Oleh Aznan Bakar
SEPANJANG Oktober ini dunia melihat campur tangan paling besar oleh kerajaan negara-negara kuasa ekonomi dunia dalam sistem kewangan dan perbankan mereka. Pelbagai pakej menyelamatkan dapat disaksikan sama ada yang berasaskan kepada polisi kewangan atau ketegasan politik yang mana ia dilihat oleh banyak pihak sebagai berakhirnya era liberalisasi dan kapitalis yang diperjuangkan oleh barat selama ini.
Krisis ekonomi yang bermula dengan sub prima di Amerika Syarikat (AS) pada hujung tahun lalu berterusan menghantui sistem kewangan barat hingga menyebabkan institusi kewangan mereka runtuh satu persatu. Bayangkan hampir semua institusi kewangan terkemuka yang menjadi nadi kepada sistem ekonomi dan kewangan barat terpaksa diselamatkan oleh kerajaan masing-masing - satu dasar yang sama sekali bertentangan dengan liberalisasi kewangan dan sistem kapitalis.
Di AS, syarikat Lehman Brothers yang berusia 160 tahun, kumpulan perbankan City Group, Merryl Lynchm, Morgan Stanly dan beberapa lagi semuanya menuju kemuflisan jika tidak diselamatkan.
Di Eropah gergasi kewangan seperti Standard Chartered, HSBC, Barclays dan Royal Bank of Scotland (RBS) semuanya 'lemas' dan perlu diselamatkan.
Kini pelbagai pihak terutama negara-negara membangun dan dunia ketiga tertanya- tanya apa jadi dengan sistem yang dulu menjadi kemegahan barat. Ketika krisis ekonomi Asia kuasa-kuasa besar yang diterajui AS ini menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam sistem kewangan masing-masing kononnya atas nama liberalisasi dan pasaran bebas.
Pada hal krisis ekonomi Asia pada 1997-98 bukan berpunca daripada masalah dalaman, tetapi akibat penyangak mata wang yang memanipulasi sistem pasaran bebas dan liberalisasi itu untuk mengaut keuntungan. Usaha 'menyelamat' yang dilakukan oleh negara-negara lemah tersebut demi menjaga kepentingan nasional supaya tidak terlepas ke pihak luar dianggap sebagai menolong kroni.
Malah kebanyakan negara Asia terutama Indonesia, Thailand dan Korea Selatan dipaksa mendapatkan bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) hingga menyebabkan separuh daripada kepentingan nasional tergadai kepada pihak luar.
Tentu kita ingat bagaimana Pengerusi IMF ketika itu, Micheal Camdesus dengan lagaknya berpeluk tubuh menyaksikan Presiden Suharto menandatangani perjanjian untuk mendapatkan pinjaman. Hasil daripada bantuan IMF itu banyak saham syarikat besar milik negara itu terlepas ke tangan pihak asing.
Kepentingan
Dalam kes Korea Selatan, kepentingan syarikat gergasinya Daewoo juga terpaksa dijual kepada pihak luar. Malaysia juga dikritik hebat kerana bertindak menyelamatkan syarikat-syarikat utama terutama sektor perbankan hingga dituduh sebagai membantu kroni. Tuduhan yang turut disokong oleh pemimpin politik pembangkang. Tetapi lihat hari ini.
Apa sudah jadi dengan liberalisasi, deregulasi dan pasaran bebas yang menjadi kebanggaan AS dan sekutunya kira-kira 11 tahun dahulu? Semuanya rebah dan tersungkur ekoran terlalu percaya dengan liberalisasi dan deregulasi hingga boleh dikatakan tidak ada peraturan yang mengawal aktiviti kewangan mereka.
Kini kerajaan AS, Perancis, Jerman dan beberapa yang lain merupakan pemilik utama bank-bank terkemuka dunia. Malah ia juga menandakan berakhirnya penguasaan atau hegemoni ekonomi AS dan krisis kali ini dikatakan bakal mewujudkan satu sistem pasaran kewangan baru.
Ia dikatakan akan menyaksikan peralihan kuasa ekonomi daripada AS dan sekutunya kepada negara- negara seperti China, India, Brazil dan Russia. Kekuatan ekonomi negara-negara ini menjadi pengimbang kepada krisis sekarang yang mampu mengelakkan ekonomi dunia menuju petaka lebih besar.
Keempat-empat negara itu yang semakin aktif dalam pengeluaran, tenaga dan teknologi tertentu merupakan penampan kepada krisis yang sedang berlaku sekarang. Bayangkan simpanan China yang bernilai AS$1.9 trilion, simpanan petroleum Asia Barat AS$1.3 trilion dan Russia AS$500 bilion. Kemudian ditambah pula dengan simpanan yang ada di Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura yang melebihi AS$5 trilion sudah tentu boleh digunakan untuk mengambil alih kuasa ekonomi dunia.
Negara-negara ini akan menjadi pusat sistem kewangan dunia melalui keupayaan untuk mengambil alih bank dan institusi kewangan ketika pasaran kewangan AS dan Eropah merudum.
Bagi AS dan negara-negara Eropah, krisis yang berterusan menyebabkan kerajaan mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka terpaksa campur tangan dan menyelamatkan bank-bank yang sedang tenat. Seluruh dunia dapat melihat perubahan bagaimana kuasa politik campur tangan dengan urusan perniagaan di Washington, London, Paris dan Berlin.
Bank-bank di negara terbabit juga tidak mempunyai pilihan. Ketua-ketua mereka dipanggil diberitahu bahawa kerajaan akan menyuntik kecairan sama ada mereka suka atau tidak atas dasar nasionalisme.
Setiausaha Kewangan AS, Hank Paulson pada 13 Oktober lalu berkata, itu bukan apa yang hendak mereka lakukan tetapi mereka tidak mempunyai pilihan. Katanya, kerajaan terpaksa membeli saham bank-bank terbabit kerana alternatif lain langsung tidak boleh diterima.
Ini merupakan pengakuan jujur bahawa pasaran bebas kini berkubur bersama leburnya sistem perbankan terhebat dunia di AS hingga usaha menyelamatkannya dianggap sebagai tugas nasional. Di United Kingdom, tugas nasional itu ialah menyelamatkan bank kedua terbesarnya RBS dan bank keenam terbesar HBOS yang kini sudah di bawah kawalan kerajaan.
Kerajaan negara itu yang sebelum ini mengkritik langkah menyelamat yang dilakukan Malaysia 11 tahun dulu kini menguasai 60 peratus saham RBS.
Malah bank kelima terbesar di UK, Lloyds juga kini sedang dijadikan milik kerajaan begitu juga dengan bank-bank kecil lain. Sebelum ini, Northern Rock dan Bradford & Bingley 100 peratus dijadikan milik negara. Ia bukti jelas yang menunjukkan negara-negara kuasa besar ini sekadar cakap tidak serupa bikin.
Mereka akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan syarikat-syarikat mereka, iaitu tindakan yang akan dilakukan oleh mana-mana kerajaan pun dalam dunia ini. Pengerusi Federal Reserve AS, Ben Bernan berkata, untuk menangani krisis itu kerajaan AS tidak akan berundur sama sekali.
Matlamat
Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat itu. Setakat ini AS telah mengepam AS$700 bilion untuk menyelamatkan pasaran kewangannya. Secara keseluruhannya negara itu telah menyuntik AS$1 trilion dengan terma yang digunakan ialah menyuntik kecairan bukannya menyelamat.
Setakat ini tidak ada siapa dapat meramalkan berapa banyak bank akan dijadikan milik kerajaan atau milik negara - satu pendekatan yang ditentang keras oleh pasaran bebas yang diterajui AS tidak lama dulu.
Di AS setakat ini semua nama besar sudah menjadi milik negara iaitu Bank of America, CitiGroup, Wells Fargo, JP Morgan Chase, Goldman Sacks, Morgan Stanley, Merrill Lynch, Bank of New York Mellon dan State Street. Sehingga kini krisis itu belum menampakkan tanda- tanda akan pulih.
Kerajaan AS dan Eropah terus memerhati dengan teliti kedudukan sistem kewangan mereka yang semakin rapuh dan tidak lagi mampu bertahan dengan asakan yang berpunca daripada liberalisasi dan deregulasi yang diperjuangkan sebelum ini.
Kini negara-negara terbabit terpaksa menelan kembali segala kritikan mereka terutama terhadap Malaysia yang menggunakan pendekatan konservatif untuk mengatasi krisis kewangan 1997-98.
Ketika itu kerajaan Malaysia juga 'menyuntik kecairan' bukannya menyelamat syarikat-syarikat kewangannya. Sama seperti yang dilakukan oleh AS dan UK sekarang. Ketika itu juga kerajaan Malaysia menambat nilai ringgit pada RM3.80 berbanding dolar AS untuk mengelakkan ia daripada terus merudum diheret liberalisasi dan pasaran bebas. Semua itu dilakukan bukan untuk kepentingan kerajaan atau pemimpinnya. Tetapi atas kepentingan nasional dan rakyat.
Alasan yang digunakan oleh AS pada 13 Oktober lalu untuk menjustifikasikan pengambilalihan sembilan bank utamanya oleh kerajaan.
Nampaknya, tidak ada apa yang salah dengan tindakan yang diambil oleh Malaysia 11 tahun lalu. Yang pasti krisis yang melanda itu menyaksikan berakhirnya hegemoni AS ke atas sistem kewangan global. Malah tidak mustahil ia bakal menyaksikan peralihan paksi ekonomi dari barat ke timur.
sumber - Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan