Adalah tidak mustahil nasib politik pro-Islam akan dipersia-siakan apabila pentadbiran kuasa tidak berada dalam tangan mereka. Sekalipun mereka yang membantu kenaikan kuasa politik berkenaan.
Dalam sejarah al-Ikhwan al-Muslimin, mereka pernah membantu revolusi yang dibuat oleh Jamal Abd al-Nasir sehingga beliau berjaya menjadi Presiden Mesir. Bahkan kemenangan Jamal ‘Abd al-Nasir itu sebenarnya kerana bantuan Gerakan al-Ikhwan al-Muslimin. Mereka juga yang membela Jamal pada peringkat awal semasa rakyat sudah mula tidak puas hati dengannya.
Malangnya, Jamal ‘Abd al-Nasir yang pernah berbai’ah dengan wakil Hasan al-Banna dan berjanji setia untuk membela Islam itu berubah sama sekali setelah menjadi Presiden. Dia yang mengetahui banyak rahsia-rahsia pergerakan al-Ikhwan telah menggunakan ‘kepakarannya’ itu untuk memusuhi al-Ikhwan habis-habisan.
Ramai pemimpin al-Ikhwan yang ditangkap dan dibunuh. Dialah juga yang menggantung Syed Qutb, ‘Abd al-Qadir ‘Audah dan lain-lain. Dari seorang teman yang dibantu, menjadi musuh yang memburu. Sebabnya, kerana pemimpin al-Ikhwan tidak berhati-hati melihat kepercayaan dan dasar yang dipegang oleh Jamal ‘Abd al-Nasir yang seakan memakai ‘baju pro-Islam’ pada peringkat awal.
Namun, apabila menjadi Presiden, dia telah menanggal baju tersebut dan jelaslah akidah sebenar yang dianutinya iaitu ‘pro-sosialis’ dan dia sebenarnya talibarut Soviet Rusia. Memang, Soviet Rusia akhirnya menjadi begitu rapat dengan Mesir, bahkan Soviet telah menjadi kiblat pentadbiran sosialis Jamal ‘Abd al-Nasir.
Terbukti tuduhan terhadap Jamal sebelum itu bahawa dia ‘tali barut’ Soviet Rusia adalah benar. Topeng Islamnya adalah mainan politik. Jamal yang terkenal dengan slogan dan kepetahannya telah menjadi idola masyarakat ‘Arab. Sementara Al-Ikhwan terpaksa membayar harga kesilapan itu dengan menjadi kelompok yang paling ditindas dan diseksa.
Akhirnya, al-Ikhwan terpaksa berjuang dengan airmata, penjara dan darah berhadapan dengan seorang Presiden yang memegang tampuk kuasa dengan bantuan mereka sendiri.
Alangkah baiknya, jika para pencinta Islam berhati-hati dalam langkah-langkah mereka. Jangan sampai suatu hari mereka terpaksa bertempur dengan musuh yang ditegakkan oleh mereka sendiri. Musuh itu pulak akan lebih licik kerana banyak mengetahui rahsia mereka.
Kemenangan Islam mestilah melalui denai dan lorong yang diredhai oleh Islam. Jika kita melalui jalan yang asing bersama orang lain, mungkin orang lain akan sampai ke destinasinya, tetapi kita akan tersesat jalan.
Ingatlah selalu firman Allah yang memberi amaran kepada baginda Nabi s.a.w agar tidak terpengaruh dengan tawaran kemenangan segera tanpa melalui jalan yang diredhai Allah. Firman Allah:
(maksudnya) Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentulah mereka menjadikan engkau sahabat karib. Dan kalaulah tidak Kami tetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh penolong pun terhadap hukuman kami. (Surah al-Isra`: 73-75).
sumber - drmaza.com
1 ulasan:
saya pernah meminati tulisan dan cara pemikiran dr asri @DRMAZA....namun saya agak terkilan bila tahu beliau sebenarnya penyokong keadilan....
walaubagaimanapun..tulisan beliau diatas rasanya sesuai jika saya katakan jamal nasir= anwar + keadilan dan ikhwan= pas. cuma bezanya jamal talibarut soviet rusia manakala anwar lebih ganas iaitu talibarut zionis.
buat dr asri yang pernah dituduh berfahaman wahabi....beliau juga memusuhi golongan tabligh dan tareqat....cuma satu nasihat saya...imam al ghazali dulu pernah berada di takhta fekah dan pernah menjadi mufti besar...namun imam ahmad pernah mufaraqah bila sembahyang berjemaah dengannya...cerita ini segar dalam lipatan sejarah....al-ghazali berasa malu dan bertanya ahmad kenapa?...namun jawab ahmad...beliau mufaraqah kerana al-ghazali telah terbatal sembahyangnya dalam perkiraan orang khusus...tapi bagi orang awam....tidak batal...maka al-ghazali mengaku diwaktu sembahyang itu dia tidak khusyuk dan memikirkan satu masalah fekah berkaitan darah haid wanita....bagaimana ahmad nampak secara hakikat gerak hati al-ghazali itu...jawabnya ahmad telah maju jauh kedepan berbanding al ghazali dalam mencapai IHSAN...maka al ghazali bertanya siapa guru kamu wahai ahmad...maka jawab ahmad...guruku tidak dikenali manusia ramai,tak glamour..hanya seorang faqir tukang kasut dan tukang pencedok air untuk diberi kepada jemaah haji...maka beberapa lama al-ghazali telah menanggalkan
jubah muftinya semata mata mata ingin menjadi murid yang setia.
wahai dr asri...ALLAH tidak melihat kepada ijazah dan phd kamu tetapi Allah melihat kepada hati kamu.rugilah kiranya jika kamu tidak dapat masuk syurga sewaktu didunia ini lagi sebelum kamu masuk syurga sekali lagi diakhirat nanti.
pesan guru saya...sebaik baik guru adalah guru yang mengajar ketiga tiga ilmu iaitu tasauf,feqah dan tauhid...manakala sebaik baik murid ialah murid yang belajar ketiga tiga ilmu itu...kerana jika kita mengambil fekah saja tanpa tasauf maka jadilah kita fasik dan jika kita mengambil tasauf saja tanpa feqah..maka jadilah kita zindik..
wallo hu a'lam
Catat Ulasan