KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Cubaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi 'jaguh' dengan isu penyalahgunaan kuasa di jabatan dan agensi kerajaan, dipatahkan oleh seorang penyokong kerajaan yang secara tegas mengingatkan beliau bahawa perkara itu turut diperjuangkan oleh anggota Parlimen Barisan Nasional (BN).
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) ketika mencelah perbahasan Anwar berkata bukan hanya pembangkang yang mahu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melakukan penyalahgunaan kuasa seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, tetapi gesaan sama turut dibuat anggota Parlimen BN.
Malah, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memberi jaminan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah seperti yang dilaporkan itu.
"Adalah tidak adil untuk menyalahkan Perdana Menteri yang baru saja enam bulan mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.
"Bukan saja Pakatan Rakyat yang mahu tindakan diambil terhadap Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga Perdana Menteri," katanya ketika mencelah ucapan Anwar yang sedang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Terdahulu, Anwar mahu kerajaan segera bertindak terhadap penyelewengan yang dilaporkan dalam laporan berkenaan dan tidak hanya berjanji untuk bertindak tetapi tidak melakukannya.
sumber - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan