Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD,
TARMIZI ABDUL RAHIM dan NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak digelar pengkhianat kerana usaha beliau untuk menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjelaskan lagi sikapnya terhadap nasib dan masa depan orang Melayu.
Malah apa yang cuba dilakukan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu semata-mata untuk memastikan cita-citanya menjadi seorang Perdana Menteri tercapai meskipun hak keistimewaan orang Melayu terpaksa dikorbankan.
Reezal berkata, bibit-bibit pengkhianatan Anwar terhadap orang Melayu muncul ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Sebagai contoh katanya, pada tahun 1997, Anwar telah menaikkan kadar faedah hingga mencecah 24 peratus selain menurunkan tempoh pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada enam bulan kepada tiga bulan.
‘‘Akibat daripada dua polisi ini, ramai usahawan Melayu merana dan terpaksa gulung tikar. Mereka hidup dalam keadaan yang sangat menderita. Itu belum lagi dikira dengan hasratnya untuk membuat pinjaman dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF),’’ katanya.
Beliau mengulas ketegasan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak akan memohon maaf atau menarik balik kenyataannya walaupun Anwar bakal mengambil tindakan saman RM100 juta ke atasnya.
Ia berikutan tindakannya menggelar Anwar sebagai pengkhianat ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading Ahad lalu.
Reezal berkata, komitmen Anwar untuk menghapuskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga perlu diambil kira sebagai salah satu pengkhianatan terhadap perjuangan Melayu.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Helmi Ismail pula berkata, Anwar juga didapati telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan wasiat raja-raja Melayu kerana kedua-dua dokumen itu jelas tercatat mengenai kewajipan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu.
Mohd. Helmi berkata, beliau mula menyedari pembohongan Anwar sejak menjadi penuntut universiti lagi iaitu ketika pemimpin PKR itu mengetuai gerakan mahasiswa.
‘‘Pada tahun 1974, Anwar telah bersyarah dan memberitahu mahasiswa lain yang orang Baling tidak makan dan akhirnya mati akibat kemiskinan. Rupa-rupanya ini satu pembohongan kerana di Malaysia tidak pernah berlaku kes seumpama itu,’’ katanya.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, pemimpin PKR itu telah melakukan sabotaj terhadap orang Melayu terutama dalam konteks ekonomi.
‘‘Demonstrasi haram Sabtu lalu merupakan contoh terbaik bagaimana pemimpin PKR itu sengaja mensabotaj ekonomi orang Melayu dan negara.
‘‘Yang pasti pelabur sudah tentu akan menangguhkan atau membatalkan terus hasrat mereka untuk membuat pelaburan ke negara ini kerana berlaku huru-hara akibat daripada gerakan demonstrasi tersebut,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Anwar sebagai pencetus dan penyebab terhadap banyak masalah kaum yang timbul di negara ini.
‘‘Anwar adalah pembuka pintu banjir (flood gate) yang menyebabkan arus deras yang terkumpul sejak sekian lama di sebalik pintu itu terus meluru keluar dan melanda serta mengaut apa sahaja halangan yang berada di laluannya hingga menjadi banjir besar yang tidak dapat dibendung.
‘‘Kerana Anwar, kaum lain di negara ini begitu berani mempertikaikan hak keistimewaan Melayu dan membuat tuntutan lain yang tidak masuk akal,’’ katanya.
Tegas beliau, kaum lain menjadi berani kerana sedar bahawa segala tuntutan mereka itu didalangi dan disokong oleh orang Melayu sendiri iaitu Anwar.
‘‘Maka beranilah mereka mempertikaikan isu kuota DEB, pengagihan biasiswa kepada pelajar bumiputera, wujudnya penulis blog yang ramai dengan tanpa rasa takut menghina dan mempertikaikan apa yang diperoleh kaum bumiputera,’’ katanya.
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad berkata, kenyataan Muhyiddin yang melabelkan Anwar sebagai pengkhianat bangsa Melayu bukanlah dibuat secara emosional.
‘‘Sebaliknya ini merupakan fakta yang sah berdasarkan sejarah kepimpinan dalam kerajaan sejak negara merdeka lagi.
‘‘MBM menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan kenyataan palsu yang dikeluarkan oleh Anwar mengenai sejarah perjuangan UMNO dalam kerajaan,” katanya.
Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia, Azanddin Hamzah pula berkata, tindakan untuk menyaman Muhyiddin itu adalah satu sandiwara politik Anwar yang cuba menutup kelemahan pentadbiran dan kepincangan di Selangor yang banyak melibatkan Exco dan wakil rakyat PKR.
sumber - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan