PUTRAJAYA 1 Sept. - Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Oktober ini bagi mendengar rayuan pendakwa raya terhadap perintah agar pihaknya membekalkan dokumen yang dipohon oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.
Pada hari yang sama, mahkamah turut mendengar rayuan balas Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi mendapatkan contoh spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) pengadu iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24.
Tarikh berkenaan ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Jumirah Marjuki pada pengurusan kes hari ini.
Pada 16 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu agar pendakwa raya membekalkan dokumen-dokumen penting bagi membantu beliau menyediakan pembelaannya.
Ia termasuk rakaman percakapan Mohd. Saiful, Dr. Osman Abdul Hamid dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga lagi saksi.
Dokumen lain termasuk rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara dan kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 Jun dan 27 Jun tahun lalu.
Mahkamah Tinggi pada 24 Julai lalu bagaimanapun membenarkan pelaksanaan perintah itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan.
Ketua Pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.
Kes liwat itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi, esok.
Esok juga, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) akan mendengar sebutan semakan kehakiman Anwar bagi mengetepikan kenyataan bertulis pendakwaan yang menyatakan bahawa tidak terdapat fakta-fakta yang memihak kepada pembelaan beliau dalam kes liwat tersebut.
Sementara itu, semakan Anwar bagi menghalang pasukan pendakwa raya mengendalikan pendakwaan kes tersebut akan didengar pada Khamis ini.
sumber - utusan
2 ulasan:
Pusing sana pusing sini, bantah sana bantah sini,rayu sana rayu sini, tangguh sana tangguh sini... minta itu minta ini, sakit sana sikit sini, hakim sana hakim sini ..apa nak jadi???
Salam aidc,
cuba renungkan pantun nih..
Cantik sungguh puteri palembang,
sanggul bersunting bunga pudak,
betapa keras dilambung ombak
kucacak tiang ku layar juga..
rasa-rasa pernah terbaca tak?...
Itulah semangat juang DSAI...dan makna yang satu lagi..
Salam
Norkuyow.
Catat Ulasan