MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

25 Okt 2009

Nik Aziz berkeras mahukan EGM, 3 pemimpin membisu..

KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin kanan Pas 'bermasalah' yang didakwa Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat perlu dibersihkan daripada parti itu, tidak memberikan sebarang reaksi mengenainya, sebaliknya Nik Aziz tetap mahu Muktamar Agung Khas (EGM) parti diadakan demi mengetengahkan kebenaran dakwaannya itu.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali memilih untuk berdiam diri, termasuk mematikan telefon bimbit masing-masing dan tidak menghadiri majlis yang dijadualkan membabitkan mereka.

Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika dihubungi juga memilih ‘enggan diganggu’ ketika ditanya mengenai desakan Menteri Besar Kelantan itu melalui pembantu peribadinya, Zaihan Mohd Daud.


Nik Aziz selepas merasmikan Masjid Nur Aini di Pasir Hor dekat Kota Bharu, memberitahu pemberita semalam, EGM mesti diadakan walaupun ada kalangan pemimpin Pas tidak bersetuju dengan cadangannya itu.

Katanya, beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuat mengenai ketiga-tiga pemimpin berkenaan kerana menganggap ia perkara benar dan harus diketengahkan supaya semua pihak dapat mengetahuinya.

Malah, katanya, beliau tidak memaksa ahli atau pemimpin Pas menyokong beliau berhubung perkara itu dan yakin tindakannya tidak menjejas atau memecahbelahkan parti itu.

“Saya tidak akan tarik balik kenyataan itu... tarik buat apa, benda betul. Dalam perkara ini, Majlis Syura sebagai tempat buat dasar (keputusan), saya hanya pemberi fikiran, orang terima, Alhamdulillah... tidak terima, tak apa.

"Saya tidak kecewa sekiranya cadangan EGM ini ditolak. Mana boleh kecewa. Kita hidup di dunia kalau nak kecewa, selama-lamanya akan kecewa. Tidak setuju tak apa, saya hanya keluarkan pandangan saja,” katanya.

Kelmarin, Nik Aziz dalam blognya http://www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti itu yang bermasalah ketika merujuk kepada Nasharuddin, Mustafa dan Hassan yang didakwa kumpulan prokerajaan perpaduan yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Umno.

Ditanya sama ada tindakan beliau itu didalangi pihak tertentu yang berkepentingan dalam parti, Nik Aziz berkata, tidak perlu orang lain berbuat demikian kerana beliau sudah tua dan tindakannya itu untuk kepentingan parti.

“Saya buat kerana Allah, saya hendak jaga parti supaya ia dihormati sampai bila-bila. Parti ini sudah lama saya baja, siram dan pagar. Pas sebuah parti yang dihormati oleh masyarakat," katanya.

Ditanya sama ada ia tindakan terakhir beliau sebelum melepaskan jawatan sama ada sebagai Menteri Besar atau Mursyidul Am, Nik Aziz berkata, banyak lagi tindakan susulan akan dilakukan selagi hayatnya panjang.

"Selagi umur saya ada, banyak lagi perkara yang belum berakhir dan perkara ini (EGM) akan saya beritahu kepada Presiden parti, Datuk Seri Hadi Awang nanti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata beliau diamanahkan Nik Aziz supaya menyampaikan hasratnya mengenai EGM itu kepada Pas Pusat sama ada hari ini atau esok.

"Saya mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz selama setengah jam sebelum majlis perasmian masjid tadi dan diberi amanat supaya dibawa ke peringkat pusat nanti. Saya tidak dapat memberitahu anda apa yang dibincangkan,” katanya selepas pertemuan itu.

Di SUNGAI PETANI, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menolak cadangan EGM itu kerana menyifatkannya tidak perlu.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, EGM hanya perlu sekiranya pergolakan dalaman Pas sudah sampai ke tahap kritikal.

Di SHAH ALAM, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata isu kerajaan perpaduan yang dibangkitkan Nik Aziz tidak lagi timbul kerana semua ahli dan pemimpin bersetuju pada Muktamar Tahunan Pas Ke-55, Jun lalu supaya tiada perbincangan atau usaha dilakukan ke arah itu.

"Tidak perlu EGM kerana tidak ada pergolakan atau masalah pada peringkat kepemimpinan parti,” katanya.

Bagaimanapun di KOTA BHARU, Exco Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Pas merangkap Timbalan Speaker DUN, Kelantan, Muhammad Zaki Ibrahim mengakui EGM boleh diadakan sekiranya parti itu mempunyai isu penting yang perlu dibangkitkan.

“Saya tidak kisah sama ada Pas mahu adakan EGM atau sebaliknya, tetapi mengikut luahan rasa (Nik Aziz) dalam blog itu berkemungkinan besar masalah memang wujud,” kata Takiyuddin.

Muhammad Zaki berkata, EGM yang disarankan Nik Aziz wajar diadakan jika ada kepemimpinan Pas tidak mengikut rentak yang dipersetujui ahli dan pemimpin lain parti.

sumber - berita harian

Tiada ulasan: