masih mengisytiharkan dirinya sebagai MB walaupun telah dititahkan Tuanku Sultan bagi beliau dan seluruh pimpinan parti pembangkang meletakkan jawatan masing-masing. Hari ini, Dr. Zambary mengangkat sumpah, tetapi para pembangkang menjadi sampah berdemontrasi di depan istana.
Tidak perlu ditanya siapa di sebalik perhimpunan haram ini. Adalah lebih baik kita mengkaji dan meneliti apakah jenis masyarakat yang kita punyai masa ini. Titah perintah Tuanku disanggah, perundangan tidak diendah, peraturan dipandang rendah dan kesan biadap serta derhaka dianggap mudah.
Nizar sendiri memohon untuk derhaka kepada Tuanku, apatah lagi para pengikut di jalanan!
Lupakah Nizar dan rakan-rakan lain bahawa Sultan Perak pernah menjadi Ketua Hakim Negara?
Sebagai Ketua Hakim Negara, pelbagai undang-undang dan peraturan sentiasa berlegar di kepala Tuanku. Tuanku Sultan yang amat mahir mengenai Perlembagaan Negara, tentulah mengetahui dan lebih memahami daripada seorang jurutera yang memohon untuk menderhaka itu.
Jikapun Tuanku dilihat sudah lama meninggalkan badan perundangan, sebagai Sultan, Baginda boleh meminta bantuan dan pandangan daripada pakar-pakar yang ada di seluruh negara yang kebanyakannya adalah kenalan dan sahabat-sahabat Baginda sendiri.
Tidak boleh dan tidak wajar sesiapapun menolak titah perintah dan keputusan Sultan, waima seseorang itu merasakan berjawatan atau pendidikan yang tinggi.
Nizar dan mentornya, dalam kes ini tentulah termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar kembali merujuk kepada Perlembagaan dan perundangan negara kerana apa yang dilakukan oleh Baginda Sultan Perak adalah yang berasaskan dan berpaksikan kepada kedua-dua aspek berkenaan.
Pembangkang sebaliknya, lebih gemar merujuk dan mengulangi demonstrasi jalanan. Apabila demonstrasi berlaku, pihak polis pasti mengambil tindakan dan apabila polis bertindak, mereka akan dituduh sebagai alat kerajaan dan BN.
Lebih teruk daripada itu, mereka sedang berusaha keras untuk menyemai dan menyematkan rasa benci terhadap poliss dan institusi mereka, PDRM..
Nampaknya, tidak banyak orang, termasuk yang berketurunan Melayu yang tidak menghayati kisah Sikitol dan Mendeliar di negeri Melaka kira-kira 600 tahun nan lalu. Melaka tidak mungkin ditawan jika tidak kerana petualang tempatan sendiri yang membocorkan strategi keselamatan Melaka dan membuka pintu tatkala musuh datang menyerang.
Demikianlah kini, bukan orang lain yang merusuh menentang titah perintah dan keputusan Tuanku Sultan. Bukan orang lain juga yang mahu derhaka kepada Tuanku atas sifatnya sebagai raja Melayu.
Bukan orang luar atau pendatang yang turut cuba membenci intitusi polis dan kerajaan Melayu yang ada,
Kita masih mencari dan menunggu jawapan Anwar Ibrahim, kenapa PutraJaya yang dikejar, Perak pula yang keciciran?
Bagi BN Darul Ridzuan, negeri itu tentulah sudah naik tarafnya menjadi Emas dan sebagai sesuatu yang sangat berharga, pasti akan mengawasi dan membelainya bagaiakan menatang minyak yang penuh!
Tarikhh 16 September dicari, tanggal 6 Februari yang menjadi.
sumber - Agendadaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan