Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.
Mursyidul Am PAS itu berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.
Banyak perubahan dari segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita di majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.
Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai menteri besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.
Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan menteri besar itu supaya ahli parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu. Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.
Nik Abdul Aziz berkata faktor tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik.
"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.
sumber - malaysiakini
"Mursyidul Am Pas perlu orang baru" - Ibrahim Ali
PASIR MAS - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan dan memberi laluan kepada orang baru menerajui parti itu.
Menurutnya, dengan keadaan kesihatan dan usia Menteri Besar Kelantan itu, sepatutnya pemimpin Pas itu yang meletak jawatan, bukan beliau.
“Dia yang patut letak jawatan, dia dah lama jadi Menteri Besar, dia dah tua, sakit...dia yang kena letak jawatan, dan patut beri laluan pada orang baru," katanya ketika pada majlis rumah terbuka di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini agar Ibrahim meletak jawatan susulan tindakan beliau yang dilihat tidak sehaluan dengan parti itu.
Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO bahagian Pasir Mas juga menyatakan telah banyak berkorban untuk rakyat dengan menggunakan peruntukan kewangan sendiri bagi membantu rakyat di kawasannya.
“Saya jadi wakil rakyat, saya tak guna lima sen pun duit rakyat. Saya guna semua duit gaji saya untuk rakyat, “ katanya.
Selain itu, beliau juga menolak dakwaan Nik Abdul Aziz yang mengatakan kemenangan yang dicapai di Parlimen Pasir Mas disebabkan laluan yang diberikan Pas kepada beliau.
“Kalau dia kata saya menang sebab Pas, sebenarnya orang Pas menang sebab saya. Pada tahun 2004 dia hanya ada dua kerusi, dia saja yang betul, syurga neraka hak dia, “ katanya.
Sementara itu, difahamkan rumah terbuka itu menyediakan kira-kira 300 kilogram daging dengan 10 guni beras dan tiga ekor rusa dihadiri hampir 7,000 tetamu dari Pasir Mas dan kawasan sekitar.
sumber - sinar
Nik Aziz gesa Ibrahim letak jawatan
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini bahawa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali perlu meletakkan jawatannya susulan dengan tindakan yang dilihat tidak sehaluan dengan parti tersebut.
“Saya minta dia keluar...yang melantik dia (bertanding di Pasir Mas) saya dengan bendera Pas. Bila (Pas) kawasan Pasir Mas minta dia undur, dia kena berundur. Duit yang dia makan tu tidak betul, sembahyang Tuhan tak terima,” katanya.
Sebelum ini, menjawab cabaran Nik Aziz, Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Pasir Mas menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Mas kecuali jika diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.
Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua UMNO Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam UMNO seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.
Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat
Ketika ditemui di kediamannya semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata, dalam keadaan kini, tiada guna Ibrahim mengekalkan jawatan itu jika masyarakat memandang lekeh kepada beliau.
“Lebih baik dia letak jawatan... perut kenyang tapi masyarakat pandang lekeh. Orang Pas yang undi dia dan memenangkan dia, hanya sedikit orang UMNO mengundi dia,” katanya.
Selain itu katanya, beliau tidak peduli sekiranya Ibrahim kembali bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon bebas dan Pas akan tetap meletakkan calon dalam pilihan raya tersebut.
Terdahulu, Nik Aziz berkata, beliau tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.
sumber - sinar
2 ulasan:
Kalau dedua sebok nak suruh org letak jawatan ape kata
Nik aziz letak jawatan, ibrahim pun letak jawatan.
baru lah tau sape yg gile koser sebenarnyee..
sanggup? tak sanggup? sanggup? tak sanggup? kekeke
Cara pemerinahan sahabat2 Rasulullah juga perlu dicontohi. Antara ciri pemimpin Islam ialah baik kesihatannya, tidak tua, dan baik pegangan Islamnya.
tak sekolah ke..
______________________
View Profile: Rantong™
Catat Ulasan