MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

23 Ogo 2009

Saya tiada hasrat mahu jadi MB Selangor - Dr Hassan Ali



Selepas isu arak, isu kuil, kini ada pula khabar angin menyatakan pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan berakhir hujung tahun ini. Ini dibuktikan lagi pemasangan kain rentang dan sepanduk di sekitar kawasan Assam Jawa dan Kuala Selangor baru-baru ini yang menyarankan supaya menteri besar itu berundur. Antara nama-nama yang disebut-sebut menduduki kerusi itu ialah Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali. Dr Hasan menjawab isu berkenaan ketika ditemubual Ketua Wartawan Sinar Harian (SH), Ruzy Adila Idris dan Sumarni Herman.

SH: Walaupun isu arak kita anggap telah selesai, namun tidak dinafikan ramai pihak kecewa dengan keputusan Kerajaan Negeri dan Pas sendiri dikatakan terlalu mengikut kehendak parti gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR), apa komen Datuk?

DR HASAN: Ada dua perkara dalam isu arak ini yang ‘hidup’ sebenarnya dan tidak habis begitu sahaja iaitu ‘self regulation’ (sistem kawalan sendiri) dan saya sudah ke beberapa kedai untuk memantau hal ini sama ada mereka terlibat atau tidak dalam penjualan minuman keras itu kepada orang Islam. Saya dan pihak penguatkuasa juga akan memastikan papan tanda yang menyatakan tidak menjual minuman keras kepada mereka yang di bawah 18 tahun adalah bersaiz besar. Apa yang saya tengok ada yang patuh kepada arahan tetapi tidak sepenuhnya.

Yang kedua pula, kita hendak menguatkuasakan undang-undang iaitu Enakmen Jenayah Syariah 1995 khusus untuk orang Islam. Enakmen itu memberi garis panduan bahawa tidak boleh minum arak di khalayak ramai, orang Islam tidak boleh menjual dan membeli serta tidak boleh mempamer. Orang bukan Islam jangan bimbang, penguatkuasaan itu untuk orang Islam sahaja supaya tidak terlibat dengan dosa besar.

Saya ingin umat Islam mengikuti undang-undang ini sepenuhnya kerana banyak orang Melayu yang tergelincir daripada akidah, syariat ini perlu diselamatkan. Berkenaan ‘self regulation’ kita tengok dalam sebulan, sekarang ini kita peniaga di Seksyen 8 sudah tidak menjual minuman keras.

Saya memperjuangkan Enakmen Jenayah Syariah 1995 dan pada peringkat awal ini kita akan memastikan ‘self regulation’ itu berjalan sebagaimana yang diimpikan menteri besar. Saya tidak mengharamkan arak di seluruh negeri ini. Pada 24 Ogos lalu, kita panggil pegawai masjid iaitu nazir, imam, bilal dan siak di seluruh negeri ini berkumpul di Masjid Negeri untuk menerangkan tindakan yang perlu dibuat demi menjaga umat Islam daripada terjebak ke dalam gejala arak yang saya sebutkan itu dan mempertahankan kesucian Islam. Sebagai exco yang menjaga agama, saya perlu menjaga kesucian Islam.


SH: Isu kuil di Seksyen 19 semakin hangat diperkatakan, apa pendapat datuk, adakah pemindahan ke Seksyen 23 itu satu cara terbaik atau mungkin satu keputusan lain akan dibuat memandangkan wujud bantahan dalam kalangan penduduk. Bagaimana dengan kadar pembinaan kuil di negeri ini?

DR HASAN: Rumah ibadat sesuatu yang sensitif dan permasalahan ini perlu ditinjau, diteroka dan hendaklah difikirkan semasak-masaknya kerana akan banyak menyentuh perasaan, jiwa, hati, emosi, masyarakat. Jadi berkaitan kuil di Selangor, kita sudah minta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) maklumkan mengenai kuil yang dibina secara haram dan sah.

Setakat ini kita masih mengumpul maklumat dan kita akan mendapatkan jumlah dalam masa terdekat. Kita tengok kuil ini semakin bertambah terutama yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa, kadang-kadang kuil itu dibina di tanah rizab Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Berhubung isu kuil di Seksyen 19 yang ingin dipindahkan ke Seksyen 23 Shah Alam, saya difahamkan kuil di Seksyen 19 sudah lama bertapak di situ sebelum penempatan dibuat lagi dan saya diberitahu penduduk di situ tidak tahu adanya kuil di situ sebelum berpindah.

Oleh itu, apabila ada kuil di kawasan itu sedangkan masyarakat India tidak ramai di situ, jadi masyarakat Islam beranggapan kuil itu tidak sewajarnya berada di situ. Jadi timbul cadangan dipindahkan ke Seksyen 23, tetapi di sana juga majoritinya penduduk Islam. Pada saya kita perlu cari jalan tengah yang dapat diterima oleh semua masyarakat, hal ini tidak akan berkesudahan jika tiada kesepakatan, yang rugi masyarakat juga.

Bagi saya formulanya ialah kita kena bina surau, masjid, kuil atau tokong perlu mengikut nisbah penduduk di kawasan itu mengikut kaum, misalnya surau dan masjid ini tidak timbul masalah jika dibina di kawasan majoriti Melayu, tetapi apabila kita bina kuil atau tokong di kawasan itu maka masalah akan timbul sebab ia tidak menggambarkan nisbah penduduk yang memerlukan rumah ibadat.

Kalau kita setuju, kita ikut nisbah penduduk atau jumlah sesuatu kaum di kawasan itu. Orang Islam juga perlu fikirkan bahawa agama lain juga memerlukan rumah ibadat, dalam hal ini masing-masing kena hormat menghormati, jika saya ke masjid mesti dihormati orang India begitu juga sebaliknya. Rumah ibadat adalah satu keperluan dalam hidup masyarakat kita. Kerajaan Negeri dan PBT kena ada satu keputusan, saya rasa dengan formula ini dapat mengurangkan sedikit kerisauan yang melanda masyarakat hari ini.

SH: Adakah perkara ini dibawa dalam mesyuarat Exco untuk dibincangkan?

DR HASAN: Perkara ini ada dibawa ke dalam mesyuarat tetapi tidak dibincangkan secara terperinci, mungkin selepas ini kita akan bincangkan dalam mesyuarat Exco.

SH: Adakah Datuk sendiri dimaklumkan dan diajak berbincang berkaitan isu kelulusan penggunaan tanah untuk membina rumah ibadat kerana ada dakwaan mengatakan keputusan itu terletak pada Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatian, Dr Xavier Jayakumar?

DR HASAN: Di Selangor terdapat satu jawatankuasa bukan Islam yang turut dianggotai Dr Xavier dan Exco Pelaburan Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok serta beberapa orang lagi untuk membincangkan perkara ini tetapi seeloknya keputusan dilaporkan kepada Exco, tetapi saya rasa saya tidak ingat kalau ada laporan sebegitu diberikan.

Pada pandangan saya fungsi jawatankuasa adalah membuat cadangan dan bukannya membuat keputusan sama ada sesuatu kuil atau tokong itu perlu dibina di kawasan itu. Manakala tindakan menceroboh pula perlu dilihat dari pelbagai sudut dan disampaikan kepada Exco untuk membuat keputusan.

Dalam hal ini, bukan hanya Dr Xavier yang perlu memberi kelulusan tetapi perlu dibincang dalam mesyuarat Exco, jawatankuasa yang dibentuk hanya membuat cadangan bukannya membuat keputusan mahupun kelulusan.

SH: Adakah benar Datuk mengarahkan masjid untuk seragamkan papan tanda jawatankuasa?

DR HASAN: Sekarang ini, masjid seharusnya berwajah baru mulai 21 Jun lalu setelah pentadbir baru dilantik maka jawatankuasa baru ini sudah beri rangka kerja baru. Bagi menunjukkan imej pentadbiran masjid dan surau yang baru penampilan imej ini perlu.

Pada peringkat awal dan paling mudah ialah papan tanda yang seragam, warna yang seragam, logo Jais terletak di tempat sepatutnya, tulisan yang seragam, tetapi apa yang berlaku sekarang papan tanda tidak seragam bagi saya rasa tidak berapa cantik, kenapa kita tak buat untuk kecantikan Islam. Perkara ini sudahpun dibincang dan diluluskan hanya sekarang dalam peringkat pilihan rekaan papan tanda.


SH: Ada pihak tertentu yang mempertikaikan keperluan papan tanda yang seragam, dan benarkah ada dakwaan mengatakan bahawa pegawai khas Datuk membekalkan papan tanda kepad 36 masjid pada harga RM4,000 satu set?

DR HASAN: Pada saya sangat perlu kerana ini membabitkan soal peningkatan imej, inilah salah satu daripada keperluan itu. Kadang-kadang kita tengok papan tanda yang tidak sempurna, hurufnya telah gugur, adakah cantik Islam seperti itu?

Berkenaan papan tanda berharga RM4,000 itu saya nafikan sekeras-kerasnya, saya tidak tahu mengenai hal itu malah perkara itu tidak berlaku dan tidak benar.

Kos menampung penukaran papan tanda itu daripada sumber yang pelbagai. Kita tengok kalau ada daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atau Lembaga Zakat kita guna. Kita juga akan membantu masjid yang tidak berkemampuan malah pemilihan masjid untuk menerima peruntukan ini juga belum dibuat.


SH: Berkenaan isu di Kampung Kebun Bunga Jalan Batu Tiga iaitu pembinaan dewan orang ramai di atas tanah perkuburan Islam yang mengatakan Datuk bersetuju penempatan dewan itu, apa komen Datuk?

DR HASAN: Saya tidak terlibat dalam keputusan itu malah saya tidak teringat bahawa Exco pernah membincangkan hal itu, kebiasaannya kita serahkan kepada ADUN masing-masing untuk membuat keputusan.


SH: Apa komen Datuk mengenai isu tanah kubur yang tidak mencukupi di negeri ini?

DR HASAN: Sebenarnya dalam perancangan pembangunan negeri ini kita sudah ada peraturan tertentu tetapi saya tengok tanah kubur mengambil tempat yang tidak ‘istimewa’ seperti di belakang bukit. Pada saya mungkin tiada penguatkuasaan dalam perancangan, saya telah minta Pengarah Jabatan Perancang menyenaraikan sebarang perancangan untuk tanah kubur yang tidak mematuhi peraturan.

Misalnya pembangunan penempatan yang tidak menyediakan tanah perkuburan. Saya telah minta laporan mengenai tanah kubur, dewan orang ramai, sekolah, masjid, surau, kuil dan tokong. Tindakan seterusnya, bawa kepada MTES dan Exco, satu kertas kerja akan disediakan untuk memastikan pemaju mengikut peraturan yang ditetapkan.

SH: Datuk salah seorang yang disebut-sebut menggantikan MB dalam barisan pimpinan Kerajaan Negeri selain Azmin Ali. Apa komen Datuk, mengapa nama Datuk dikaitkan dalam hal ini.

DR HASAN: Saya tidak pernah terfikir sebegitu, bahkan bagi saya apa yang ada sekarang adalah munasabah, perkara itu cakap-cakap politik yang tarafnya di kedai kopi.

SH: Sekiranya ditawarkan jawatan itu, adakah Datuk rasa mampu memikul tanggungjawab dan menjadi lebih baik?

DR HASAN: Saya tidak berfikir ke arah itu, apa yang saya nak fikir adalah menjaga portfolio agama, saya hendak Islam itu paling hebat, dinamik, dihormati dan dibawa kemajuan kepada masyarakat negeri ini malah manusia yang mengendalikan infrastruktur itu juga bertaraf dunia. Saya tidak terfikir perkara yang lain sebab yang ini pun saya tidak cukup tangan apa lagi nak memikirkan yang lebih besar daripada itu.

Sehingga ini, saya cukup dengan apa yang ada di hadapan saya dan saya akan cuba buat yang terbaik. Kalau dalam Pas lain, banyak yang dicalonkan tetapi kemudian tarik diri, manakala parti lain misalnya pelbagai taktik dan teknik digunakan untuk menjadi calon. Dalam Pas apabila nama kita disebut, dengan rasa rendah diri memohon supaya tidak dipilih kerana kita telah dididik sebegitu.



SH: Adakah benar wujud gerakan untuk menjatuhkan MB dalam barisan pimpinan Kerajaan Negeri seperti yang baru-baru ini berlaku di Kuala Selangor?

DR HASAN: Ini adalah masalah dalaman parti, kalau saya masuk campur dalam hal dalaman parti saya rasa tidak wajar. Misalnya, kalau masalah dalaman parti Pas, kalau ada orang lain komen kita akan rasa kurang selesa. Jadi saya hanya mengharapkan perkara yang melibatkan kepimpinan tertinggi seperti MB tidak sepatutnya berlaku seperti di Kuala Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid pemimpin nombor satu negeri, kalau ada perkara sedemikian pandangan masyarakat pada beliau akan terjejas, pandangan teman yang bekerja bersama dia juga akan terjejas dan kebolehan untuk memimpin juga akan terjejas.

Dalam politik, ini perkara biasa, tidak semua orang sukakan kita, macam saya pun ada juga yang tidak sukakan saya, saya tidak boleh menggembirakan semua orang, tetapi apa pun prinsip dalam Pas kita ada satu konsep wala’ iaitu taat kepada pemimpin, tetapi sekarang ini kita lihat orang muda, berdarah muda agaknya prinsip itu boleh terlepas dan tak dapat dipertahankan sebab itulah timbul perkara sebegini.

Sebagai teman kepada Tan Sri Abdul Khalid kita mengharapkan perkara ini tidak mencacatkan, tidak mengakibatkan beliau barasa jauh hati sebaliknya kalau kita toleh ke belakang kalau ada yang tidak betul kita perbetulkan dan pada masa sama di hadapan kita bereskan, kalau itu baik, maka yang akan datang juga akan baik.


SH: Sejauhmanah peranan Datuk Seri Anwar dalam mempengaruhi keputusan eksekutif dalam kerajaan Pakatan Rakyat?

DR HASAN: Sebelum ini saya tidak nampak dan saya belum lagi dilaporkan mengenai penglibatan Datuk Seri Anwar dalam urusan pentadbiran negeri Selangor malah beliau tidak pernah berbincang dan mengarahkan saya supaya berbuat sesuatu.

sumber - sinar harian, 22 Ogos 2009


1 ulasan:

NTanwar berkata...

Kenapa datuk pertahankan Enakmen Jenayah Syariah 1995 ?

Itu Enakmen yang digubal semasa zaman BN

Kalau datuk terus menerus pertahankan enakmen 1995 ini akan menguatkan hujah musuh-musuh politik datuk mengatakan datuk ada hubungan dengan BN secara gelap

sekarang pun dah dengar, musuh-musuh politik datuk tuduh datuk pertahankan BN secara simbolik dengan pertahankan enakmen 1995

datuk sebagai exco agama PAS Selangor perlu menggubal enakmen syariah baru di Selangor sesuai dengan era PAS mentadbir Selangor

kalau terus menerus berpegang dengan enakmen yang dibuat oleh BN dulu, orang akan berkata PAS Selangor tiada idea apa2 sekadar copy n paste peninggalan warisan BN..

orang akan kata buat apa beri kuasa kepada PAS di selangor jika PAS pun hanya copy n paste warisan BN

orang akan fikir Selangor ni negeri majoriti cina dan india ke hinggakan bilangan exco bukan melayu lebih ramai daripada melayu?

jadi apa peranan PAS di selangor? pujuk orang melayu pangkah PR untuk beri kuasa kepada DAP?