Sep 24, 08 10:24am
Hakim SM Komathy Suppiah yang mendengar kes Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan pada 7 Oktober depan sama ada ia akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pagi ini, Hakim SM Komathy Suppiah mendengar hujah dari pihak pendakwa dan peguambela sama ada kes tersebut boleh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwa memohon kebenaran untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pihak peguambela membantah notis pemindahan kes tersebut yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Mereka membantah kerana Peguam Negara tidak seharusnya memainkan sebarang peranan dalam kes ini kerana beliau sendiri sedang disiasat berhubung aduan mereka bukti dalam kes-kes terhadap Anwar 10 tahun lalu.
Hakim Komathy kemudiannya menangguhkan prosiding hingga ke hari ini untuk membolehkan kedua-dua pihak membuat persiapan untuk berhujah.
Prosiding pagi ini bermula dengan pihak pendakwa, yang diketuai oleh Mohd Yusof Zainal Abiden, berhujah menyokong kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mohd Yusof berkata, Abdul Gani tidak mempunyai peranan secara langsung dalam kes ini dan oleh itu, perintah pemindahan kes yang ditandatanganinya, adalah sah.
Menyentuh tentang jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Abdul Gani tidak akan terbabit dalam perbicaraan kes Anwar, Mohd Yusof berkata, perdana menteri boleh berkata apa-apa pun.
Sambil menyebut kes undang-undang, Mohd Yusof memberitahu hakim bahawa beliau (hakim) tiada pilihan kecuali memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Kawalan ditingkatkan
Sementara ini, kawalan keselamatan ditingkatkan di kompleks mahkamah Jalan Duta di mana beberapa buah trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia manakala anggota polis ditempatkan di pelbagai lokasi.
Mereka yang hendak memasuki bilik mahkamah juga perlu menjalani pemeriksaan polis.
Anwar tiba kira-kira jam 9.50 pagi dan masuk ke bilik mahkamah lapan minit kemudiannya. Kes itu didengar jam 10 pagi.
Pada 7 Ogos lalu, Anwar didakwa atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Jika didapati bersalah, beliau berdepan dengan hukuman 20 tahun penjara. Anwar kini dibebaskan atas ikatjamin.
Bagaimanapun, para penyokongnya bimbang sekiranya ikatjamin tersebut dibatalkan, mengakibatkan Anwar ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraannya - satu proses yang mungkin memakan masa berbulan-bulan.
Bagaimanapun, isu tersebut tidak dibangkitkan dalam prosiding sebelum ini dan ia juga dijangka tidak dibangkitkan hari ini.
sumber - Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan