SHAH ALAM - Dakwaan Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor menyatakan PKR dimanipulasi 3A iaitu Datin Seri Wan Dr Azizah Wan Ismail (Presiden), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat) serta Azmin Ali (Naib Presiden) menjadi punca utama pemimpin parti itu meletak jawatan ternyata benar.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzzafar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan sendiri mengetepikan pendapat serta menolak pandangan daripada struktur kepimpinan sebenar.
Menurutnya, Anwar tidak memegang jawatan dalam parti tetapi menguasai keseluruhan parti itu menggunakan pendekatan sendiri.
“Anwar memanipulasikan isterinya serta Azmin yang sangat akrab kepadanya. Apa yang dikatakan oleh Ezam mengenai 3A memang benar, malah saya tidak menafikannya memandangkan PKR mempunyai masalah kepimpinan sejak dahulu lagi.
“Selagi Anwar tidak ubah, saya tidak nampak parti itu wujud sebagai wadah politik kukuh. Akhirnya mereka yang memegang jawatan formal antaranya Naib Presiden dan Ketua Bahagian diketepikan seperti yang berlaku baru-baru ini di mana bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan kecewa dengan keputusan Anwar melantik Ahmad Thamrin sebagai ketua parti yang baru di Sabah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dr Chandra yang juga penganalis politik berkata, dalaman parti itu juga dilihat tidak kukuh kerana mempunyai 'penyakit dalaman' antaranya dikaitkan dengan puak dan kabilah.
Menurutnya, pada masa yang sama, Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan drastik di semua peringkat dalam usaha menolak unsur penyelewengan dan memilih pemimpin berintegriti.
sumber - sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan