Oleh Malaysia Aktif
Kata pujangga, anda boleh kelentong sekali sekala, tetapi tidak boleh sepanjang masa.
Tambah pujangga itu lagi, anda boleh kelentong beberapa orang, tetapi tidak semua orang.
Anda tentu masih ingat ilustrasi di atas jika anda sering melayari dunia blog. Asalnya ia disiarkan oleh majalah Economist sebagai hiasan satu rencana berjudul Malaysia’s chameleon: The rise, fall and rise of Anwar Ibrahim, South-East Asia’s most extraordinary politician.
Dalam Bahasa Melayu judul tersebut bolehlah diterjemahkan sebagai Sesumpah Malaysia: Kebangkitan, kejatuhan dan kebangkitan Anwar Ibrahim, politikus paling luar biasa di Asia Tenggara.
Selama ini Anwar sentiasa mendapat bantuan dan sokongan, malah pujaan media antarabangsa Barat. Tentulah rencana Economist bertarikh 30 Julai 2009 itu juga amat luar biasa.
Tetapi gambaran Economist terhadap Anwar sebagai seekor sesumpah bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi mereka yang telah lama meneropong gerak-geri pemimpin de facto PKR itu.
Ia juga adalah gambaran yang amat tidak disenangi Anwar. Kenapa beliau tidak menyaman malu Economist sebagaimana yang beliau lakukan terhadap banyak pihak termasuk Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Jawapannya amat jelas. Anwar takut untuk menyinggung media Barat yang sekian lama telah memberikan sokongan kuat kepadanya. Jika beliau menyaman Economist, sudah tentu majalah itu akan membuat serangan susulan terhadapnya. Yang lebih buruk, ia akan menjolok semangat setiakawan media Barat untuk bersimpati dengan Economist dan mulai melihat Anwar sebagai seorang yang tidak mengenang budi.
Lagipun apa yang Economist huraikan adalah berasaskan fakta.
Juga menarik betapa rencana tersebut diakhiri dengan ramalan berikut:
``The same blogosphere that helped his meteoric rise may one day pay more attention to his chameleon qualities. Malaysians would then come to ask more closely: who and what exactly does Anwar stand for?''
(Dunia blog yang pernah membantu kebangkitannya secara mendadak mungkin suatu hari nanti akan memberikan lebih perhatian kepada kualiti sesumpahnya. Ketika itu rakyat Malaysia akan tampil bertanya: siapa dan apa yang sebenarnya Anwar wakili?)
Jawapan kepada pertanyaan tersebut sebenarnya sudah diketahui oleh ramai orang, tetapi Anwar masih mendapat sokongan kerana beliau memang pakar menggabui pandangan. Jika ramai yang tidak mempercayainya, masih ramai juga yang terpedaya oleh cakap-cakap dan lagaknya.
Dan sebilangan yang mendampinginya adalah orang yang sentiasa mencurigainya. Mereka ini kebanyakannya adalah orang-orang Pas dan DAP. Tetapi disebabkan Anwar pandai memanipulasi mereka dengan menyatakan bahawa musuh sebenar rakyat dan negara ialah ``UMNO dan BN’’, buat sementara mereka pun mempercayainya. Keputusan pilihan raya umum 2008 mengukuh kepercayaan mereka.
Percayalah bahawa kepercayaan mereka itu juga tidak akan kekal lama. Akhirnya mereka akan menyedari bahawa Anwar adalah pelakon sandiwara yang sangat hebat. Mereka hanyalah alat kepada Anwar yang gila kuasa, sebagaimana beliau pernah memperalatkan pergerakan pelajar, ABIM dan UMNO dulu.
Dan benarlah kata penulis rencana Economist itu bahawa dunia blog yang pernah mengagung-agungkan Anwar, kini semakin hilang kepercayaan terhadapnya.
Semakin banyak blog yang muncul untuk mempertikai tindak-tanduk dan kenyataan politiknya, malah tidak kurang banyaknya yang membongkar kisah-kisah peribadinya.
Mudah sahaja untuk mencari blog-blog ini. Dalam ruangan cari (search) taip sahaja ``Anwar’’ atau rangkumkan namanya dengan nama sesiapa sahaja yang rapat dengannya atau yang dikaitkan dengan kisah-kisah peribadinya, anda akan menemui senarai panjang tulisan yang sedang menyerang hebat seekor seumpah.
Ada yang mungkin bersifat fitnah, tetapi ada juga yang secara terus terang mencabar Anwar supaya menyaman malu mereka. Antara mereka ialah orang-orang yang pernah menjadi teman rapat dan menyimpan banyak rahsianya. Tentulah Anwar tidak berani menyaman mereka kerana kes liwat Saiful yang dihadapinya sudah cukup untuk menambah tua usianya.
Segalanya menunjukkan bahawa sesumpah boleh menukar warna sesuka hatinya, tetapi ia tetap tidak boleh menyembunyikan warna sebenarnya. Lambat-laun semua orang tahu.
Kata pujangga, kudis boleh disembunyikan, tetapi pekung tidak boleh.
Mungkin Economist kelak boleh menyiarkan satu lagi rencana yang diubah sedikit tajuknya. Tajuk baru ialah Malaysia's chameleon: The rise, fall, rise and fall of Anwar Ibrahim.
sumber - malaysia aktif
Tiada ulasan:
Catat Ulasan