MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

30 Okt 2009

Di sebalik tabir mesyuarat PAS : Dr Hassan jadi sasaran

Jimadie Shah Othman
Okt 30, 09, 12:25pm

Tindakan menyeret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin belum dapat meredakan konflik dalaman apabila komen-komen negatif berhubung perjalanan mesyuarat khas parti itu kelmarin mula tersebar.

Beberapa blog yang mengamat perkembangan PAS menggambarkan seolah-olah terdapat sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat panjang sehingga jam 1 pagi di kalangan anggota-anggota jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negerinya.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata mesyuarat khas PAS itu memberikan fokus kepada exco kerajaan Selangor, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali.

Katanya, ada cadangan meminta Dr Hasan dipecat daripada mengetuai PAS negeri dan juga exco hal-ehwal Islam kerajaan negeri.

"Alasannya, kerana terlibat untuk mengadakan pakatan dengan Umno.

"Bagaimanapun (presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dikatakan telah mempertahankan Dr Hassan dengan meminta agar tuduhan itu disiasat," tulisnya di blog peribadi Merah Tinta sejurus selepas tamat mesyuarat itu.

"Alasan Abdul Hadi, kalau ada tuduhan, penyiasatan perlu dilakukan.

"Sehubungan itu jawatankuasa disiplin PAS yang diketuai (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjalankan siasatan ke atas Dr Hassan bersama ahli jawatankuasanya."

azlanSumber-sumber dalaman PAS, yang hadir dalam pertemuan itu, memberitahu Malaysiakini, mesyuarat tersebut sebenarnya memutuskan hanya Dr Hassan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin, bukannya seluruh barisan kepemimpinan PAS Selangor.

"(Keputusannya) ada lain sikit (daripada kenyataan Abdul Hadi). Dr Hassan yang dihadapkan ke jawatankuasa dispilin, bukan PAS Selangor," kata satu sumber.

Sementara satu lagi sumber berkata, walaupun presiden menyebut PAS Selangor akan disiasat, ia ditujukan kepada Dr Hassan, seperti diputuskan dalam mesyuarat.

"Bila (beliau) kata PAS Selangor, maksudnya Dr Hassanlah, sebab dia pesuruhjayanya," jelas sumber.

Sumber sama juga mengesahkan terdapat cadangan supaya Dr Hassan dipecat daripada mengetuai PAS Selangor, tetapi menafikan Abdul Hadi mempertahankannya.

Tiga lagi pemimpin PAS ketika dihubungi enggan mendedahkan butiran mesyuarat panjang tersebut.

Sementara blog Malaysian Waves pula mendakwa sebanyak 75 peratus ahli mesyuarat pada malam itu mahukan Dr Hassan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor.

"Namun, permintaan majoriti ahli jawatankuasa pusat PAS ditolak begitu sahaja dan dibuat pengumuman bahawa keseluruhan PAS Selangor akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin," tulis Tulang Besi, penulis blog yang sering mendedahkan konflik dalaman parti.

"Keputusan yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden malam tadi bukan keputusan yang dipersetujui oleh para ahli jawatankuasa pusat PAS.

"75 peratus daripada keseluruhan ahli jawatankuasa yang hadir bercakap dan hanya Cikgu Pa (setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali) serta Datuk Abu Bakar Chik sahaja yang menyokong Dr Hassan.

"Yang lebih menyedihkan apabila Tok Guru (mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang membentangkan tulisan beliau dalam blog beliau jelas tidak mahu berganjak daripada apa yang dituliskan oleh beliau.

"Yakni, jelas beliau mahu ketiga-tiga yang dinamakan dalam blog beliau dibuang."

azlanSelain Dr Hassan dan Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga disebut di Blog Tok Guru yang dianggap antara "beberapa kerat pemimpin bermasalah."

Kesemua sumber enggan mendedahkan jumlah sokongan terhadap pemecatan Dr Hassan sebagai pesuruhjaya Selangor.

Berhubung dakwaan Nik Aziz berkeras mahu PAS menggugurkan tiga pemimpin kontroversinya itu, Malaysiakini difahamkan perkara itu "tidak benar".

"Kita bincang banyak pasal EGM (muktamar khas). Nama Dr Hassan itu muncul sebab berkait keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang ditulis (pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) Dr Aziz Bari.

"Tetapi perkara ini agenda nombor tiga, nombor empat," kata sumber.

Kesemua lima pemimpin PAS - daripada kedua-dua pihak, sama ada dianggap pro-kerajaan perpaduan dan juga "kumpulan Erdogan" - yang dihubungi enggan nama mereka didedahkan.

Sementara itu, sumber-sumber lain memberitahu, terdapat ahli jawatankuasa mesyuarat tersebut membawa surat yang mempertikaikan tindak-tanduk Dr Hassan di Selangor – yang didakwa diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut diserahkan kepada mesyuarat itu, rakaman audio perbualan dalam pertemuan sekumpulan penulis blog – sebahagiannya didakwa dekat dengan Umno – bersama Dr Hassan dan Nasharuddin, tambah sumber.

Bagaimanapun, seorang pemimpin PAS yang hadir dalam mesyuarat itu menafikannya kewujudan surat dan rakaman suara itu.

"Kita dalam PAS tidak sampai buat tindakan macam itu sekali," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, lembaga disiplin PAS akan bertemu buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi, kata Tuan Ibrahim kepada media rasmi parti Harakahdaily.net hari ini.

Tidak ada sidang media atau kenyataan berkaitan perkara tersebut sehinggalah keputusan diserahkan kepada jawatankuasa pusat, tambahnya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," Tuan Ibrahim dipetik berkata.

Lembaga ini dilaporkan mempunyai lima anggota termasuk beliau. yang terdiri daripada peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

Menurutnya lagi, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau, termasuk daripada presiden dan setiausaha agung.

Lembaga disiplin akan meneliti segala dokumen itu sama ada ia bertentangan dengan disiplin atau ia hanya ijtihad peribadi individu.

sumber - Malaysiakini


Tiada ulasan: