MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

27 Okt 2009

Saya setuju UMNO dan PAS bersatu

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saya dituduh sebagai tali barut UMNO dan dibayar berjuta-juta untuk menulis artikel. Oh! Senang sekali untuk jadi kaya. Tulis artikel mengutuk pembangkang atau berbau perkauman, UMNO akan bayar. Mungkin selepas ini, pembaca boleh menyertai saya untuk jadi kaya. Senang sahaja caranya, kutuk pembangkang dan puji UMNO, maka kita akan dibayar berjuta-juta. Begitulah banyak sekali duit UMNO! Inilah pemikiran ultra kiasu. Mereka tidak boleh diusik langsung. Orang lain semua salah, mereka sahaja yang betul.

Saya dicabar kenapa tidak menegur UMNO yang dikatakan mengamalkan rasuah? Untuk makluman semua, sila baca artikel saya dalam Utusan Malaysia (22 Disember 2008). Saya ada menulis bahawa makan rasuah lebih hina daripada makan babi atau lebih baik makan babi daripada makan rasuah. Begitulah hinanya mengambil dan makan rasuah. Kenapa pembangkang tidak menyokong saya ketika itu? Inilah mentaliti kelas ketiga masyarakat kita, bila kena pada orang lain kita suka, bila kena pada diri sendiri, ibarat meludah ke langit. Bersih sangatkah kita? Ingatlah, kita hanya manusia biasa, tidak lari dari salah silap. Saya tidak nafikan bahawa kewujudan pakatan pembangkang penting dalam sistem demokrasi sebagai check and balance.

Cuma satu perkara yang saya pohon, yang baik kata baik dan sokonglah. Manakala, yang tidak baik, boleh ditegur dengan cara berhikmah. Jangan tolak semua disebabkan tidak sehaluan. Lebih hina lagi, suka menyerang peribadi. Adakah peribadi kita semuanya baik? Ingat saudara, kadangkala kita juga menyimpan pekung di dada. Kita juga buat silap, tetapi kita tidak berani untuk mendedahkannnya, dibimbangi terpalit ke muka sendiri. Tepuk dada tanya iman.

Saya mengatakan yang benar, jika hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam dan menjalankan hukumnya, parti ultra kiasu dan sekutunya, bukanlah pakatan yang sesuai. Sebab mereka tidak pernah bersetuju dengan Islam. Parti ultra kiasu itu amat kuat menentang Islam. Takkan tidak nampak lagi. Sementara sekutunya pula sehingga hari ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong idea PAS untuk menubuhkan negara Islam. Cubalah PAS bertanya walaupun sekali kepada kepimpinan tertinggi mereka. Jawapannya, mereka memang tidak mahu Islam. Agenda peribadi mereka jelas, mahu membalas dendam. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Siapa yang rugi? Orang Islam juga. Adakah orang bukan Islam rugi? Tidak. Mereka tetap untung sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat, walaupun berhadapan krisis dalaman parti sendiri.

Justeru, bila saya mencadangkan PAS bekerjasama dan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO, itu bukan retorik kosong. PAS dan UMNO adalah parti dominan umat Islam di negara ini. Arah tuju Melayu Islam bergantung kepada dua parti ini. Bukan parti ultra kiasu dan sekutunya yang baru setahun jagung. Perjuangan mereka ada agenda tersembunyi. Saya minta saudara semua, bacalah bahan-bahan yang terlampau banyak dalam internet. Jangan lupa baca juga bersama perjuangan freemason. Saudara tentu akan mendapat gambaran sebenarnya.

Manfaat PAS berkawan dengan UMNO lebih banyak hasil Islamnya berbanding dengan parti ultra kiasu yang terang-terang menolak Islam, termasuk sekutunya. Contoh di negeri Selangor amat jelas, adakah sinar Islam benar-benar tertonjol walaupun ketuanya orang Islam. Fikirkan sendiri. Jangan berkonflik dalam diri, seksa hidup kita. Biarlah kita berkawan dengan musuh, sekurang-kurangnya kita telah kenal hati budinya, daripada berkawan dengan musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam, yang menjadi gunting dalam lipatan atau duri dalam daging.

Saya bukan ahli UMNO, saya tidak mendapat satu senpun dari UMNO. Tetapi saya melihat politik umat Islam amat merugikan. Jika berkawan dengan UMNO, tidak dapat menegakkan Islam, apakah berkawan dengan musuh UMNO, Islam dapat ditegakkan? Tidak juga. Jadi, timbangkanlah mana lebih baik antara keduanya. Itu sahaja. Habis cerita.

Politik kita lebih kepada untuk membalas dendam. Inilah kelemahan politik Melayu yang amat ketara. Kita sanggup pecah kepala dan pecah segala-galanya semata-mata kerana berbeza pendapat seperti pilihan raya Bagan Pinang baru-baru ini. Orang lain bergaduh juga, tetapi pergaduhan mereka macam adik-beradik. Hari ini nampak bergaduh, esok mereka berbaik-baik. Tak pernah dengarpun sampai pecah kepala. Kenapa kita tidak boleh menjadi sedemikian? Kenapa perlu berpatah arang berkerat rotan. Masalah inilah yang menghantui umat Islam hari ini sehingga kita diperkotak-katikkan. Umat Islam merempat di bumi sendiri. Apakah kita yakin kita boleh bangun selepas ini?

Bandingkan dengan negara China, mereka hanya ada satu Cina. Tidak timbul Taiwan itu keluar daripada Cina. Pada kerajaan China, Taiwan itu adalah Cina. Cina tetap Cina. Taiwan tidak boleh bersekongkol dengan Amerika untuk menghancurkan Cina. Sebab apa? Jawapannya, sebab kerajaan China, kenal musuh yang sebenar dan musuh dalam selimut. Sebarang percubaan menghancurkan China, tidak ada kompromi.

Dengan sebab itu, kerajaan China amat tegas dengan Taiwan. Sebarang percubaan untuk ‘mengAmerikakan’ Taiwan akan ditentang habis-habisan. China mengambil pendekatan satu Cina dan maruah bangsa lebih penting daripada segala-galanya. Berpegang kepada prinsip yang SATU ini, akhirnya China menjadi hebat. Musuh ketatnya Amerika pun rasa takut, apatah lagi musuh yang cuba menjadi musuh dalam selimut. Tamadun mereka adalah warisan nenek moyang yang tidak boleh dijual beli dan tidak ada kompromi. Jika Taiwan dirosakkan, maka hancurlah konsep kesatuan SATU China. Saya harap pembaca faham sedikit perbandingan ini dengan negara kita dan kaitannya dengan artikel saya minggu lepas. Begitulah hebatnya pegangan ajaran nenek moyang dan tamadun bangsanya.

Islam tidak pentingkan nenek moyang, sebab kita ada Allah Yang Maha Esa. Sepatutnya kita yang ada Allah lebih hebat daripada mereka yang percaya kepada nenek moyang. Allah yang menjadikan nenek moyang. Kenapa hari ini manusia yang menyembah Allah, lebih hina daripada mereka yang menyembah nenek moyang. Janganlah pula menyalahkan Allah, kerana kita tidak bersatu atas nama Allah walaupun Allah memberi amaran, berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah, jangan kamu berpecah belah.

Manusia yang yakin dengan Allah telah terbukti akan kehebatan. Lihatlah tamadun yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tidak ada sedikitpun kekurangan. Persoalannya, kenapa umat Nabi SAW begitu naif? Sukarnya sangatkah kita hendak bersatu atas dasar Islam? Apakah penyatuan Islam itu perlu tunggu wujudnya negara Islam atau perlaksanaan hukum Islam?

Kenapa kita tidak dapat membaca realpolitik Islam di negara kita? Bolehkah diwujudkan negara Islam yang melaksanakan hukum Islam jika penduduk negara ini tidak solid atau hampir seratus peratus Islam. Bagaimanakah kita mahu paksa bukan Islam yang hampir 50 peratus menerima hukum Islam? Tidak kah kita terfikir bahawa orang bukan Islam tidak akan selamanya bersetuju dengan Islam?

Jika begitulah keadaannya, bolehkah PAS menubuh negara Islam jika berkawan dengan mereka yang terang-terang menolak Islam. Tidak boleh juga. Jika begitulah keadaannya, kenapa tidak hari ini kita bersyukur dengan kepimpinan Islam yang sedia ada dan cuba memperkuatkan lagi agar nilai-nilai Islam terpancar walaupun hakikat sebenar hukum Islam tidak dapat dilaksanakan?

Saya fikir hari ini, kita perlu duduk semeja untuk fikirkan bagaimana nilai-nilai Islam boleh dilaksanakan di negara kita daripada bercakap soal hukum hudud yang amat sukar dilaksanakan kerana majoriti-minoriti negara kita tidak besar. Mungkin Brunei, Pakistan dan negara Arab yang lain tidak sukar untuk melaksanakan hukum Islam. Tetapi di Malaysia tidak sedemikian geografi penduduknya.

Adalah lebih baik nilai-nilai Islam dilaksanakan kerana saya yakin nilai-nilai Islam turut dikongsi oleh semua agama. Mana ada satu nilai-nilai baik Islam ditolak oleh agama lain. Apa yang diharamkan oleh Islam turut diharamkan oleh agama lain seperti berzina, berjudi, minum arak, mengumpat dan lain-lain. Nilai-nilai baik lain tidak perlu disebutkan, kerana saya yakin semua akan bersetuju, kecuali bagi mereka yang terlampau ghairah dengan cara hidup barat.

Jika ada agama yang mengatakan apa yang dilarang oleh Islam itu dibolehkan, dan nilai-nilai baik itu ditolak, saya berani mengatakan bahawa hina sungguh agama mereka. Tetapi tidak sedemikian. Apa yang saya belajar semasa menganut agama Buddha dan Kristian satu masa dahulu, sebenarnya terlalu banyak persamaan. Persamaan itulah yang perlu kita cari dan selesaikan untuk dilaksanakan, bukannya membuang masa membincangkan sesuatu yang jauh dari realpolitik dan amat sukar dilaksanakan. Akhirnya, wang ringgit dibazirkan, kerana membincangkan perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana tidak memahami realpolitik dan berpecah belah tidak tentu pasal. Siapakah yang rugi sebenarnya?

Saya bukan menolak negara Islam dan hukum Islam, tetapi selaku pengkaji politik, saya membaca realpolitik Malaysia. Saya sedih dan amat khuatir melihat umat Islam berpecah. Perpecahan yang disengajakan. Kita sudah terlepas Singapura, adakah kita mahu lihat Singapura kedua dan selepas itu, Singapura ketiga?

sumber - ridhuantee


2 ulasan:

pre-love and such berkata...

Marilah kita mulakan kebangkitan semula Islam bermula dari Nusantara Melayu seperti yg pernah diramalkan.....insya allah

ABC berkata...

elok juga merujuk kepada penyatuan UMNO atau BN +PAS di Selangor tidak lama lagi dalam blog SAYANG MALAYSIA DI http://sayangmalaysia-sysalq.blogspot.com