SHAH ALAM, 25 Ogos - Koroner Azmil Muntapha Abas Selasa mengingatkan peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh Beng Hock, supaya tidak terlalu berkeras dan berkasar ketika menyoal balas saksi dalam prosiding inkues itu.
Ini berikutan bantahan beberapa kali yang dibuat oleh peguam pemerhati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, yang tidak berpuas hati dengan cara pengendalian soal balas oleh peguam itu terhadap saksi SPRM.
"Saya telah lama bersabar. Saya harap kita hormati antara satu sama lain. Tidak perlulah emosional kerana tidak ada sesiapa yang dituduh di sini, kandang tertuduh itu pun kosong.
"Cara pertanyaan (Gobind) agak kasar, letaklah tangan ke bawah. Kita di sini untuk membantu prosiding inkues, bukan untuk mendera saksi," kata Abdul Razak.
"Ini memang cara saya bercakap. Jangan ajar saya bagaimana hendak bercakap," balas Gobind.
Perang mulut antara kedua-dua peguam itu bermula setelah Gobind bukan sahaja mengasak saksi ke-16 prosiding itu, pegawai penyiasat SPRM Mohd Anuar Ismail, dengan soalan yang sama berkali-kali, malah menggunakan nada yang agak keras ketika mengemukakan soalan.
Abdul Razak telah bangun untuk membantah dan berkata: "Tuan koroner, ini sudah jadi seperti "kangaroo court" (mahkamah tidak sah). Soalan yang hendak ditanya mestilah relevan dan sila fokus terhadap isu sebenar."
"Tuan Koroner, saya tidak akan memanggil tuan dan mahkamah ini sebagai kanggaru, ini adalah satu penghinaan mahkamah," balas Gobind.
Koroner kemudian mengingatkan semua peguam terlibat supaya mengemukakan soalan-soalan yang relevan kepada saksi dan meminta Gobind supaya merendahkan nada suara ketika menyoal.
Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian setiausaha politik Exco Selangor itu bersambung esok.
sumber - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan