MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

30 Ogo 2009

Jawapan Zaid Ibrahim kepada PAS

Sejak saya mula “blogging” dua bulan dahulu, komen yang paling banyak dan hangat saya terima ialah mengenai tulisan saya yang paling mutakhir sekali. Saya mengutarakan pendapat dalam tiga hal.



Pertama, mengenai arahan Exco Kerajaan Negeri Selangor Hassan Ali dari PAS mengenai usaha menangkap mereka yang minum arak dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan penjualan arak di Selangor itu sebagai satu tindakan yang tidak wajar.

Kedua, pendapat saya supaya Pemuda PAS tak perlu melarang atau mendesak pembatalan konsert Michael Learns To Rock di Genting.

Ketiga dan akhir sekali, mengenai hukuman rotan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana minum beer.

Saya tidak bercadang mengulangi pendirian saya yang ditulis sebelum ini selain dari menjawab beberapa komen yang pedas dan hangat tetapi sayangnya tidak berasas dan menyeleweng dari isu sebenar.

Menegenai cadangan Hassan Ali itu, saya mengatakan arahannya sukar dilaksanakan kerana melibatkan banyak isu, termasuklah kuasa Raja dan polis. Juga ianya tidak sepatut dibuat pada hari orang mengundi di Permatang Pasir kerana hal-hal kontroversi boleh merugikan Pakatan Rakyat dan PAS.

Saya lebih memikirkan masa depan PAS kerana sekarang ini sudah mula diterima oleh orang Islam dan bukan Islam. Jadi dalam soal mentadbir kita mesti teliti, berhati-hati dan berhemah.

Jangan menampakkan diri kita ini ekstrem. Itulah cara kita menjaga hati rakyat; terutama yang lain kepercayaan dari kita. Tetapi kalau cadangan Hassan Ali ini dipersetujui oleh pihak-pihak yang bertanggung jawab, dan juga memberi keuntungan kapada PAS, buat sajalah.

Adalah tidak adil bagi sesetengah pembaca membuat tuduhan yang menghina saya secara peribadi dalam soal ini. Soal tunduk kepada tekanan orang bukan Islam tidak timbul sama sekali.

Mengenai konsert itu, saya cuma mencadangkan kepada Pemuda PAS supaya berikhtiar memikirkan masalah negara yang jauh lebih serius seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Ini semua punca keruntuhan masyarakat dan tamadun.

Pemuda PAS boleh berusaha secara proaktif membela nasib orang miskin dan kurang upaya. Mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada isu pengangguran orang muda yang sekian hari makin bertambah. Soal kesan muzik Barat kepada anak muda kita, carilah pendekatan yang lain yang tidak perlu sampai melarang orang lain yang nak tonton.

Disiplin diri kan lebih baik kalau diajar dan dilatih terlebih dahulu. Manusia mana pun tak suka dipaksa. Lagi pun lagu-lagu pop boleh dibeli atau diperolehi dimana-mana, dan Michael Learns To Rock ialah kugiran tahun 90-an yang sesuai kepada orang yang lebih dewasa yang sudah pasti lebih tahu menjaga moral dan nilai hidup mereka.

Dalam soal rotan wanita yang minum beer itu, banyak komen saya terima. Kesemuanya penuh emosi tetapi jelas banyak yang tidak memahami isu sebenar. Sebagai contoh, pertubuhan NGO yang menggelar diri mereka Pembela Islam telah dengan bongkaknya memberi amaran kepada Peguam Negara dan Kerajaan Pusat supaya tidak masuk campur dalam soal Mahkamah Syariah.

Mereka juga marah-marah kepada pihak yang tidak setuju dengan hukuman itu dengan menuduh orang yang berbeza pandangan dengan mereka sebagai orang yang tidak menghormati Islam. Pada masa yang sama, mereka konon nya merujuk kepada undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas hujah mereka itu. Jadi saya terpaksa memperjelaskan isu ini sekali lagi. Ingat ya, saya menyentuh mengenai undang-undang yang ada di negara kita.

Undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, iaitu digubal oleh Dewan Undangan Negeri. Mengikut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri, termasuk enakmen agama Islam, mestilah tidak bercanggah dengan undang undang Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan.

Kalau bercanggah, maka ia tidak sah. Jadi bila kita katakan hukuman rotan Mahkamah Syariah Negeri Pahang itu tidak sah, ia adalah kerana undang-undang Persekutuan atau “Federal law” di Malaysia melarang wanita dirotan. Jadi hukuman rotan itu dalam kes khusus itu tidak sah. Ini bukan bererti kita menolak Islam atau undang-undang Islam.

Undang-undang Syariah Negeri Pahang mestilah tak lari dan bercanggah dengan Muslim Court (Criminal Jurisdiction) Act 1965 dan juga Criminal Procedure Code (rujuk Seksyen 289). Oleh kerana ianya bercanggah, maka hukuman rotan terhadap wanita itu tidak sah.

Saya harap Pembela dan penyokong mereka, terutamanya peguam-peguam di kalangan mereka, selalu membaca dan terus membaca supaya dapat mengeluarkan pandangan yang jujur, benar dan tepat.

Tidak semua tokoh Islam sependapat dalam semua perkara. Ini sememangnya hikmah dalam kebebasan bersuara dalam Islam sejak zaman-berzaman lagi; malah di kalangan imam-iman besar dahulu pun ada perbezaan pendapat.

Dalam kes yang kita bincangkan ini, Imam Feisal Abdul Rauf dan beberapa intelek serta ulama Islam juga berpendapat hukuman rotan tidak wajar untuk kesalahan minum arak. Kata mereka arak itu lebih banyak buruk dari baik nya. Jadi jauhkanlah diri dari arak. Ini bukan saya kata, ini kata mereka.

Malah, pada bulan Mei yang lalu, Mahkamah Persekutuan Syariah Pakistan yang terdiri daripada Ketua Hakim Besar Haziqul Khairi, Hakim Sallahudin Mirza dan Hakim Fida Mohamad telah membuat keputusan sebulat suara – setelah mendengar hujah dan pandangan ahli fikir dan ulama Islam – bahawa Al-Quran tidak menetapkan hukuman rotan kerana minum arak.

Ketiga-tiga hakim itu memerintahkan kerajaan Pakistan supaya meminda undang-undang Syariah yang sedia ada. Untuk pengetahuan umum, undang-undang Syariah di Pakistan lebih keras dan tegas daripada undang-undang Syariah di negeri Pahang. Terpulanglah kepada ulama dan ahli fikir Islam di Malaysia untuk menilai dan menimbang perkara ini.

Apa pun hujah dan pandangan kita janganlah mudah menuduh orang yang berfikiran lain dari kita itu sebagai musuh Islam. Kita tahu Islam itu bermahzab dan banyak pula para imamnya. Jika Islam dijadikan seperti satu pasukan bolasepak yang kita sokong, termasuk membenci dan mencaci pasukan lawan, maka akan hancurlah Islam itu sendiri.

Tak mungkin orang Melayu/Islam akan maju kalau pemikiran sempit dan jumud menjadi petunjuk. Islam menggalakkan kita mencari ilmu. Kalau kita sendiri menutup pintu ilmu dan merasakan diri sudah pandai, sukar untuk kita kembali ke zaman gemilang Islam seperti dahulu.

Kalau kita mahu nilai dan hukum Islam berjaya dilaksanakan, maka kita perlu kepada pemikir dan ulama Islam yang jujur, pintar dan berhemah, yang juga tahu bagaimana untuk menggubal undang-undang yang tidak bercanggah dengan undang undang Persekutuan. Ini bukan soal tunduk kepada sesiapa atau apa-apa; ia juga bukan soal nak tunjuk megah dan bongkak serta tak mahu bertolak ansur. Ia adalah soal hikmah untuk memastikan undang-undang Islam itu sah dipakai dan tidak dipertikaikan orang.

Masa saya kecil-kecil dahulu pun, orang di kampung saya sudah diajar awal-awal lagi tentang sejarah dakwah Nabi Muhammad S.A.W. setelah mendapat wahyu di Makkah. Tiada paksaan sama sekali melainkan menyampaikan dakwah dengan cara yang sopan, mulia dan terhormat walaupun berada di tengah-tengah masyarakat Jahiliah.

sumber - zaidibrahim



1 ulasan:

ajijasin berkata...

salam alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN!!!
MARHABAN YA RAMADHAN!!!

MALAM KE SEPULUH RAMADHAN!!!
MALAM SEPULUH PERTAMA TERAKHIR RAHMAT ALLAH UNTUK HAMBANYA!!!

DAN SALAM MERDEKA!!!

MERDEKA!!!
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!
MERDEKA!!!