Oleh Adian Husaini
assalaamu’alaikum wr. wb.
Beberapa orang yang akan berdialog dengan kaum liberal, saya cadangkan agar jangan sesekali menggunakan dalil ayat-ayat Al-Qur’an. Sebab, ramai kaum liberal yang sudah tidak mempercayai lagi kepada kesucian Al-Qur’an, jadi tidak ada gunanya dalil Al-Qur’an kepada mereka. Memang ada di kalangan mereka yang masih percaya Al-Qur’an sebagai wahyu Allah, tetapi ramai di kalangannya mempunyai pandangan dan penafsiran berbeza.
Jika tafsiran mereka kita kritik, mereka pun tanpa segan silu berkata, ”Itu kan tafsiran anda! Tafsiran saya tidak begitu!”
Mereka sudah berpandangan bahawa hanya Tuhan saja yang mengetahui maksud sebenarnya. Manusia boleh menafsirkan Al-Qur’an semahunya dan semuanya mungkin betul. Kerana itu, ada yang menyatakan, bahawa perbezaan antara Islam dan Ahmadiyah, hanyalah soal perbezaan tafsiran sahaja, kerana itu jangan saling menyalahkan, sebab semua penafsiran adalah relatif. Yang mengetahui kebenaran mutlak, hanya Allah sahaja.
Tafsiran benar dan salah
Benar, soal utama antara Islam dan Ahmadiyah, adalah masalah tafsir. Tetapi, ada tafsiran yang salah dan ada yang benar. Semua manusia yang masih berakal (tidak gila), boleh menafsiran Al-Qur’an. Tetapi, tidak semua tafsiran itu benar, sebagaimana yang didakwa oleh kaum liberal. Ada tafsiran yang salah.
Misalnya, kalau ada yang menafsirkan ayat ”Wa-aqimish shalaata lidzikri”, sebagai tujuan solat adalah untuk mengingati Allah. Jadi, jika sudah ingat kepada Allah, maka tujuan (solat) sudah tercapai dan tidak perlu solat lagi. Tafsiran seperti ini adalah salah.
Contoh lain, dalam buku "Eik Ghalthi ka Izalah" (Memperbaiki Suatu Kesalahan) karya Mirza Ghulam Ahmad (terbitan Ahmadiyah Cabang Bandung tahun 1993), hal. 5, tertulis pengakuan Ghulam Ahmad yang mendapat wahyu : "Muhammadur Rasulullah wal-ladziina ma’ahu asyiddaa’u ’alal kuffaari ruhamaa’u baynahum"
Lalu, dia menafsir ayat tersebut : Dalam wahyu ini Allah swt menyebut namaku "Muhammad" dan "Rasul"
Ayat tersebut jelas terdapat dalam Al-Qur’an (QS 48:29). Kaum Muslim yakin dengan sesugguhnya, bahawa "Muhammadur Rasulullah" di dalam ayat itu merujuk kepada Nabi Muhammad saw yang lahir di Mekah ; bukan merujuk kepada Mirza Ghulam Ahmad yang lahir di India. Jika Ghulam Ahmad membuat tafsiran bahawa dia adalah "Muhammad" sebagaimana dalam ayat tersebut, maka tafsiran Ghulam Ahmad seperti itu adalah tafsiran yang salah.
Akan tetapi, kaum liberal akan menyatakan, bahawa Ghulam Ahmad juga berhak membuat tafsirannya sendiri dan tidak boleh disalahkan atau disesatkan. Anehnya, jika umat Islam mempunyai pandangan dan sikap yang berbeza dengan kaum liberal, maka akan dipersalahkan, dicop fundamentalis, radikal, tidak toleran, dan sebagainya. Jadi, kita dilarang menyalahkan yang salah, tetapi kaum liberal boleh menyalahkan pendapat yang tidak sesuai dengan mereka.
Sebagaimana pernah kita bahas sebelum ini aksi kaum liberal dalam menyerang Al-Qur’an dari masa ke masa semakin ganas. Berlindung di balik wacana kebebasan, mereka tidak segan silu lagi menyerang dan menistakan Al-Qur’an secara terbuka.
Apa yang pernah berlaku di IAIN Surabaya tahun 2006, ketika seorang guru memperlekehkan lafaz Allah yang ditulisnya sendiri, hanya nampak di permukaan sahaja. Sebenarnya telah banyak buku, jurnal, dan artikel terbitan kaum liberal di Indonesia yang secara terbuka menyerang Al-Qur’an. Kita masih ingat, bagaimana jurnal Justisia Fakulti Syariah IAIN Semarang secara terang-terang menyerang Al-Qur’an, dengan menyatakan :
"Sebab itu, adalah wajar jika muncul tangapan bahawa pembukuan Qur’an hanya untuk menyusurgalurkan bangsa Quraisy, melalui Uthman, untuk mempertahankan hegemoninya (kekuasaan tunggal) atas masyarakat Arab [dan Islam]. Hegemoni itu jelas berpusat kepada kekuasaan, agama dan budaya. Dan hanya orang yang mensakralkan (mensucikan) Qur’anlah yang akan terperangkap dalam susur galur bangsa Quraisy tersebut."
Yang menghairankan orang-orang ini adalah terdiri dari kalangan ahli akademik yang seharusnya menjunjung tinggi tradisi intelektual. Tetapi, faktanya, mereka sering mengungkapkan pendapat tanpa didukung oleh data-data yang mencukupi.
Irshad Manji ikon baru
Irshad Manji dikerumuni peminatnya di Universiti Gaja Mada, Indonesia
Mutakhir ini, kaum liberal di Indonesia sedang menggilai kepada seorang wanita lesbian bernama Irshad Manji. Kedatangannya di Indonesia pada bulan April 2008 disambut meriah. Dia dipuji-puji sebagai wanita Muslimah yang hebat.
Seorang wanita alumni UIN Jakarta bernama Nong Darol Mahmada menulis satu artikel di Jurnal Perempuan (edisi khusus Lesbian, 2008) berjudul : Irshad Manji, Muslimah Lesbian yang Gigih Menyerukan Ijtihad. Kata si Nong : ”Manji sangat layak menjadi inspirasi kalangan Islam khususnya perempuan di Indonesia .”
Pada Khamis (14/8/2008), saya diundang untuk menghadiri satu majlis kupasan buku tentang FPI (Front Pembela Islam) di pejabat Majalah Gatra. Tanpa saya sedari, penerbit buku tentang FPI tersebut (Nun Publisher) adalah juga penerbit buku Irshad Manji dalam edisi Indonesia berjudul "Beriman Tanpa Rasa Takut : Tantangan Umat Islam Saat Ini"
Di muka depan buku ini, Manji ditulis sebagai "Satu dari Tiga Muslimah Dunia yang Menciptakan Perubahan Positif dalam Islam". Ditulis buku ini sebagai "International Best Seller, New York Times Best Seller dan telah diterbitkan di 30 negara"
Pokoknya, membaca promosi di muka depannya, sepertinya, buku ini sangat hebat.
Tetapi, isinya kurang memenuhi standard ilmiah. Banyak tulisan Irshad Manji, ke sana kemari, hentam sana , hentam sini, tanpa ada rujukan yang boleh membuktikan kebenarannya. Maka, saya hairan, bagaimanakah kaum liberal boleh membangga-banggakan buku karya Irshad Manji ini? Seperti inikah watak idola kaum liberal, hingga digelar "lesbian mujtahidah"?
Apakah kerana Manji sangat liberal dan secara terbuka menyatakan dirinya sebagai lesbian, maka watak ini dijadikan idola?
Buku Irshad Manji warisan Salman Rushdie
Buku Manji ini menggugat beberapa ajaran pokok dalam Islam, termasuk keimanan terhadap kewibawaan Al-Qur’an dan kemaksuman Nabi Muhammad saw. Manji secara terbuka menulis :
”Sebagai seorang pedagang yang buta huruf, Muhammad bergantung kepada para pencatat untuk mencatatkan kata-kata yang didengarinya dari Allah. Kadang kala Nabi sendiri mengalami penderitaan yang luar biasa untuk menghuraikan apa yang dia dengar. Itulah bagaimana ”ayat-ayat setan” – ayat-ayat yang memuja berhala – dilaporkan pernah diterima oleh Muhammad dan dicatat sebagai ayat suci Al-Qur’an. Nabi kemudian menulis ayat-ayat tersebut, menyalahkan tipu daya setan sebagai faktor kesalahan catatan tersebut. Namun, hakikatnya, para filosofi Muslim selama berabad-abad telah mengisahkan bahawa cerita ini memperlihatkan keraguan yang sudah lama wujud terhadap kesempurnaan Al-Qur’an.” (hal. 96-97).
Cerita yang diungkap oleh Manji itu memang menjadi kesukaan kaum orientalis untuk menyerang Al-Qur’an dan Nabi Muhammad saw. Cerita itu lebih popular dikenali sebagai kisah gharanik. Riwayat cerita ini sangat lemah dan palsu.
Haekal, dalam buku biografi Nabi Muhammad saw, menyebut bahawa cerita tersebut tidak mempunyai dasar dan merupakan ciptaan satu kelompok yang melakukan tipu muslihat terhadap Islam.
Karen Armstrong, dalam bukunya, "Muhammad: A Biography of the Prophet" juga membahas masalah ini dalam satu bab khusus.
Kisah "ayat-ayat setan" itu kemudian diangkat pula oleh Salman Rushdie menjadi judul novelnya : "The Satanic Verses" (Ayat-ayat Setan). Novel yang pertama terbit pada tahun 1988 ini memang sangat biadab dalam menghina Nabi Muhammad saw, para sahabat, dan isteri-isterinya.
Menurut Armstrong, cerita dalam novel Salman Rushdi ini mengulangi semua mitos Barat tentang Nabi Muhammad saw sebagai watak penipu, bercita-cita tinggi yang menggunakan wahyu-wahyunya untuk mendapatkan seramai mungkin perempuan yang diingini.
Para sahabat nabi juga digambarkan dalam novel ini sebagai manusia-manusia yang tidak berguna dan tidak manusiawi. Tentu sekali judul Novel itu sendiri sudah membayangkan usaha memperlekehkan Al-Qur’an.
Salman Rushdie mendapat penghormatan tertinggi daripada Persidangan Yahudi Amerika Syarikat (American Jewish Conference)
Karen Armstrong mencatat: “It repeats all the old Western myths about the Prophet and makes him out to be an impostor, with purely political ambitions, a lecher who used his revelations as a lisence to take as many women as he wanted, and indicates that his first companions were worthless, inhuman people.”
Armstrong tidaklah keliru! Dan Umat Islam yang sangat menghormati Nabi Muhammad saw tentunya sangat tersinggung dengan penerbitan Novel Salman Rushdie yang sangat tidak beradab itu. Novel itu – dalam edisi bahasa Inggerisnya – sudah dijual di Jakarta . Rushdie diantaranya menggambarkan isteri-isteri Nabi Muhammad saw sebagai penghuni rumah pelacuran bernama "Hijab". Rushdie juga menyebut Nabi Muhammad – yang dinamakan sebagai "Mahound" – sebagai "the most pragmatic of prophets".
Irshad Manji bersama President Ronald R. Thomas dari University of Puget Sound, salah satu universiti liberal terkemuka di Amerika Syarikat, tempat beliau mendapat ijazah kedoktoran.
Penulis novel yang menghina Nabi Muhammad saw seperti Salman Rushdie inilah yang dijadikan rujukan oleh Irshad Manji dalam memunculkan isu berkenaan "ayat-ayat setan". Dalam bukunya pun, Manji mengungkapkan, bahawa Salman Rushdie lah yang mendorongnya untuk menulis buku ini:
“Apa yang dikatakan oleh Salman Rushdie padaku ketika aku mula menulis buku ini, teringat lagi ketika aku merenung hidupku sejak penerbitan buku ini. Aku masih ingat ketika bertanya kepadanya (Salman Rushie) kenapa dia memberikan semangat kepada seorang muslim muda sepertiku, untuk menulis sesuatu yang boleh mengundang malapetaka ke dalam kehidupannya, seperti yang telah menimpa dirinya. Tanpa ragu sedikit pun, dia menjawab, "Kerana sebuah buku lebih penting daripada kehidupan" (hal. 322).
Dalam bukunya, Irshad Manji bersandarkan pendapat Christoph Luxenberg sebagai rujukan untuk menyatakan bahawa selama ini umat Islam terpesong dalam memahami Al-Qur’an, yang seharusnya difahami dalam bahasa Syriac. Tentang syurga, dengan nada sinis, dia menyatakan bahawa terdapat human error yang masuk ke dalam Al-Qur’an.
Menurut penyelidikan baru, tulis Manji, yang diperolehi dari para martir (orang yang mati kerana agama), maksud perkataan "hur" telah disalahertikan. Maksud "hur" bukannya 'perawan' tetapi kismis. "Nah, jadi bagaimanakah tafsiran Al-Qur’an boleh dikatakan sebagai tepat?" tulisnya.
Pendapat Luxenberg adalah bahasa Al-Qur’an harus difahami dalam bahasa Aramaik ditulisnya dalam buku "Die syro-aramaeische Lesart des Koran: Ein Beitrag zur Entschluesselung der Koransprache".
Pendapat ini pun sangat lemah dan sudah banyak artikel ilmiah yang mengupasnya. Dr. Syamsuddin Arif telah mengupas masalah ini secara terperinci dalam bukunya, "Orientalis dan Diabolisme Intelektual"
Menurut Syamsuddin, Professor Hans Daiber, misalnya, memberikan seminar terbuka tentang karya polemik itu selama satu semester di jabatan Orientalistik Universiti Frankfurt, dimana dia mengungkapkan beberapa kelemahan-kelemahan buku itu secara metodologi dan filologi.
Salah satu kelemahan Luxenberg, misalnya, untuk menyokong analisis dan hujah-hujahnya, semestinya Luxenberg merujuk kepada kamus bahasa Syriac atau Aramaic yang ditulis pada abad ke-7 atau 8 Masehi (zaman Islam), dan bukannya menggunakan kamus bahasa Chaldean abad ke-20 karangan Jacques E. Manna terbitan tahun 1900!
Namun, meskipun sudah dijelaskan secara ilmiah, orang-orang yang memang berniat jahat terhadap Islam, tetap tidak mahu mendengar semua hujah ilmiah tersebut.
Irshad Manji, dalam bukunya ini, menyandarkan keraguannya terhadap Al-Qur’an kepada pendapat Luxenberg (seorang paderi Kristian berasal Lebanon yang menyembunyikan nama aslinya). Kata Manji :
”Jika Al-Qur’an dipengaruhi budaya Yahudi-Kristian – yang selari dengan dakwaan bahawa Al-Qur’an meneruskan wahyu-wahyu sebelumnya – maka bahasa Aramaik mungkin telah diterjemahkan oleh manusia ke dalam bahasa Arab. Atau salah dalam proses menterjemahkan dalam kes istilah "hur", dan tak ada yang tahu berapa banyak lagi kata yang diterjemahkan secara kurang tepat. Bagaimana jika semua ayat -ayat itu salah difahami?” (hal. 96).
Nampaknya, penerbit buku Irshad Manji dan kaum liberal di Indonesia pun sudah tidak mempedulikan perasaan umat Islam terhadap penghormatan mereka kepada Nabi Muhammad saw. Mereka begitu mudah, mengangkat wanita lesbian seperti Irshad Manji, yang secara terang mempertikai kewibawaan Nabi Muhammad saw dan Al-Qur’an.
Mereka mungkin sudah tahu bahawa umat Islam akan marah jika Nabi Muhammad saw dihina. Mereka merasa seronok melihat umat Islam bangkit dengan rasa marah. Jika umat Islam marah, mereka akan tertawa sambil menuding bahawa umat Islam belum matang ; umat Islam emosional dan sebagainya!
Kes Irshad Manji ini semakin memahamkan kita siapa sebenarnya kaum liberal dan apa yang mereka mahu. Kita kasihan kepada manusia-manusia seperti ini. Apakah mereka tidak bimbang, jika anak-anak mereka satu hari nanti disoal oleh gurunya, siapa wanita idola mereka?
Maka anak-anak mereka tidak lagi menjawab ,"Idola kami adalah Khadijah, Aisyah, Kartini, Cut Nya Dien, dan sebagainya" tetapi akan menjawab : "Idola kami Irsyad Manji, sang muslimah lesbian teman baik Salman Rushdie sang pengkritik Nabi" Na’udzubillahi min dzalika.
wassalaamu’alaikum wr. wb.
AIDC menterjemah artikel tulisan Adian Husaini. Artikel asal klik di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan