SHAH ALAM 24 Sept. – Meskipun hasrat ketua ajaran sesat, Abdul Kahar Ahmad yang menghilangkan diri sejak pertengahan 2005 untuk dibebaskan dengan ikat jamin tercapai namun keluarganya terpaksa berhempas pulas mencari 10 penjamin kakitangan kerajaan dalam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke atas.
Dengan syarat jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, ini bermakna anak-anak Abdul Kahar perlu mencari wang jaminan berjumlah RM10,000 berserta 10 penjamin.
Kesemua enam anaknya hadir di mahkamah hari ini.
Terdahulu, Abdul Kahar, 59, yang telah kematian isteri menukar pengakuan kepada bersalah atas lima tuduhan pindaan termasuk mengisytiharkan dirinya sebagai rasul orang Melayu akhir zaman.
Abdul Kahar yang kelihatan tenang berkali-kali memberitahu Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad bahawa pengakuan bersalah tersebut lahir daripada hatinya, tanpa dipujuk, dipaksa mahupun didorong oleh sesiapa.
Selepas merekodkan pengakuan Abdul Kahar, Abu Zaky membenarkan permohonan Peguam Syarie, Musa Awang agar rayuan bertulis yang disediakannya dibacakan pada tarikh lain memandangkan masa telah menunjukkan pukul 5.30 petang.
Musa turut memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin bagi membolehkannya berhari raya bersama keluarga dan dua daripada anak tertuduh yang merupakan penjawat awam yang sanggup menjadi penjaminnya.
Permohonan itu bagaimanapun dibantah Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid sebaliknya memohon mahkamah melanjutkan waran tahanan yang dikeluarkan pada 16 September lalu.
Abdul Shukor berkata, setelah didakwa pertama kali di mahkamah pada 17 Ogos 2005, Abdul Kahar diikat jamin RM8,000 sementara menunggu perbicaraan pada 21 September tahun yang sama.
Tertuduh bagaimanapun menghilangkan diri sebelum berjaya ditangkap di rumah sewanya di Sungai Long, Kajang dekat sini pada 16 September lalu, katanya.
Selepas mendengar hujah kedua- dua pihak, Abu Zaky menegaskan, ketidakhadiran tertuduh di mahkamah sebelum ini tanpa sebarang alasan telah menimbulkan kesulitan kepada pihak pendakwaan.
Sekiranya mahkamah membebaskan tertuduh sekali lagi, ujar Abu Zaky, dikhuatiri akan menimbulkan persepsi negatif dan anggapan serong terhadap institusi agama dan mahkamah sendiri.
‘‘Anak-anak sepatutnya memberikan kerjasama memastikan kehadiran tertuduh sejak awal lagi. Namun pada hemat mahkamah, mereka tidak memberikan kerjasama. Sehubungan itu, jika jaminan diberikan ia akan memberikan risiko yang amat tinggi.
‘‘Namun mahkamah memutuskan membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap kes berserta dua orang penjamin dalam kategori JUSA C ke atas.
‘‘Sekiranya ia gagal dilaksanakan hari ini maka tertuduh hendaklah direman di Penjara Sungai Buloh sehingga hukuman dijatuhkan pada 2 Oktober ini,’’ kata Abu Zaky.
Jika mengikut perkiraan biasa, penjawat awam pengurusan tertinggi dalam sektor awam dalam kategori tersebut perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dengan gaji pokok RM8,000 sebulan.
Terdahulunya, pertuduhan pindaan dibacakan kepada Abdul Kahar yang memakai kemeja warna kuning ketika prosiding bermula pada pukul 10.45 pagi sebelum ditangguhkan ke sesi petang.
Bekas pekerja Zoo Negara itu didakwa menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang cukup sekadar mencegah perbuatan keji dan perkara mungkar manakala ibadah haji sekarang adalah sia-sia dan merugikan.
Dia juga didakwa mengisytiharkan dirinya sebagai ‘rasul Melayu’ sedangkan ia palsu dan bertentangan dengan Islam dan hukum syarak.
Abdul Kahar turut didakwa menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengakui dirinya rasul (utusan Allah) yang diutuskan untuk orang Melayu.
Dia juga mendakwa, sembahyang lima waktu tidak wajib memadai melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Ibadah haji pula tidak perlu ditunaikan di Mekah dan boleh dikerjakan di mana-mana bumi Allah.
Dia juga didakwa mengingkari arahan mufti dengan mengajar ajaran Kahar kepada tiga pengikutnya; Hanif Taslin, Nurhelmi Ikhsan, Mohammad Nabil Abu Naim walhal ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Abdul Kahar turut didakwa mempersendakan dengan perkataan, amalan berhubung agama Islam di bawah Seksyen 10(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor dengan menyatakan sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tak perlu tunggang tonggek dan membebel seorang diri.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 19 Mei 2005 dan 23 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang dekat sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda berjumlah RM21,000 dan penjara.
sumber - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan