MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

24 Sep 2009

SELCAT : Dr Hassan Ali dikritik pemimpin Pakatan Rakyat

Oleh G. MANIMARAN dan WINNIE YEOH

PETALING JAYA: Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berhadapan dengan 'kritikan' pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat termasuk partinya sendiri ekoran kenyataan beliau mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menyiasat dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Beberapa pemimpin kanan yang dihubungi menyifatkan, selaku anggota eksekutif yang turut terlibat dalam penubuhan Selcat tahun lalu, Hasan yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Pesuruhjaya PAS negeri, tidak sepatutnya mempertikaikan badan itu secara terbuka dengan membelakangkan kepentingan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Isu yang dibangkitkan ini sepatutnya tidak berbangkit... Selcat ini berkaitan dengan legislatif, ada unsur pemisahan kuasa antara bidang eksekutif dan legislatif... sepatutnya tidak berbangkit," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi mStar Online.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, sebagai anggota pentadbiran dalam kerajaan negeri sepatutnya ada satu bentuk persefahaman tentang soal pemisahan kuasa bidang antara eksekutif dan legislatif.

"Kita sepatutnya sudah ada satu persefahaman apabila berada dalam parti ataupun kerajaan negeri. Mereka kena faham tentang fungsi dan skop tentang konsep pemisahan kuasa.

"Saya percaya jika mereka betul-betul faham, maka tidak akan timbul masalah seperti ini... saya tidak tahu sama ada beliau faham aspek ini ataupun tidak.

"Apa pun isu ini tidak seharusnya dibangkitkan secara publik. Dengan bertindak sedemikian, ini sudah macam menafikan hak yang pada legislatif itu sendiri," kata beliau lagi.

Selain itu menurut beliau, dalam dunia sebenar tiada pihak yang disoal siasat oleh mana-mana jawatankuasa pernah atau akan gembira dengan cara dan prosedur siasatan dijalankan.

"Mereka yang disoal siasat mahukan layanan kelas satu," kata beliau sambil berseloroh.

Sehubungan itu Mahfuz menambah, Hasan sebagai anggota eksekutif seharusnya menasihatkan mana-mana pegawai kanan kerajaan, dalam kes terbaru Selcat yang melibatkan pegawai-pegawai daerah yang mengadu tentang perjalanan jawatankuasa itu, supaya mengambil tindakan yang mereka fikirkan wajar jika tidak berpuas hati dengan Selcat.

"Macam dalam kes Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh (dari DAP) yang digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama setahun.

"Keputusan disyorkan oleh jawatankuasa Parlimen dan apabila beliau tidak berpuas hati, beliau mengambil tindakan mahkamah (yang sedang didengar)," katanya.

Oleh itu, ujar beliau, Hasan perlu memahami bahawa Selcat atau apa jua jawatankuasa sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, anggotanya adalah terdiri daripada wakil rakyat, bukannya orang luar.

"Jadi bagaimana anggota Selcat boleh dianggotai oleh orang luar, macam bekas hakim? Jika pun Hasan tidak bersetuju, beliau seharusnya membawa isu ini kepada mesyuarat Exco untuk dibincangkan secara lanjut.

"Dan, kemudian membawa usul meminda Aturan Mesyuarat bagi mengubah keanggotaan Dewan dalam jawatankuasa... bukannya membuat kenyataan seumpama itu walaupun beliau merasakan tidak berpuas hati dengan Selcat," kata Mahfuz yang menafikan kenyataan Hasan itu menunjukkan Pakatan Rakyat Selangor berhadapan dengan krisis dan berpecah.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga tidak bersetuju dengan syor Hasan agar Selcat dirombak.

Hasan Ali syorkan rundingan 3 penjuru cari penyelesaian

Pendirian Mahfuz itu turut dilahirkan oleh salah seorang anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu, Hasan seharusnya memainkan peranan sebagai anggota dalam "satu pasukan kerajaan negeri Selangor."

"Beliau harus mencerminkan semangat berpasukan walaupun kita tidak gembira dengan keputusan-keputusan yang telah dibuat... bukannya membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan, tidak sewajarnya membuat kenyataan seumpama itu di khalayak umum," kata beliau.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Selcat sebagai jawatankuasa yang baru kemungkinan ada kekurangan-kekurangan tertentu yang boleh diperbaiki dalam jangka panjang.

Khalid menambah, Biro Politik PAS yang mengadakan mesyuarat baru-baru ini juga telah meminta setiap pemimpin parti yang menganggotai pentadbiran negeri agar memperlihatkan pendirian bersatu dan secara berpasukan apabila ia melibatkan soal kerajaan negeri.

Kini, Pakatan Rakyat memerintah negeri Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor.

Selain itu ujar Khalid, pegawai-pegawai kanan juga perlu menerima tujuan penubuhan Selcat di samping memperlihatkan rasa tanggungjawab mereka terhadap kepentingan rakyat.

Jelasnya, walaupun sebelum ini mereka bertindak mengeluarkan dana dengan menerima arahan daripada kerajaan negeri terdahulu (sebelum 8 Mac 2008), tetapi apabila ia melibatkan wang awam, pegawai-pegawai kanan terbabit perlu menunjukkan sikap tanggungjawab masing-masing.

DAP JUGA PERSOAL HASAN

Di George Town, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mempersoalkan kenyataan Hasan sambil berkata, adalah sesuatu yang luar biasa bagi Pesuruhjaya PAS Selangor itu mengesyorkan agar Selcat dirombak sedangkan beliau turut menyokong penubuhannya tahun lalu.

"Jika undang-undang ini (penubuhan Selcat) tidak betul, mengapa beliau menyokong untuk ia diluluskan? Beliau seharusnya sedar tentang ruang lingkup kuasa dan bentuk tugas beliau.

"Nampaknya beliau tidak memahami situasi itu," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Lim juga berpendapat, Hasan seharusnya membawa pendirian mempertikaikan perjalanan Selcat menggunakan saluran dalaman, bukannya secara terbuka.

Perjalanan Selcat menjadi isu sejak minggu lalu apabila ia dikritik pegawai-pegawai daerah yang dipanggil memberi keterangan mendakwa dilayan seperti penjenayah dan perlu menjawab soalan mengikut kehendak jawatankuasa tersebut.

Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin menyifatkan Selcat tidak mencerminkan proses siasatan sebenar kerana lebih menjurus kepada serangan peribadi, selain menjejaskan imej serta kredibiliti dirinya sebagai penjawat awam sejak 30 tahun lalu.

Katanya, siasatan diketuai Teng dilakukan dalam suasana tegang dan tidak berhemah.

Selcat akan mengadakan pertemuan susulan selama lima hari bermula 21 Oktober ini.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Teng adalah Pengerusi Selcat.

Semalam bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Muhamad Khir Toyo juga berpendapat Selcat wajar dirombak keanggotaannya sambil memberitahu mStar Online bahawa kontroversi Selcat menggambarkan wujudnya rebutan kuasa antara Teng dan Menteri Besar Selangor.

sumber - mstar


Isu Selcat: Hasan Ali syorkan rundingan 3 penjuru cari penyelesaian


Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang berpendirian mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat), mahu satu pertemuan tiga penjuru - membabitkan Menteri Besar, Exco dan anggota Selcat diadakan bagi menyelesaikan isu menyelubungi badan itu.

"Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar segera diadakan pertemuan antara Menteri Besar dan ahli-ahli Exco dengan Selcat bagi membincangkan segala pandangan, hujah dan dakwaan terhadap para pegawai kanan kerajaan negeri yang telah dipanggil Selcat.

"Selepas itu perlu disusuli dengan rundingan tiga penjuru antara Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan ahli-ahli Exco serta Selcat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terbabit demi menjernihkan suasana," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi.

Dalam kenyataan dua halaman, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, beliau tidak pernah mencadangkan agar keanggotaan Selcat dirombak dan dilantik daripada kalangan bekas-bekas hakim, penjawat awam dan individu yang berpengaruh sebagaimana yang dilaporkan.

"Sebaliknya apa yang saya cadangkan adalah supaya keanggotaannya dipilih daripada kalangan ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang berwibawa, dan memiliki kepakaran dan kebijaksanaan setaraf dengan keanggotaan Surhanjaya Diraja demi memilhara kehormatan institusi Selcat itu sendiri," katanya.

Pada Ahad lalu, Hasan yang ditemui wartawan mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Pemimpin PAS, DAP terkilan pendirian Hasan Ali mempertikai Selcat

Hasan memberitahu, daripada hanya dianggotai oleh ahli-ahli politik memberitahu, keanggotaan Selcat boleh terdiri daripada bekas hakim, pegawai kanan kerajaan dan tokoh-tokoh masyarakat terkemuka.

Hasan berkata: "Kami semua menyokong penubuhan Selcat. Tetapi yang saya agak, agak sedikit kecewa ialah dengan cara pengendalian Selcat itu."

"Anda tahu beberapa Pegawai Daerah sama ada yang dipanggil untuk disoal siasat atau diambil keterangan dan sebagainya, tetapi sebagaimana dilaporkan dalam pertemuan kita dengan Yang Dipertua-Yang Dipertua dan termasuk seluruh kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri Selangor ini, mereka melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

"Mereka merasakan mereka diaibkan, mereka merasakan imej mereka terjejas, mereka merasakan mereka tidak dilayan seperti pegawai kanan kerajaan, sebaliknya dilayan seperti budak sekolah dan dengan asakan soalan-soalan.

"Sebab itu mereka merasakan tiada ruang untuk memberikan jawapan-jawapan yang adil dan ada pegawai-pegawai daerah sendiri tidak tahu bentuk jawapan yang dikehendaki oleh Selcat," kata Hasan lagi.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim merupakan Pengerusinya.

Minggu lalu, Khalid telah mempengerusikan satu mesyuarat membabitkan Exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan berhubung isu Selcat.

Khalid yang turut ditemui Ahad lalu berkata, satu mesyuarat membabitkan Teng akan diadakan bagi menyelesaikan isu Selcat.

KAEDAH SELCAT MENGHINA

Hasan menambah, beliau menyokong penuh obejektif dan falsafah penubuhan Selcat.

"Walau bagaimanapun ekoran siasatan awam yang dilakukan baru-baru ini khasnya yang melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri ternyata Selcat perlu mengkaji semula prosedur serta teknik penyiasatan yang dilakukan," katanya.

Tambah beliau, sesi penyiasatan yang menggunakan kaedah menghina dan menjatuhkan maruah di samping lahirnya unsur tekanan sehingga mencetuskan ketegangan jelas tidak mencerminkan objektif dan falsafah penubuhan Selcat.

"Akibat kaedah ini maruah dan harga diri para pegawai kanan kerajaan telah teruk tercalar dan moral mereka menurun," katanya.

Oleh itu, kata beliau, sepatutnya siasatan Selcat yang berkisar sekitar perbelanjaan peruntukkan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan dahulu tidak sekadar memanggil pegawai-pegawai daerah untuk memberikan keterangan tetapi juga memanggil ADUN-ADUN yang berkenaan.

Dengan cara ini, jelas Hasan, Selcat akan memperoleh maklumat yang seimbang tanpa menyalahkan satu pihak semata-mata.

"Sesungguhnya pentadbiran negeri tidak mampu berfungsi dengan baik seandainya tidak wujud suasana harmoni antara ketiga-tiga pihak ini.

"Sesuai dengan semangat Hari Raya Aidilfitri saya merasakan sangat molek diadakan satu majlis ramah mesra dalam susana yang informal untuk membolehkan ketiga-tiga pihak ini berinteraksi dan berkomunikasi dalam suasana kesetiakawanan dan mahabah," katanya.

sumber - mstar


Tiada ulasan: