KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pagi ini akan mendengar hujahan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, ke Mahkamah Tinggi.
Pada 9 Septembar lalu, Hakim SM Komathy Suppiah menangguhkan perbicaraan kes itu selepas peguam Anwar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan pihak pendakwaan dan ingin meneruskan perbicaraan di Mahkamah Sesyen dengan alasan ia tidak perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Komathy juga membenarkan permohonan Sulaiman diberi lebih masa bagi menyediakan hujahan kerana pembelaan hanya diberitahu mengenai permohonan memindah kes ke Mahkamah Tinggi, 10 minit sebelum prosiding bermula semalam.
Anwar, 61, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ketika tuduhan dibacakan semula 9 September lalu, Anwar berkata: "Tidak bersalah, Yang Arif. Ini adalah khianat dan fitnah jahat yang membabitkan ramai orang."
sumber - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan