Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menetapkan 13 November ini tarikh akhir sebutan waran tangkap ke atas pengendali laman web, Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin yang didakwa memfitnah isteri Perdana Menteri dan dua lagi.
Tarikh tersebut juga ditetapkan sebagai sebutan kali terakhir untuk pihak pendakwaan menyempurnakan notis tunjuk sebab ke atas isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah selaku penjamin suaminya.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas pihak pendakwaan membantah permohonan peguam bela, J. Chandra yang mewakili Raja Petra supaya anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor.
Semalam merupakan sebutan kali kedua waran tangkap dan notis tunjuk sebab selepas dikeluarkan pada 26 Mei lalu.
Selain Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, satu lagi waran tangkap dan notis tunjuk sebab dikeluarkan ke atas Raja Petra, 59, dan isteri oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob selepas tertuduh tidak hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan di laman web tersebut.
Terdahulu, prosiding semalam bertukar menjadi 'mini perbicaraan' apabila pengawai penyiasat kes berkenaan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Aziz Zakaria diperintah memberi penjelasan berhubung tindakan yang diambil oleh pihak polis untuk menjejaki Raja Petra.
Penjelasan itu diberikan dari kandang saksi secara bersumpah.
Menurut Aziz, usaha mengesan Raja Petra dijalankan secara berterusan malah seorang pegawai telah dikhaskan untuk memantau kediaman dan tempat-tempat yang biasa dikunjungi oleh pengendali laman web itu.
Usaha itu bagaimanapun masih belum berjaya mengesan lokasi Raja Petra dan isteri.
''Jadi, pihak polis gagal mengesan tertuduh?'' tanya hakim.
''Bukan gagal, belum berjaya mengesan tertuduh,'' jelas Aziz.
Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam mewakili Raja Petra, Amarjeet Singh mengenai kesahihan sama ada tertuduh masih berada dalam negara, Aziz tidak dapat memberikan pengesahan tersebut.
Pihak pembelaan mengemukakan permohonan supaya Raja Petra dilepas dan dibebaskan dengan alasan pihak pendakwaan hanya memberikan alasan yang lemah dan remeh tanpa sebarang penjelasan terperinci mengenai usaha yang dilakukan untuk menjejaki anak guamnya.
Chandra menyatakan, pihak pendakwaan seharusnya sudah dapat menyempurnakan waran tangkap dan notis tersebut kerana Raja Petra didakwa masih lagi berada di negara ini.
Raja Petra didakwa pada 17 Julai tahun lalu atas tuduhan membuat tohmahan dalam akuan bersumpah yang diikrarkan di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun 2008.
Selain Rosmah, Raja Petra turut didakwa memfitnah pengawal pengiring isteri Perdana Menteri, Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Leftenan Kolonel Norhayati Hassan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
sumber - malaysia instict
Tiada ulasan:
Catat Ulasan