Oleh Hambali Abd. Latif
Apa orang PAS, DAP atau PKR nak kata katalah. Apa orang besar atau berpangkat mahu menganggap bantahan yang dibuat – termasuk dalam isu kepala lembu - katalah.
Hakikatnya berkat bantahan dan kesungguhan rakyat Selangor menentang cadangan Kerajaan Selangor memindahkan kuil Hindu di Seksyen 19, Shah Alam ke Seksyen 23, kini mencapai kejayaan untuk sementara.
Semalam Kerajaan Negeri memutuskan untuk memembekukan rancangan memindahkan kuil berkenaan, ekoran bantahan keras penduduk Seksyen 23 - tempat kuil itu hendak dipindahkan - dalam sesi dialog pada sebelah pagi.
Bercakap kepada pemberita di kediaman rasminya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Khalid berkata rancangan pemindahan kuil yang mencetuskan kontroversi itu, dibekukan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail turut hadir.
Khalid berkata, selepas kerajaan negeri bertemu PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), maka kita akan kemukakan cadangan mengenai pemindahan kuil tersebut," katanya.
Ditanya sama ada pemindahan kuil itu ke Seksyen 23 dibatalkan, Khalid mengulangi bahawa "ia dibekukan".
Khalid Samad yang masih mahu menegakkan benang basah menyifatkan insiden pagi tadi berpunca daripada salah faham semata-mata ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat.
Yang peliknya pada sesi dialog itu kerajaan negeri membenarkan petugas Unit Amal PAS memasuki dewan di MBSA, tempat dialog itu diadakan. Ini menyebabkan kemarahan penduduk.
Menteri Besar mengakui ia bertujuan membantu pasukan penguatkuasa mengawal keadaan.
Dialog hampir dua jam itu tidak berjalan lancar apabila penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan. Hanya kedengaran bunyi bising dan ungkapan tidak puas hati seperti "tipu", "kamu mahu keputusan" dan "ya atau tidak?".
Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa.
Mereka juga enggan mendengar penjelasan lain dan menuntut Khalid Ibrahim membuat keputusan segera sama ada untuk mengekalkan cadangan itu atau memindahkannya ke tempat lain.
Majlis dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen yang kecoh itu dimulakan dengan perang mulut antara lima penduduk yang melepaskan kemarahan mereka kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Apabila majlis dibuka kepada soalan, rata-rata penduduk Melayu mendominasi sesi itu bagi melepaskan geram kepada kerajaan pakatan pembangkang Selangor yang didakwanya sebelum ini lambat memberikan respons untuk berbincang.
Ketegangan itu dilihat sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk setempat beragama Hindu yang tampil memberikan cadangannya, hampir dibaling dengan kerusi.
Sejurus kemudian, berlaku kekecohan kedua apabila beberapa penduduk bertindak menghalau keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan tersebut kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.
Yang pasti dialog pagi semalam sudah menjelaskan betapa rakyat Selangor yang beragama Islam, khususnya yang berada di Shah Alam, tidak lagi boleh berharap kepada Ahli Parlimen dan ADUN mereka – kerana mereka pun sama.
Kemarahan juga menggambarkan betapa dua Khalid – Khalid Ibrahim dan Khalid Samad akan berdepan dengan banyak lagi bantahan kerana kejadian pagi semalam bolehlah dianggap permulaan.
sumber - hambali1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan