Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Rombakan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat negeri yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan Naib Presidennya, Azmin Ali mendapat apa yang beliau mahu.
Bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakarupan berkata, walaupun tempat sebagai Pengerusi PKR Sabah digantikan orang lain, namun Azmin tetap dilantik menerajui Wilayah Persekutuan.
‘‘Dari Sabah ke Wilayah Persekutuan. Apa yang pasti, seperti biasa, Azmin akan mendapat apa yang dia mahukan.
‘‘Siapa pun yang harus ‘berkorban’, ia bukan satu masalah, asalkan ia memberi manfaat kepada kedudukan Azmin,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pengumuman rombakan kepimpinan PKR negeri kelmarin, lapan negeri menerima ketua yang baru termasuk Sabah yang sebelum ini diterajui Azmin.
Bagaimanapun, Azmin dilantik pula sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menggantikan seorang lagi pemimpin utama parti itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Nallakarupan, perkembangan terbaru dalam PKR itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana sesiapa yang pernah berada dalam lingkungan Anwar pastinya tahu tentang kedudukan Azmin kepada Penasihat PKR itu.
Katanya, ini termasuk oleh dirinya sendiri yang pernah berkawan baik dengan Anwar mendapati Azmin pasti dalam apa hal sekalipun mendapat perhatian istimewa Anwar.
‘‘Perasaan ini bukan disedari saya seorang tetapi semua yang pernah berada dalam lingkungan Anwar khususnya bekas setiausaha politik beliau, kami memang perhatikan.
‘‘Malah ini pernah disebut dalam akuan berkanun Datuk Abdul Murad Khalid (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) bagaimana isteri Azmin turut menikmati kelebihan oleh Anwar yang jadi Menteri Kewangan ketika itu.
‘‘Malah soal itu pernah menjadi isu di kalangan orang politik semasa Anwar dalam kerajaan lagi dan ia amat sukar sekali untuk pegawai beliau jelaskan tentang kewujudan perhatian istimewa ini,” jelasnya.
Nallakarupan turut percaya yang hakikat ini sebenarnya disedari isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail namun atas keinginan tertentu maka ia disenyapkan.
‘‘Banyak gurauan dibuat tentang hal ini di kalangan orang yang berada dalam lingkungan Anwar. Kita kata semua ini pasal ‘itu orang lah’. Tapi beliau pejam saja sebelah mata, kadangkala dua belah mata, terus sokong Anwar.
‘‘Macam kes di Sabah lah. Azizah pergi juga ke Sabah untuk apa yang dikatakan menyelesaikan masalah. Akhirnya semua untuk agenda peribadi,” ujarnya.
sumber - utusan
Anwar diminta perjelas 'rahsia'
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil segera menjelaskan 'rahsianya' seperti diperkatakan beberapa individu kebelakangan ini.
Kata Mohd. Puad, penjelasan itu perlu kerana rakyat berhak mengetahuinya memandangkan beliau merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
"Semua orang kini tertanya-tanya mengenai Anwar, jadi 'rahsia' beliau perlu diketahui umum sama ada dari segi moral, kekayaan, peribadi ataupun rahsia perjalanan politiknya.
"Individu seperti Datuk Seri Hadi Awang (Presiden Pas), Ezam Mohd. Noor (Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan), Datuk S. Nallakarupan (bekas sahabat baik Anwar) atau Anwar sendiri harus segera menjelaskannya," katanya di sini.
Baru-baru ini, Ezam dan S. Nallakarupan mendakwa mereka mengetahui 'rahsia' Anwar tetapi masih belum bersedia mengemukakannya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Hadi dan beberapa pemimpin Pas turut mengetahui rahsia Anwar itu tetapi tidak mendedahkannya demi kepentingan politik pembangkang.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, krisis dalaman Pas semakin ketara kini apabila perpecahan itu mula bersifat kenegerian.
sumber - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan