SHAH ALAM – Mahkamah Koroner di sini, semalam membenarkan permohonan keluarga Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock untuk menggali kubur dan mengeluarkan mayat mendiang bagi membolehkan pegawai perubatan melakukan bedah siasat kali kedua.
Persoalan siapa pegawai perubatan yang akan mengendalikan bedah siasat, di mana dan bila bedah siasat akan dijalankan hanya terjawab Isnin ini selepas Koroner Azmil Muntapha Abas meminta pihak-pihak yang terlibat dengan prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock mengemukakan cadangan mereka.
Pada keputusan semalam, Azmil Muntapha juga membenarkan pakar patologi terkenal Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, 54, yang pernah dipanggil memberi keterangan pada prosiding inkues dan pakar yang akan dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk turut memerhatikan bedah siasat itu.
Dua patologi yang mengendalikan bedah siasat pertama terhadap Beng Hock, Dr Khairul Azman Ibrahim dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dekat sini dan Dr Prashant Naresh Samberkar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, dekat sini juga dibenarkan berada semasa bedah siasat dijalankan.
Pada prosiding pendengaran permohonan untuk menggali semula kubur, peguam pemerhati keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo menghujahkan bahawa majistret yang mendengar prosiding inkues mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan yang difailkannya 27 Oktober lalu mengikut Seksyen 335 Kanun Acara Jenayah.
Pada permohonannya, Gobind juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk membuat pemerhatian semasa bedah siasat dijalankan memandangkan peruntukan seksyen itu menyatakan bedah siasat hendaklah dilakukan oleh pegawai perubatan yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan 1971 tidak dipenuhi Dr Pornthip.
“Keluarga mendiang menerima pegawai perubatan yang akan dilantik mengendalikan bedah siasat. Kami memohon Dr Pornthip dibenarkan memerhatikan bedah siasat dan dipanggil ke mahkamah bagi mengemukakan laporan itu,” katanya.
Mayat Beng Hock dikebumikan di Nirwana Memorial Park di Semenyih, dekat sini pada 20 Julai lalu.
sumber - sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan