SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan penyebaran risalah mengenai judi atau nombor ekor yang sedang disebarkan secara meluas di sekitar Lembah Klang.
Risalah berkenaan yang diedarkan terus ke rumah dengan menggunakan nama dan alamat penghuni yang didapati daripada pihak tertentu mula menimbulkan kebimbangan ramai yang akan terpengaruh dan terlibat dengan aktiviti tersebut.
Berdasarkan risalah tersebut, si penerima akan ditawarkan menggunakan khidmat ‘master’ dari wat-wat tertentu yang dikatakan mampu mengkaji dan membuat ramalan nombor ekor yang dijamin akan memenangi hadiah lumayan.
Dalam risalah berkenaan turut dimuatkan kisah kejayaan individu tertentu yang kononnya sudah berjaya mengubah nasib dengan bantuan ‘master’ berkenaan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika mengulas mengenai isu ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas sekiranya penyebaran itu dilakukan meraka yang beragama Islam.
Beliau berkata, sekiranya penyebaran itu didapati berunsur menghasut atau meminta orang Islam terpengaruh supaya menyertainya, terdapat enakmennya yang tersendiri dan perlu dirujuk.
“Risalah yang disebarkan ini akan mengajak orang Islam untuk melakukannya seperti minum arak tetapi tindakan dari segi penyebaran risalah berkaitan judi ataupun nombor ekor sukar untuk diambil tindakan dari segi teknikal.
“Walau bagaimanapun sekiranya yang menyebarkan risalah ini adalah orang bukan Islam, maka pihak Jais sukar mengambil tindakan tetapi kalau orang Islam kami akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Khusrin berkata, penyebaran risalah sebegini jika didalangi orang Islam ia memang ditegah agama kerana memudaratkan orang Islam.
“Justeru kita harap orang ramai akan sentiasa berwaspada,” katanya
sumber - sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan