MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

2 Nov 2009

Najib persoal motif disebalik penahanan Dr Asri

Oleh IZATUN SHARI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempersoalkan apakah motif di sebalik penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abdin.

Beliau menambah, Dr Asri adalah seseorang penceramah agama yang jujur dan semua ceramahnya disokong oleh bukti dan dalil yang sahih dari Al-Quran dan As-Sunnah.

"Saya tidak tahu apakah motif disebalik penahanan (Dr Asri) ini. Ianya dilakukan oleh jabatan agama negeri dan ia tiada kaitan dengan kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvesnyen Pasar Tani di sini pada Isnin.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penahanan Dr Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada malam Ahad kerana didakwa mengamalkan fahaman Wahabi kepada pengikutnya.

Sementara itu, Dr Asri yang ditahan oleh JAIS tengah malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Asri bagaimanapun menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi.

"Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu.

"Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya dalam satu sidang media selepas dibebaskan hari ini.

Semalam, Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika ketika Dr Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

sumber - mstar


Jamil Khir gesa JAIS beri keterangan isu penahanan Dr Asri

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menggesa pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberikan keterangan berhubung isu penangkapan dan tuduhan yang dibuat terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin.

Beliau juga memaklumkan yang Kerajaan negeri Selangor juga perlu mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.

"JAIS perlu ambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang dilakukan. Saya rasa JAIS perlu mengambil penyelesaian yang sewajarnya dengan tangkapan dan dakwaan yang dibuat.

"Mereka minta Dr Asri datang awal pagi tadi tetapi sampai tengah hari beliau tunggu baru sampai.

"Hal seperti ini tak sepatutnya berlaku. Sepatutnya pihak negeri Selangor juga perlu menyelesaikan masalah ini," katanya selepas bertemu dengan Mohd Asri di Hotel Putra, hari ini.

Beliau juga bertanyakan tentang perkembangan sebenar di sebalik tangkapan yang berlaku.

Berhubung dengan saman yang dikeluarkan oleh pihak polis semalam, Jamil menjawab:

"Saya tidak pasti apa keterangan yang diminta oleh JAIS tetapi mereka perlu jelaskan tentang hal itu," tambahnya lagi.

Sementara itu, Mohd Asri berkata hasil perbincangan itu, dia menyokong pendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan mengapa beliau seorang sahaja yang ditangkap berhubung isu memberi ceramah tanpa tauliah.

"PM pun tak puas hati sebab ramai lagi yang memberikan ceramah, tetapi saya seorang sahaja yang kena," ujarnya.

Asri juga menambah, "Ini merupakan satu titik tolak di mana kerajaan perlu memberikan kebebasan untuk bersuara.

"Jangan terlalu banyak akta yang menghalang seseorang itu untuk sampaikan ceramah.

"Kalau saya memberi ceramah di 14 buah negeri, takkan saya nak dapatkan tauliah di setiap negeri?

"Mungkin kita boleh minta pejuang hak asasi untuk kemukakan soal ini bagi mendapatkan kelayakan itu," katanya yang turut menghargai sokongan daripada PM, ahli-ahli parlimen, para NGO, semua badan guaman, tokoh-tokoh termasuk Tun Dr Mahathir Mohammad.

sumber - mstar

Penahanan Dr Asri ada ‘agenda tersembunyi’ - Dasuki

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

PETALING JAYA: Bekas Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dasuki Ahmad, menyifatkan penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Asri Zainul Abidin sebagai ‘agenda tersembunyi’ pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dalam isu tersebut.

"Tangkapan yang dibuat ini semacam ada ‘agenda tersembunyi’ bagi kepentingan peribadi dan kepentingan kelompok tertentu kerana ianya dilakukan ketika Perdana Menteri bercadang melantiknya sebagai Yang DiPertua YADIM.

"Apakah gerakan dakwah Jemaah Tabligh, pendakwah-pendakwah bebas yang bergerak dari masjid ke masjid mempunyai tauliah?

"Apakah penceramah-penceramah agama yang bergerak dari rumah ke rumah, meletakkan semua aktiviti agama yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak betul belaka itu mempunyai tauliah?," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online di sini pada Isnin.

Menurut Dasuki, beliau merasakan penahanan yang dibuat terhadap bekas Mufti Perlis itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak bijaksana.

"Jika ada undang-undang dan peraturan pun rasanya tokoh seperti Dr Asri itu bukanlah sasarannya," katanya.

Jelasnya, jika ada laporan daripada orang ramai terhadap salah laku agama yang dibuat, ia perlu disiasat terlebih dahulu.

"Siasatan secara terperinci perlu dijalankan dengan mengambilkira kepentingan umum.

"Kita juga perlu melihat siapakah pengadunya dan apakah tuduhan yang dibuat; dan jika dikatakan menyeleweng dan menyalahi hukum, dari aspek mana dia telah melakukan penyelewengan itu," katanya.

Sehubungan itu, Dasuki berkata, jika ada bukti yang sah pengadu yang berkenaan perlu bermuzakarah dan bersama-sama terlibat dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Tegasnya, sekiranya tuduhan itu benar, apakah hukum bagi 100 orang termasuk tuan rumah serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ulu Kelang, Shaari Sungib yang hadir mendengar ceramah dan syarahannya.

"Mereka ini juga seharusnya ditahan, sekurang-kurangnya dua wakil rakyat tersebut boleh menjadi saksi tentang 'sesatnya' ajaran Dr Asri itu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dasuki berkata, tuduhan ke atas seorang ahli ilmuan itu adalah amat berat dan amat serius, bahkan memalukan umat Islam.

"Apakah ada bukti bertulis atau berekod? Jika ada, pernahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat atau bermuzakarah dengannya kerana beliau bukanlah seperti guru-guru ajaran sesat seperti Ayah Pin, Imam Kahar (Rasul Melayu), Subud, Ahmad Laksamana dan lain-lain yang tidak diketahui ipunca asal usul ajarannya dan sebagainya.

"Pada hemat saya, Dr Asri sebagai orang lepasan graduan sarjana tinggi dalam bidang hadis boleh dibawa ke meja perundingan," katanya.

Beliau berkata, jika dilihat kepada rentetan peristiwa yang berlaku, seolah-olah ada usaha untuk menghalang Perdana Menteri melantiknya ke jawatan Yang DiPertua YADIM itu.

"Yang paling penting sekali, apakah hubungan Persatuan Peguan Syarie dengan YADIM sehingga terdorong mereka membuat Memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agung sedangkan YADIM adalah dibawah tanggungjawab Perdana Menteri," katanya.

Semalam, Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika ketika Dr Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Sementara itu, Dr Asri yang ditahan oleh JAIS tengah malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

sumber - mstar


Tiada ulasan: